Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
148) PROSES PINDAAN NAMA YANG MEMAKAN MASA
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Tuan Yew Jia Haur
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri untuk memudahkan aturcara pindaan/pemilikan tanah yang kini memakan masa yang lama?
Untuk makluman Yang Berhormat, usaha untuk memudahcara urusan pindahmilik tanah sentiasa dilakukan oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) dan Pentadbiran Tanah Negeri. Ini disebabkan pendaftaran hartanah/ registering property merupakan kriteria yang diambilkira dalam menentukan kedudukan sesebuah negara dalam laporan Ease of Doing Business oleh Bank Dunia. Dokumen perserahan yang lengkap dan layak didaftarkan (fit for registration) hendaklah didaftarkan dalam tempoh satu (1) hari bekerja. Pihak JKPTG telah menetapkan sasaran prestasi 97% bagi pendaftaran pindahmilik tanah diselesaikan dalam tempoh 1 hari. Setiap Pentadbiran Tanah Negeri perlu mengemukakan laporan prestasi pendaftaran pindahmilik tanah kepada pihak JKPTG setiap bulan untuk dipantau.
Selain itu, Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor (PTGS) dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) telah menetapkan piagam pelanggan bagi Permohonan Kebenaran Pindahmilik Tanah di peringkat PDT diproses dalam tempoh dua (2) minggu setelah permohonan lengkap diterima manakala bagi Permohonan Kebenaran Pindahmilik Tanah untuk Kelulusan Y.A.B. Dato’ Menteri Besar Selangor daripada Individu / Syarikat / Persatuan Bumiputera kepada Individu / Syarikat / Persatuan Bukan Bumiputera diproses dalam tempoh dua (2) minggu di PDT dan selanjutnya diproses dalam tempoh dua (2) minggu di PTGS sebelum dikemukakan untuk pertimbangan Y.A.B. Dato’ Menteri Besar Selangor. Pelaksanaan Sistem e-Tanah Selangor yang telah diwartakan pada 26 Oktober 2023 akan mempercepatkan lagi proses permohonan kebenaran pindahmilik kerana permohonan akan dilaksanakan melalui sistem tanpa perlu menunggu fail fizikal permohonan diterima oleh PTGS daripada PDT.
Walau bagaimanapun, proses pindahmilik juga merangkumi urusan-urusan yang melibatkan pihak-pihak lain seperti proses penyediaan perjanjian jual beli oleh firma guaman dan permohonan pembayaran duti setem di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).