Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
307) PELAN PEMBAHARUAN KAWASAN PERUMAHAN
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Datuk Seri Jamil Bin Salleh
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah usaha Kerajaan Selangor untuk menjadikan kawasan perumahan khususnya penempatan rumah - rumah kos rendah lama supaya menjadi penempatan lebih kondusif dan dapat memenuhi keperluan penduduk setempat?
Untuk makluman Yang Berhormat Datuk, dalam usaha untuk menjadikan kawasan perumahan dan penempatan rumah- rumah kos rendah lama agar menjadi lebih kondusif, Kerajaan Negeri melalui kerjasama antara PlanMalaysia@Selangor dan Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) telah mengenal pasti pendekatan pembaharuan semula bandar (urban renewal) sebagai satu kaedah untuk meningkatkan kualiti kawasan-kawasan perbandaran dan penempatan yang terpinggir, usang, terbiar dan tidak ekonomik sekaligus meningkatkan kualiti hidup dan memberdayakan masyarakat bandar di Negeri Selangor.
Lanjutan itu, Kerajaan Negeri telah meluluskan Garis Panduan Pembaharuan Semula (Urban Renewal) Penempatan Bandar Di Negeri Selangor sebagai panduan dalam memudahcara agensi dan pemaju untuk melaksanakan pembangunan semula di kawasan lama di Negeri Selangor.
Di dalam garis panduan tersebut terdapat beberapa jenis / kategori pembaharuan semula bandar seperti berikut :
- Pembangunan Semula Bandar
Mengubah struktur fizikal sediada. Pembangunan ini melibatkan kerja–kerja pembersihan tapak, perobohan bangunan dan mengoptimumkan kegunaan tanah.
- Penjanaan Semula Bandar
Pemulihan sesuatu tapak yang lama, usang dan terbengkalai.
- Penyegaran Semula Bandar
Penyegaran kawasan atau bangunan usang dan berlaku kemerosotan aktiviti sosio-ekonomi.
- Pemulihan Semula Bandar
Pemuliharaan tapak atau bangunan warisan dan bersejarah yang mempunyai identiti dan estetik.
Untuk makluman Yang Berhormat Dato’, Kerajaan Negeri mempunyai satu skim yang dinamakan Skim CERIA (Caring Government For Residents’ Improvement Aid) yang mana ianya merupakan bantuan baik pulih Pangsapuri Kos Rendah seperti mengecat, baikpulih bumbung, membaiki dan mengganti lif yang rosak serta penggantian tangki air agar penduduk dapat hidup dengan lebih harmoni dan kondusif.