Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

321) SKIM BANTUAN GUAMAN SELANGOR

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Puan Nurul Syazwani Binti Noh

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Senaraikan jumlah permohonan yang diterima untuk skim bantuan guaman Selangor pada tahun 2022 hingga September 2023?

    Untuk makluman Yang Berhormat, Dana Bantuan Guaman Selangor (DGBS) merupakan bantuan perkhidmatan guaman yang melibatkan kes kekeluargaan dan kes pekerja yang mana pemohon yang berkelayakan iaitu golongan B40 akan mendapat subsidi bayaran perkhidmatan guaman tersebut. DGBS dilaksanakan dengan kerjasama Kerajaan Negeri dan Selangor Bar Council sebagai sebuah badan guaman yang mempunyai kepakaran dalam bidang ini. DGBS mula dilaksanakan pada Januari 2022 telah menerima sebanyak 37 permohonan sehingga September 2023, iaitu 27 kes berkaitan kekeluargaan dan 10 kes berkaitan pekerjaan.

  2. Senaraikan kes yang dikendalikan oleh YBGK dan status kes-kes tersebut.

    Untuk makluman Yang Berhormat, Yayasan Bantuan Guaman Kerajaan (YBGK) adalah sebuah yayasan yang ditubuhkan untuk menawarkan bantuan guaman bagi kes jenayah kepada yang berkelayakan. Namun, Yayasan Bantuan Guaman Kerajaan (YBGK) bukan merupakan agensi pelaksana di bawah Dana Bantuan Guaman Selangor. Oleh itu, pihak Kerajaan Negeri tidak dapat mengemukakan maklumat kes bagi YBGK memandangkan YBGK bukan di bawah Pentadbiran Kerajaan Negeri.

  3. Berapakah peruntukan yang telah dibelanjakan untuk skim bantuan guaman sepanjang tempoh tersebut dan adakah keperluan untuk menaikkan peruntukan sebanyak 1 juta untuk skim ini seperti di dalam manifesto PRN yang lepas?

    Dana Bantuan Guaman Selangor (DGBS) telah membelanjakan peruntukan sebanyak RM96,542.03 bagi tempoh Januari 2022 sehingga Ogos 2023. Kekangan perbelanjaan peruntukan berlaku disebabkan terdapat pemohon yang tidak memenuhi syarat permohonan iaitu kelayakan pendapatan bulanan isi rumah sebanyak RM3,000.00 sebulan. Selain itu, kos subsidi RM1,500.00 yang diberikan oleh Kerajaan Negeri adalah tidak mencukupi bagi barisan peguam Selangor Bar Council. Oleh itu, bermula tahun 2024, Kerajaan Negeri akan meningkatkan pemberian subsidi program DBGS daripada RM1,500.00 kepada RM3,000.00 bagi setiap kes dengan kelayakan pendapatan bulanan isi rumah pemohon ditingkatkan daripada RM3,000.00 kepada RM5,000.00. Melalui penambahbaikan DGBS ini, Kerajaan Negeri yakin peruntukan sebanyak RM1 juta pada tahun 2024 adalah mencukupi dan dapat membantu rakyat Selangor yang berkelayakan untuk mendapat keadilan yang sewajarnya.

Lampiran

Tiada Lampiran.