Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

260) RANCANGAN SELANGOR PERTAMA

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Noor Najhan Bin Mohamad Salleh

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Selangor berhasrat untuk mewujudkan Pusat Kerjasama RnD Sains dan teknologi seperti CREST di Pulau Pinang?

    Kerajaan Negeri melalui Agensi Penggalakkan Pelaburan Negeri (Invest Selangor) telah mewujudkan ‘Selangor Lab Partnership Program’ bagi pembangunan sektor Sains Hayat di Negeri Selangor. Lab Partnership Program adalah salah satu daripada pelan tindakan yang digariskan dalam Selangor Biotechnology Action Plan (SBAP) 2021-2030’ bagi ‘Action Plan-10’ iaitu ‘Utilise and Link Partner Labs at IHLs (Institute Higher Learnings) and RIs (Research Institutes)’.

     

    Inisiatif ini bertujuan membantu pemain industri untuk memanfaatkan kemudahan penyelidikan dan sumber kepakaran di institusi akademik, serta menggalakkan kolaborasi antara Institusi Pengajian Tinggi, Institusi Penyelidikan dan pemain industri.

     

    Melalui inisiatif ini, ia dapat menggalakkan penyelidikan dan pembangunan inovatif serta berpontensi mengurangkan jurang antara pihak akademi dan pemain industri dalam sektor sains hayat di Selangor.

     

    Antara sub-sektor yang diberikan penumpuan bagi perlaksanaan program ini adalah;

    1. Industri pengeluaran produk alatan perubatan;
    2. Industri Farmaseutikal
    3. Industri bioteknologi
    4. Industri Kosmetik dan Penjagaan Diri.

     

    Pihak Kerajaan Negeri telah mengenalpasti rakan strategik dari pihak Institusi Pengajian Tinggi dan Institusi Penyelidikan bagi melaksanakan inisiatif ini. Dua rakan strategik yang telah mengesahkan keterlibatan dalam inisiatif ini iaitu Universiti Selangor (UNISEL) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

     

    Melalui program ini, pihak institusi pendidikan dan penyelidikan akan menyediakan bantuan kepakaran teknikal dan kemudahan peralatan serta penilaian terhadap aktiviti – aktiviti penyelidikan yang diperlukan oleh pihak syarikat. Antara kemudahan yang disediakan kepada pihak industri melalui program ini seperti;

     

    1. Laboratory and Equipment Rental;
    2. Laboratory Analysis Services;
    3. Consultation and Experties;
    4. Student Assistance;
    5. Technical Training
    6. Research Collaboration.

     

    Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor merancang untuk bekerjasama dengan lebih banyak Institusi Pengajian Tinggi dan Institusi Penyelidikan bagi menjayakan program ini di masa akan datang dalam usaha memperkembangkan dan memperkukuhkan lagi inisiatif ini.

  2. Apakah Miles stone Rancangan Selangor pertama yang akan dicapai menjelang hujung tahun ini?

    Rancangan Selangor Pertama (RS-1) adalah pelan rancangan pembangunan bagi tempoh lima tahun iaitu tahun 2021 hingga 2025 bertujuan untuk menumpukan usaha Kerajaan Negeri mempercepatkan proses pemulihan ekonomi pasca pandemik dan memacu agenda pembangunan bagi memastikan Selangor terus mengukuhkan kedudukan sebagai pusat pertumbuhan utama ekonomi yang mampan di Malaysia dan rantau Asia. Kerangka lima tahun ini akan membabitkan program, projek dan inisiatif merangkumi empat tema strategik, iaitu pengukuhan ekonomi, mempertingkat inklusiviti sosial dan kesejahteraan rakyat, pemacuan kelestarian serta tadbir urus ‘SMART’ dan berkesan.

     

    Kerajaan Negeri sedang dalam proses menyediakan Kajian Separuh Penggal bagi menilai pencapaian dalam tempoh 2021 –2023. Kajian ini juga bertujuan menyemak semula sasaran, strategi dan inisiatif serta mengenalpasti sebarang jurang dan kekangan dalam mencapai objektif RS-1 mengambil kira perubahan trend ekonomi global, kedudukan kewangan Kerajaan Negeri dan keutamaan semasa.

     

    Laporan pencapaian separuh penggal RS-1 akan dilengkapkan selewat-lewatnya pada Mac 2024.

  3. Apakah pencapaian program SMART SELANGOR setakat ini? Terangkan statistic Pembangunan Ekonomi Digital Selangor berbanding negeri lain?

    Program Smart Selangor yang diperkenalkan pada tahun 2016 dan dikemaskini pada tahun 2020 sebagai Pelan Tindakan Smart Selangor 2025 (“SSAP 2025”) menyasarkan pembangunan dan pengoperasian 60 inisiatif-inisiatif digital dan pintar menjelang tahun 2025 yang akan menjadi asas utama kepada pembentukan sebuah Negeri Pintar Berdayahuni (Liveable Smart State) yang menghubungkan data di antara entiti kerajaan untuk menjamin tahap perkhidmatan yang lebih baik untuk rakyat.

