Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
233) PERNIAGAAN
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Tuan Mohd Razali Bin Saari
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Berapa PBT kah yang mempunyai garis panduan premis perniagaan warga asing?
Pihak Berkuasa Tempatan tidak mempunyai garis panduan khusus mengenai premis perniagaan warga asing. Namun, garis panduan yang dirujuk adalah yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Selangor melalui Pekeliling Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan) Bilangan 1 Tahun 2020 berhubung Dasar Aktiviti Penjaja Dan Peniaga Kecil Di Negeri Selangor. Garis panduan tersebut menyatakan supaya semua lesen penjaja dan peniaga kecil termasuk lesen perniagaan di premis milik Jabatan/ Agensi PBT/ PBT di bawah Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor hendaklah diberikan kepada warganegara Malaysia sahaja.
Selain daripada itu, PBT turut merujuk Pekeliling Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Bil. 3 Tahun 2008 – Pengeluaran Permit Perniagaan Kecil Oleh Pihak Berkuasa Tempatan yang menyatakan bahawa permit hendaklah dikeluarkan kepada warga negara Malaysia sahaja dan pemilik permit hendaklah berada di tempat perniagaan sepanjang masa. Tindakan membatalkan permit tersebut akan diambil ke atas warganegara Malaysia yang memindah milik permit perniagaan mereka kepada warga asing atau tidak menjalankan sendiri perniagaan tersebut.
Namun, bagi permohonan yang melibatkan kategori aktiviti tred perniagaan dan perindustrian, PBT ada mengeluarkan lesen perniagaan kepada warga asing yang telah mendaftar syarikat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk menjalankan perniagaan dengan melampirkan passport yang sah dan mempunyai visa dagang.
-
Senaraikan operasi tutup premis perniagaan warga asing di seluruh PBT negeri selangor ?
Walaupun PBT tidak mempunyai kuasa yang khusus bagi mengambil tindakan terhadap warga asing, PBT sentiasa melaksanakan operasi pemantauan terhadap aktiviti penjaja dan perniagaan oleh warga asing di kawasan masing-masing mengikut jadual. Tindakan akan terus diambil terhadap pemilik lesen premis penjaja/perniagaan yang melanggar syarat yang telah ditetapkan selaras dengan pekeliling-pekeliling yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan. Sekiranya terdapat pelanggaran syarat yang melibatkan kesalahan seperti menjalankan perniagaan tanpa lesen, menggajikan warga asing dan melanggar syarat lesen tindakan kompaun di bawah Undang-Undang Kecil Penjaja 2007 dan Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian 2007 akan dilaksanakan dan barang perniagaan akan disita. Tindakan penutupan premis gerai/pernigaan yang telah dilaksanakan oleh PBT kerana kesalahan langgar syarat melibatkan pekerja warga asing pada tahun 2023 adalah seperti berikut:-
BIL. PBT
TINDAKAN PENUTUPAN PREMIS
1. MBSA
9
2. MBPJ
4
3. MBSJ
10
4. MPS
2
6. MPK
398
9. MPKL
4
10. MPKS
7
5. MPKj
Tiada
7. MPAJ
Tiada
8. MPSp
Tiada
11. MPHS
Tiada
12. MDSB
Tiada
JUMLAH
434
Sumber: PBT Negeri Selangor