Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
188) PUSAT PELUPUSAN SAMPAH (WASTE TO ENERGY) DI KUALA SELANGOR
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Dato' Dr Ahmad Yunus Bin Hairi
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah status terkini pembangunan Pusat Pelupusan Sampah (Waste To Energy) di Kuala Selangor?
Worldwide Holdings Berhad (WHB) telah dipertanggungjawabkan untuk menerajui dua fasiliti Waste To Energy (WTE) di Kuala Selangor yang mempunyai kapasiti untuk memproses dan melupuskan 3000 tan sisa pepejal sehari bagi menghasilkan tenaga elektrik 52 MW. Berdasarkan perkembangan terkini, Kesemua kerja-kerja pra-pembangunan (Pre-Development) telah disiapkan termasuk Environmental Impact Assessment (EIA) dan Social Impact Assessment (SIA) dan Kebenaran Merancang (KM) bagi kedua-dua fasiliti WTE di Kuala Selangor telahpun diluluskan oleh agensi-agensi yang berkaitan. Selain itu, pihak WHB juga telah melantik Kontraktor Engineering, Procurement, Construction and Commissioning (EPCC) untuk memulakan kerja-kerja pembinaan kedua-dua fasiliti WTE. Tempoh pembinaan WTE dijangka akan mengambil masa selama 30 bulan dan akan beroperasi pada Disember 2025. Setakat ini, kerja-kerja tanah di tapak projek serta kerja-kerja pembinaan, perolehan dan kejuruteraan sedang giat dilaksanakan mengikut garis masa projek seperti yang telah dirancang.
-
Bilakah pusat ini akan mula beroperasi dan apakah jangkaan produk akhir (end product) Kerajaan Negeri terhadap pusat ini?
Selaras dengan garis masa projek yang dirancang, pembinaan fasiliti WTE sedang giat dilaksanakan dan akan mencapai Commercial Operation Date (COD) pada Disember 2025. Antara jangkaan akhir (end product) yang diunjurkan oleh Kerajaan Negeri terhadap fasiliti WTE di Jeram adalah fasiliti WTE ini akan mengurangkan jumlah sisa pepejal ke tapak pelupusan (Landfill) menjelang tahun 2030. Dengan menukar sebahagian besar sisa pepejal kepada tenaga, penggunaan tanah bagi tujuan pelupusan sisa pepejal akan berkurangan dengan ketara. Seterusnya, dapat memelihara sumber tanah yang berharga, yang boleh digunakan bagi tujuan lain seperti pertanian, perumahan atau kawasan rekreasi di Negeri Selangor.
Selain itu, disebabkan oleh kemampuan fasiliti WTE untuk menjana tenaga yang boleh digunapakai sebagai tenaga bersih dan boleh diperbaharui, Kerajaan Negeri mengunjurkan fasiliti ini akan membantu memerangi masalah gas rumah hijau di Negeri Selangor. Fasiliti WTE akan dibina untuk menghasilkan tekanan udara negatif terhadap kawasan sekelilingnya. Gas-gas seperti methane tidak akan merebak ke kawasan sekitar yang mana boleh dilihat dan sedang berlaku di tapak pelupusan sampah sedia ada. Dengan teknologi WTE, pencemaran bau dan gas akan dapat dielakkan. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri mengunjurkan fasiliti WTE ini akan mengurangkan Pelepasan Karbon (Carbon Emission) barbanding dari tapak pelupusan sampah sedia ada.