Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

149) SALAH LAKU PENJAWAT AWAM

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Yew Jia Haur

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah denda dan hukuman yang dikenakan terhadap pegawai penguatkuasa/penjawat awam yang didapati terlibat dalam kes rasuah/salah laku?

    Untuk makluman Yang Berhormat sekalian, Unit Integriti, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor berperanan memantau dan menyelaras pelaporan daripada 43 Jabatan/Agensi di bawah Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor. 43 Jabatan/ Agensi tersebut mempunyai rujukan undang-undang berkaitan tatatertib masing-masing.

     

    Denda dan hukuman yang dikenakan terhadap pegawai penguatkuasa/penjawat awam yang didapati terlibat dalam kes rasuah adalah di bawah Seksyen 24, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) iaitu Penalti bagi kesalahan di bawah seksyen 16 (Kesalahan menerima suapan), seksyen 17 (Kesalahan memberi atau menerima suapan oleh ejen), seksyen 18 (Kesalahan dengan maksud untuk memperdayakan prisipal oleh ejen/tuntutan palsu), seksyen 20 (Secara rasuah mendapatkan penarikan balik tender), seksyen 21 (Penyogokan pegawai badan awam), seksyen 22 (Penyogokan pegawai awam asing) dan seksyen 23 (kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan).

     

    “24. (1) Mana-mana orang yang melakukan kesalahan di bawah seksyen 16,17,20,21,22 dan 23 apabila disabitkan boleh –

    • dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua puluh tahun; dan
    • didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau sepuluh ribu ringgit, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

     

    (2) Mana-mana orang yang melakukan kesalahan di bawah seksyen 18 apabila disabitkan boleh –

    • dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua puluh tahun; dan
    • didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan yang palsu atau silap itu jika butir matan yang palsu atau silap itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau sepuluh ribu ringgit, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.”

     

     

    Manakala denda dan hukuman bagi kesalahan tatatertib adalah seperti:

     

    1. amaran;
    2. denda;
    3. lucut hak emolumen;
    4. tangguh pergerakan gaji;
    5. turun gaji;
    6. turun pangkat; atau
    7. buang kerja.
  2. Adakah Kerajaan Negeri akan wujudkah rancangan untuk mengkaji semula sistem hukuman bagi mereka yang didapati bersalah?

    Pada masa kini, Kerajaan Negeri tiada perancangan untuk mengkaji semula sistem hukuman bagi mereka yang didapati bersalah. Namun, pindaan bagi peruntukan undang-undang/ peraturan-peraturan yang berkuatkuasa boleh dilaksanakan sekiranya terdapat keperluan penambahbaikan.

Lampiran

Tiada Lampiran.