Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
210) KAJIAN MENGENALPASTI KEPERLUAN SUMBER MANUSIA INDUSTRI BEROPERASI DI NEGERI SELANGOR
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Pendidikan
Adun: Y.B. Tuan Dr. Mohd Zamri Bin Mohd Zainuldin
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Adakah suatu kajian khusus telah dibuat untuk mengenalpasti keperluan sumber manusia di industri yang beroperasi di Negeri Selangor?
Buat masa ini, Kerajaan Negeri Selangor di bawah Jawatankuasa Tetap Sumber Manusia masih belum membuat sebarang kajian khusus bagi mengenalpasti keperluan sumber manusia di industri yang beroperasi di Negeri Selangor memandangkan Jawatankuasa ini baharu ditubuhkan selepas Pembentukan Kerajaan Negeri Penggal Ke 15. Walau bagaimanapun, Jawatankuasa menyambut baik cadangan daripada Yang Berhormat dan perkara tersebut akan dibawa untuk perhatian dan dibincangkan semasa Mesyuarat Standco bagi perancangan pada masa – masa akan datang.
-
Bidang pengajian manakah yang kurang mendapat sambutan ataupun tidak tersedia sedangkan ia boleh dipasarkan dalam memenuhi keperluan sumber manusia di dalam industri tersebut?
Pelbagai usaha dan inisiatif telah dan akan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri di bawah Jawatankuasa Tetap Pendidikan Negeri Selangor bagi menarik minat lepasan SPM untuk meneruskan pengajian mereka dalam apa jua bidang termasuklah bidang teknikal dan vokasional (TVET) di institusi pendidikan di bawah Kerajaan Negeri Selangor dan beberapa pusat latihan berkaitan. Kerjasama dan jaringan industri ini bukan hanya di peringkat negeri malah di peringkat antarabangsa termasuklah kerjasama dengan institusi pengajian dan agensi kerajaan dan swasta. Tiada kajian spesifik tentang bidang pengajian yang kurang mendapat sambutan dikalangan golongan ini memandangkan ia akan melibatkan data dari pelbagai kategori institusi awam dan swasta. Walau bagaimanapun, berikut merupakan antara beberapa kursus atau bidang pengajian yang kurang mendapat sambutan di institusi pengajian tinggi di bawah Kerajaan Negeri antaranya:
- Kursus jahitan dan kursus pembaikan penghawa dingin di Kampus Kuala Selangor memandangkan peluang pekerjaan yang menjanjikan pendapatan yang tidak memberangsangkan selepas tamat pengajian;
- Bidang pengajian kejuruteraan, sains dan matematik memandangkan kecenderungan lepasan SPM sekarang yang lebih selesa mengikuti kursus yang lebih mudah tetapi mempunyai peluang pekerjaan yang berpendapatan setara atau lebih baik berbanding jurusan Sains dan Teknikal; dan
- Bidang pengajian berteknologi tinggi terutama industri digital berkaitan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) kerana keperluan teknologi tidak seiring dengan perkembangan ekonomi. Graduan yang dilahirkan daripada bidang ini tidak dapat menjamin pekerjaan yang berpendapatan tinggi walaupun sebenarnya bidang ini bakal memberi masa depan cerah kepada industri di Negeri Selangor.
Bagi bidang pengajian yang mempunyai potensi tinggi tetapi tidak tersedia di institusi pengajian tinggi di bawah Kerajaan Negeri Selangor adalah seperti berikut:
- Bidang pengajian di bawah kluster jaminan makanan termasuklah kursus berkaitan pertanian pintar, penyediaan makanan, dan penternakan moden. Kursus ini dianggap tidak popular tetapi amat diperlukan pada masa akan datang memandangkan keterjaminan makanan adalah perkara penting bagi memastikan pengurusan sumber makanan sistematik dan berterusan kepada rakyat; dan
- Bidang automotif dan aero-angkasa juga adalah bidang yang amat diperlukan pada masa kini bagi memastikan keperluan menjadi negeri peneraju bidang ini tercapai seperti dalam Rancangan Selangor Pertama (RS1).