Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

359) IBU TUNGGAL

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Wanita & Keluarga

Adun: Y.B. Tuan Rosnizan Bin Ahmad

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Berapakah bilangan ibu tunggal di Selangor terkini mengikut pecahan umur dan kaum? Dan juga senaraikan nama-nama dan informasi seperti no telefon, alamat, email, dan sebagainya

    Untuk makluman Yang Berhormat, berdasarkan data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Selangor jumlah ibu tunggal di Selangor bagi kategori kematian pasangan adalah sebanyak 71,874 orang dan kategori bercerai / berpisah adalah seramai 53,403 orang.

  2. Apakah bantuan yang diberikan kepada golongan mereka ini?

    Pada tahun 2022, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Wanita Berdaya Selangor (WBS) telah menyediakan sebuah inisiatif berupa Geran Program Pembangunan Ibu Tunggal Selangor sebagai menyuntik semangat golongan ibu tunggal agar dapat melaksanakan program-program pembangunan di kawasan masing-masing.  Geran ini diberikan kepada persatuan ibu tunggal yang telah melalui proses penilaian, saringan dan memenuhi kriteria yang telah ditetapkan di setiap DUN seluruh Selangor. Sebanyak 16 persatuan ibu tunggal telah berjaya menerima peruntukan geran pada sesi yang lalu dan seramai 925 orang peserta telah menerima manfaat dari pelaksanaan program-program yang diadakan. Golongan ibu tunggal juga menerima manfaat daripada Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS). Bantuan ini bertujuan bagi meringankan beban kos sara hidup terutama mereka yang berpendapatan rendah bagi menampung keperluan kehidupan asas yang semakin mencabar pada masa kini. Setakat Oktober 2023, seramai 6,993 orang ibu tunggal menerima manfaat daripada program BINGKAS.

  3. Apakah program dan peluang dari pihak Kerajaan Negeri Selangor untuk mereka menambah pendapatan mereka?

    Kerajaan Negeri menerusi Pusat Wanita Berdaya (PWB) di setiap DUN, melaksanakan pelbagai usaha memberdaya wanita termasuklah golongan ibu tunggal. PWB menyediakan dua (2) modul iaitu pembangunan kapasiti dan kemahiran yang dapat membantu wanita meningkatkan tahap sosio-ekonomi dengan menjana pendapatan. Modul-modul tersebut mencakupi program seperti latihan asas keusahawanan, pengurusan kewangan, seni kraftangan, hiasan dalaman, perusahan makanan dan minuman, program 5R (reuse, recycle, reject, repair, reduce), laman tani dan lanskap serta pelbagai program lain yang sesuai dengan keperluan wanita.

     

    Selain itu, Kerajaan Negeri menerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Keusahawan dan Jawatankuasa Tetap Kemiskinan telah menyediakan pelbagai insentif dan bantuan bagi memastikan golongan sasar termasuk ibu tunggal agar mampu menjana ekonomi untuk meningkatkan taraf kehidupan mereka. Antara insentif dan bantuan yang disediakan ialah Program Bantuan ‘BluePrint’ Pembasmian Kemiskinan, Geran Dana Usahawan Mikro Selangor (DUMS) dan sebagainya.

Lampiran

Tiada Lampiran.