Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
171) PEMBANGUNAN INDUSTRI PELANCONGAN SELANGOR
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Pelancongan
Adun: Y.B. Tuan Danial Al-rashid Bin Haron Aminar Rashid
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Setakat ini, berapakan rekod pelancong luar yang datang dan berapa pendapatan dari industri pelancongan di Selangor?
Untuk makluman Yang Berhormat, bagi tempoh Januari hingga Jun tahun 2023 ini, kedatangan pelancong antarabangsa ke Negeri Selangor adalah seramai 711,514 orang pelancong dimana prestasi tersebut mencatatkan peningkatan yang mengalakkan sebanyak 37.9% berbanding tempoh yang sama pada tahun 2022 lalu. Jumlah anggaran receipt / perbelanjaan pelancong antarabangsa yang dicatatkan bagi tempoh tersebut di atas adalah sebanyak RM2.34 billion.
-
Mengikut aturan tertinggi, senaraikan lokasi-lokasi tempat paling ramai dikunjungi oleh pelancong.
Untuk makluman Yang Berhormat, kawasan-kawasan yang menjadi tumpuan para pelancong bagi tempoh 6 bulan pertama tahun 2023 ini adalah seperti berikut :
MENGIKUT DAERAH
BIL DAERAH JUMLAH PELANCONG 1. Petaling 1,822,579 2. Sepang 345,459 3. Klang 281,879 4. Gombak 198,041 5. Hulu Langat 128,364 6. Hulu Selangor 32,953 7. Kuala Selangor 31,104 8. Sabak Bernam 27,401 9. Kuala Langat 24,475 MENGIKUT KAWASAN PENTADBIRAN PIHAK BERKUASA TEMPATAN (PBT)
BIL KAWASAN PBT JUMLAH PELANCONG 1. Majlis Bandaraya Subang Jaya 980,988 2. Majlis Bandaraya Petaling Jaya 623,473 3. Majlis Perbandaran Sepang 345,459 4. Majlis Perbandaran Klang 281,879 5. Majlis Bandaraya Shah Alam 218,118 6. Majlis Perbandaran Ampang Jaya 147,976 7. Majlis Perbandaran Kajang 128,364 8. Majlis Perbandaran Selayang 50,065 9. Majlis Perbandaran Hulu Selangor 32,953 10. Majlis Perbandaran Kuala Selangor 31,104 11. Majlis Daerah Sabak Bernam 27,401 12. Majlis Perbandaran Kuala Langat 24,475 -
Apakah perancangan pembangunan industri pelancongan di Selangor?
Untuk makluman Yang Berhormat, bagi tujuan perancangan pembangunan industri pelancongan di Selangor, kerajaan negeri telah mengenalpasti kepada 3 perkara utama iaitu:
- Pembangunan Infrastruktur Pelancongan
- Peningkatan Aksesibiliti dan Kemudahan Awam
Memastikan bahawa kawasan pelancongan di Selangor mudah diakses mencakupi baikpulih jalan raya, peningkatan perkhidmatan jaringan pengangkutan awam, papan tanda petunjuk tempat-tempat pelancongan serta kemudahan tandas-tandas awam.
- Pembangunan Pusat Pelancongan
Pembinaan atau pertambahan pusat pelancongan di lokasi strategik untuk memudahkan pelancongan. Ini boleh termasuk pusat maklumat pelancongan, galeri seni, pusat membeli-belah, dan pusat hiburan.
- Kemudahan Penginapan
Pembinaan dan sokongan pelbagai jenis penginapan seperti hotel, homestay, dan pusat percutian yang sesuai dengan pelbagai bajet pelancong.
- Pembangunan Segmen Pelancongan
- Pelancongan Budaya
Selangor mempunyai warisan budaya pelbagai latarbelakang bangsa dan agama yang kaya, melalui promosi pelancongan budaya dengan mengadakan festival seni, persembahan tradisional, dan lawatan ke tapak bersejarah akan meningkatkan tarikan kepada pelancong dari luar negara memahami kepelbagai di Selangor khususnya dan Malaysia amnya.
- Pelancongan Alam Semula Jadi
Pelancongan alam semula jadi seperti hutan, taman, dan pantai juga akan dipertingkatkan pembangunannya. Pemuliharaan kawasan ini dengan baik dan kemudahan seperti trekking, aktiviti air, dan pusat pengunjung akan meningkatkan lagi pilihan tempat tarikan pelancongan.
- Pelancongan Gastronomi
Mempromosi hidangan tempatan dari pelbagai latarbelakang juadah pelbagai bangsa seperti pembinaan pusat makanan baru dan restoran untuk mempromosikan makanan tempatan serta bertema akan meningkatkan lagi kedudukan negeri Selangor sebagai destinasi syurga makanan pelbagai pilihan.
- Pelancongan Perniagaan dan Konvensyen
Mempromosikan negeri Selangor sebagai destinasi untuk persidangan, pameran, dan perniagaan dengan pembinaan fasiliti yang sesuai.
- Pelancongan Kesihatan & Perubatan
Negeri Selangor memiliki banyak pusat perubatan swasta bertaraf antarabangsa yang mampu memberikan khidmat pakar rawatan dan pembedahan kepada pesakit-pesakit antarabangsa dan ahli keluarga pesakit yang mengiringi pesakit boleh menikmati juga peluang untuk melancong di sekitar negeri Selangor.
- Pelancongan Sukan
Negeri Selangor mempunyai pelbagai kemudahan pertandingan sukan seperti stadium, padang kelab golf dan litar lumba bertaraf antarabangsa yang membolehkan dijadikan lokasi pertandingan pelbagai peringkat dan menarik para penonton dan peserta memanjangkan jadual mereka selain acara sukan untuk menikmati kepelbagaian tarikan yang ada di Selangor.
- Pembangunan Produk Pelancongan
- Pakej Pelancongan
Tawarkan pakej pelancongan yang menarik dengan pelbagai aktiviti, penginapan, dan makanan. Ini termasuk pakej pelancongan budaya, alam semula jadi, atau pelancongan makanan.
- Pembangunan Produk Tempatan
Penggalakan perkembangan produk tempatan dan cenderahati yang unik untuk Selangor seperti kraftangan tempatan, tekstil tradisional, dan barangan seni.
- Pendidikan dan Latihan
Latih pekerja pelancongan dan pengusaha tempatan dalam memberi perkhidmatan yang berkualiti tinggi kepada pelancong.
- Pemasaran dan Promosi
Inisiatif kempen pemasaran seperti kempen “Nak Bercuti ? Pusing Selangor Dulu!” untuk pasaran domestik dan kempen “Splendid Selangor, Take Me Anywhere” yang berkesan di peringkat nasional dan antarabangsa akan menarik lebih ramai pelancong ke Selangor.