Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
162) BANTUAN P-HAILING DAN E-HAILING
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Pekerjaan
Adun: Y.B. Tuan Abbas Salimmi Bin Che Adzmi @ Azmi
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Sehingga hari ini, permasalahan kos sara hidup terutama bekalan makanan yang masih belum stabil akibat daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang terlalu lama telah menjejaskan pendapatan harian bagi P-Hailing dan pemandu E-Hailing. Dimana, mereka mempunyai jasa yang besar sewaktu PKP dan merupakan sebahagian daripada Frontliners. Adakah bantuan ini diteruskan lagi atau ditambah baik bagi menjaga kebajikan mereka?
Inisiatif Roda Darul Ehsan atau RiDE ini telah dilancarkan oleh YAB. Dato’ Menteri Besar Selangor pada Ogos 2020. Inisiatif ini adalah salah satu usaha untuk menggalakkan anak Selangor terutama golongan belia untuk memiliki lesen yang sah. Pada awal pelaksanaan RiDE ini, Kerajaan Negeri berhadapan dengan kekangan untuk mendapatkan pemohon dan penyaluran dana kepada pemohon akibat pandemik Covid-19 disebabkan proses pengambilan lesen tidak dapat dijalankan oleh kerana kekangan pihak Jalan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan sekolah memandu tidak dapat beroperasi ketika Perintah kawalan Pergerakan (PKP).
Oleh itu, Kerajaan Negeri telah mencadangkan penambahbaikan kepada inisiatif ini dengan memberi insentif RM500 secara tunai dan RM70 caruman Perkeso setahun. Walau bagaimanapun, caruman Perkeso tersebut telah ditukarkan kepada caruman KWSP sebanyak RM50 sebagai permulaan caruman individu kepada penunggang p-hailing. Mereka juga telah didaftarkan secara percuma penerima manfaat skim insurans INSAN daripada pihak Kerajaan Negeri.
Kerajaan Negeri telah memperuntukan sebanyak RM 2 juta setahun dan sehingga kini sejumlah RM6 juta telah diperuntukan dan disalurkan kepada 9000 penunggang p-hailing yang layak. Untuk rekod, pihak Urus Setia RiDE telah menerima sejumlah lebih 22,000 permohonan disepanjang tempoh tersebut.
Sebagaimana yang telah dimaklumkan oleh Kementerian Kewangan menganggarkan sejumlah 400,000 penunggang p-hailing di seluruh negara. Bertitik tolak kepada jumlah penunggang p-hailing yang masih ramai belum menerima inisiatif ini khususnya di Negeri Selangor, Kerajaan Negeri bercadang untuk menambahbaik program tersebut dan bersedia menambah peruntukan sekiranya perlu.