Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
261) MESRA OKU
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Tuan Noor Najhan Bin Mohamad Salleh
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah polisi kerajaan Negeri Selangor untuk mewujudkan infrastruktur Mesra OKU di seluruh Selangor?
Kerajaan Negeri sentiasa berusaha untuk memastikan Orang Kurang Upaya (OKU) juga mendapat pengiktirafan dan kesamarataan peluang di negeri Selangor. Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Wanita dan Keluarga telah menubuhkan Majlis Tindakan OKU Selangor (MTOS) pada tahun 2018 yang berperanan menyelia pelaksanaan dasar OKU, membuat syor tentang perkara-perkara yang berhubungan dengan OKU seperti sokongan, penjagaan, perlindungan, rehabilitasi, pembangunan dan kesejahteraan masyarakat OKU di Selangor.
MTOS melalui Jawatankuasa Kecil Rekabentuk Sejagat dan Alam Bina bertangggungjawab dalam menjalankan kajian rekabentuk sejagat termasuk penyediaan pelan induk rekabentuk sejagat bagi sesebuah organisasi, mengaudit akses bangunan serta menganjurkan bengkel kesedaran berkaitan OKU.
Antara program yang dilaksanakan di bawah MTOS adalah Program Seminar Reka Bentuk Sejagat Bandar Mesra Orang Kurang Upaya dan Bengkel Training of Trainers (ToT) Dan Audit Akses Dalam Persekitaran Alam Bina. Program-program ini bertujuan bagi mempercepatkan kesedaran dan kefahaman pegawai Pihak Berkuasa Tempatan di negeri Selangor yang terdiri daripada daerah meliputi Majlis Bandaraya, Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah terutamana Arkitek, Penolong Arkitek, Jurutera, Penolong Jurutera dan Juruteknik yang ditugaskan untuk meluluskan pelan bangunan dan juga mendapat gambaran jelas tentang rekabentuk kemudahan untuk OKU. -
Sejauhmanakah polisi tersebut telah dilaksanakan?
Melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pelbagai usaha dan inisiatif telah dilaksanakan dalam menyediakan pelbagai kemudahan bagi golongan orang kurang upaya (OKU) mengakses kepada persekitaran fizikal di bandar mahupun di luar bandar yang berkonsepkan reka bentuk sejagat. Selain daripada itu, usaha PBT juga untuk meningkatkan tahap aksesibiliti dan kebolehgunaan kemudahan pengangkutan awam kepada golongan OKU serta kemudahan-kemudahan lain yang memerlukan penglibatan OKU dalam pengurusan kehidupan harian.
Di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Jawatankuasa Bandar Selamat Dan Bebas Halangan telah diwujudkan yang bertanggungjawab memberikan penekanan kepada golongan OKU di mana golongan ini merupakan sebahagian daripada masyarakat yang berhak menerima perkhidmatan dan kemudahan yang sama
Melalui jawatankuasa ini, PBT akan memastikan golongan OKU dapat menikmati dan mengakses kemudahan yang disediakan seperti memastikan setiap bangunan lama dinaiktaraf bagi memudahkan golongan OKU seperti tandas, tempat letak kereta, ramp dan sebagainya serta menyediakan kaunter khas bagi memudahkan golongan OKU berurusan.
Manakala bagi pembangunan baru, setiap pemaju perumahan telah disyaratkan untuk menyediakan kemudahan OKU di setiap projek pembangunan perumahan melalui syarat pemberian kelulusan di peringkat pelan kebenaran merancang (Jabatan Perancang) dan pelan bangunan (Jabatan Bangunan) di setiap PBT. Ianya perlu dipatuhi oleh setiap kontraktor sebagaimana yang telah digariskan dalam pindaan Undang-undang Kecil Bangunan Seragam (UKBS) 1984 melalui Seksyen 34A.