     

    Sehingga Oktober 2023, 41 inisiatif telah disiapkan daripada jumlah keseluruhan 60 inisiatif. Berikut adalah di antara pencapaian utama insiatif-inisiatif yang telah digunakan secara menyeluruh di Negeri Selangor:

     

    NO INISIATIF

    PENCAPAIAN SEHINGGA OKTOBER 2023

    1 Smart Selangor Parking (SSP)

    Aplikasi pembayaran parkir dan kompaun secara atas talian yang boleh digunakan merentasi 10 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor kecuali di MPHS dan MDSB. SSP mempunyai pengguna berdaftar melebihi 2.9juta orang.

     

    2 Smart Selangor Intelligent Response System (SITS)

    Aplikasi SITS membolehkan pengguna bas Smart Selangor di seluruh Negeri mengetahui masa ketibaan bas dan lokasi hentian bas. SITS telah pun mempunyai 50,000 pengguna aktif dengan bilangan muat turun sebanyak 200,000.

     

    3 Smart Selangor Bus Stop

    Pembangunan 15 perhentian bas pintar untuk 11 PBT yang dilengkapi dengan elemen pintar seperti panic button, CCTV dan panel skrin.

     

    4 Smart Selangor C5i Operations Centre (SSOC)

    SSOC merupakan pusat operasi pintar yang meliputi pemantauan dan penyelarasan tindakan secara berpusat oleh Kerajaan Negeri berdasarkan data hampir masa nyata. SSOC dilengkapi dengan peralatan ICT, internet berkelajuan Gigabit dan kemudahan pintar lain yang mampu menyokong operasi pengawasan 24 jam sehari, 7 hari seminggu. Dioperasikan oleh pejabat SUK dan Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor.

     

    5 Aplikasi Citizen E-Payments (CEPat)

    Terdapat lebih 60 perkhidmatan pembayaran ditawarkan di dalam CEPat yang meliputi perkhidmatan Kerajaan dan pelbagai agensi lain. Sebanyak 6 medium pembayaran tersedia untuk pilihan pengguna.

     

    6 Modul ‘Scan to Ride’ (STR)

    Kaedah pelaksanaan caj ‘warga asing’ yang menggunakan perkhidmatan Bas Smart Selangor menerusi aplikasi CEPat.

     

    7 Smart Selangor Centre of Excellence (COE)

    Pusat kolaborasi Kerajaan-Akademik (di UKM, Bangi) dan Kerajaan-Swasta-Agensi (di Shah Alam) telah dibangunkan untuk menggalakkan kolaborasi pelbagai pihak bagi membangunkan inisiatif-inisiatif pintar dan menggalakkan perkongsian pengetahuan teknologi inovasi.

     

    8 Digital Government Approval Platform

    E-MMKN

    Pembangunan sistem E-MMKN yang berupaya menyumbang kepada penjimatan penggunaan kertas dan penjimatan masa penyediaan bahan mesyuarat.

    9 District Disaster Operation Centre (DDOC)

    Pembangunan Pusat Pengoperasian Bencana Daerah (DDOC) bagi 3 PDT di Selangor (Petaling, Klang dan Hulu Langat) bagi mengupayakan pusat operasi pemantauan dan data berpusat di PDT sekaligus berupaya untuk diselaraskan di SSOC Negeri Selangor bagi menyokong pemantauan bencana yang lebih efektif dan efisien untuk meningkatkan prestasi penyampaian perkhidmatan Kerajaan Negeri.

     

     

    Sehingga kini tiada statistik menetapkan kedudukan pembangunan ekonomi digital Selangor berbanding negeri lain namun Kerajaan Negeri Selangor melalui Selangor Information Technology & Digital Economy Corporation (SIDEC) akan terus berusaha dan menerajui ‘Dwi Transformasi’ di Selangor dengan menumpu kepada Digitalisasi dan Pencapaian Net Zero untuk terus membangunkan ekonomi digital Selangor.

    Program-program Sidec seperti Selangor Xccelerator Programme (ECX), Selangor Accelerator Programme (SAP), Anugerah E-Commerce (TOP ECM) serta Program Smart Raya akan terus diperkasa, sementara Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC) dan misi membawa syarikat PKS dan startup ke luar negara akan terus ditambah baik demi memastikan ekosistem perniagaan PKS, startup dan e-dagang yang lebih berdaya saing di peringkat antarabangsa.

    Bagi tahun 2024, Sidec mensasarkan penyertaan lebih 4,000 syarikat dari pelbagai sektor yang akan menyertai kesemua program-program Sidec yang bakal menjadi platform bagi pembinaan rangkaian, meningkatkan jualan serta peluang perkembangan perniagaan masing-masing. Selain itu, syarikat yang terpilih dalam program SAP dan ECX bakal mendapat akses kepada latihan dan bimbingan ‘mentorship’ dari pakar industri seterusnya berpeluang memperoleh pelaburan dan akses ke pasaran luar negara.

     

    Sidec juga telah melancarkan program CXO, iaitu, sebuah kelab yang berdedikasi untuk membantu transformasi syarikat-syarikat yang telah menyertai program-program Sidec untuk memperoleh jumlah pengguna melebihi satu (1) juta dan meraih jualan melebihi RM1 juta setahun, pada masa sama memperoleh jumlah dana pelaburan yang besar.

     

    Menjelang tahun 2025, Sidec mensasarkan untuk membantu 30 syarikat PKS, startup dan e-dagang yang berimpak tinggi yang akan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.