Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

132) PENYELENGGARAAN KAWASAN RUMAH LOT

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Preakas A/l Sampunathan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah tanggungjawab Kerajaan dalam memberikan kemudahan asas kepada pembayar cukai tanpa mengira jenis tanah khususnya membina rumah-rumah lot yang diatas tanah pertanian?

    Secara umumnya, Pihak Berkuasa Negeri (PBN) melalui agensi-agensi kerajaan yang berkaitan sememangnya bertanggungjawab untuk menyediakan perkhidmatan dan/atau kemudahan asas seperti infrastruktur am, utiliti, bekalan elektrik dan air, kemudahan jalan serta lain-lain kepada rakyat dan pembayar-pembayar cukai di negeri ini tanpa mengira jenis atau kategori atau syarat nyata tanah yang dimiliki oleh pemilik-pemilik tanah tersebut. Sebagai contoh, Kerajaan Negeri Selangor (atau PBN) melalui Jabatan Kerja Raya (JKR), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan/atau Unit Pembangunan Luar Bandar (PLB) di Pejabat Tanah Daerah akan menyelenggara jalan-jalan sama ada di dalam atau luar bandar dan jalan Negeri tanpa mengira jenis / kategori tanah di mana ia berada, tertakluk kepada syarat bahawa pihak JKR, PBT dan PLB hanya menyelenggara jalan-jalan atau rizab jalan yang telah diserahkan oleh pihak pemilik tanah kepada PBN. Justeru, mana-mana jalan persendirian di atas tanah hakmilik yang memerlukan penyelenggaraan hendaklah dimaklumkan dan/atau diserahkan kepada pihak berwajib mengikut peruntukan Seksyen 200 Kanun Tanah Negara (KTN) [Akta 828], Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172], atau Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 [Akta 133].

     

    Walau bagaimanapun, sebarang pembangunan atau pendirian struktur di atas tanah berstatus kategori pertanian adalah tertakluk kepada peruntukan-peruntukan perundangan di bawah Seksyen 115(1)(a) dan Seksyen 115(4), KTN [Akta 828], atau lain-lain dasar, undang-undang dan peraturan berkaitan yang sedang berkuatkuasa. Pada masa yang sama, pendirian atau pembinaan sesebuah bangunan atau struktur hendaklah mendapatkan kelulusan Kebenaran Merancang dan syarat-syarat teknikal daripada PBT yang berkaitan, selaras dengan peruntukan-peruntukan perundangan di bawah Akta 172.

     

    Sehubungan dengan ini, pembinaan rumah-rumah lot bagi tujuan kediaman di atas tanah pertanian adalah salah di sisi undang-undang kerana ia tidak mematuhi peruntukan Seksyen 115(4) KTN. Mana-mana pemilik tanah pertanian yang dibangunkan atau didirikan binaan atau struktur-struktur selain daripada tujuan satu bangunan kediaman tuan tanah (yang tidak melebihi satu perlima keluasan keseluruhan tanah atau dua hektar, yang mana lebih kurang daripadanya), atau selain bagi tujuan berkaitan dengan pertanian, dianggap telah melakukan kesalahan pelanggaran syarat nyata tanah dan boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan di bawah Seksyen 127 hingga 129 KTN [Akta 828]. Implikasi daripada pelanggaran syarat nyata tanah secara berterusan boleh mengakibatkan tanah tersebut dirampas dan dilucuthakkan di bawah Seksyen 130 KTN kepada pihak Kerajaan Negeri.

  2. Apakah tindakan jangkamasa pendek, sederhana dan panjang untuk penyelenggaraan kawasan-kawasan rumah lot yang kebanyakan di atas tanah pertanian dan juga bersebelahan dengan kilang-kilang tanpa kebenaran?

    Selaras dengan peruntukan Seksyen 116(4), Kanun Tanah Negara (KTN) [Akta 828], sebarang pendirian atau pembinaan struktur atau bangunan seperti bangunan kediaman atau rumah-rumah lot hanya dibenarkan di atas tanah berstatus kategori bangunan dan mempunyai syarat nyata bangunan kediaman. Justeru, semua pembangunan kawasan-kawasan rumah lot yang melibatkan rumah-rumah kediaman di atas tanah pertanian hendaklah membuat permohonan dan mendapatkan kelulusan tukar syarat nyata tanah daripada pertanian kepada kediaman di bawah Seksyen 124 KTN dengan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) yang berkaitan. Pada masa yang sama, semua pembangunan yang melibatkan rumah kediaman juga perlu mendapatkan kelulusan Kebenaran Merancang (KM) dan Pelan Bangunan (PB) sebelum dikeluarkan Certificate of Completion and Compliance (CCC) oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang berkaitan.

     

    Pembangunan dan pemajuan tanah yang tidak mematuhi kategori dan syarat nyata dianggap telah melakukan suatu kesalahan pelanggaran syarat nyata tanah dan boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan di bawah Seksyen 127 hingga 129 KTN [Akta 828], yang boleh membawa kepada perampasan dan pelucuthakan tanah hakmilik tersebut di bawah Seksyen 130 KTN kepada pihak Kerajaan Negeri, jika sabit kesalahan, tanpa usaha untuk meremedi atau menukar syarat nyata tanah. Pemilik tanah juga akan dikenakan tindakan penguatkuasaan oleh PBT di bawah Akta 172 (Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976) dan Akta 133 (Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974).

     

    Sehubungan dengan ini, Kerajaan Negeri tidak mempunyai obligasi perundangan untuk melakukan penyelenggaraan di kawasan-kawasan rumah lot yang dibangunkan di atas tanah pertanian yang belum memohon atau diluluskan tukar syarat nyata tanah oleh PDT, atau tidak memperoleh kelulusan KM, PB atau CCC daripada PBT. Sebaliknya, semua pemilik tanah adalah bertanggungjawab mutlak ke atas sebarang penyelenggaraan yang melibatkan tanah hakmilik. Namun, kerja-kerja penyelenggaraan jalan-jalan persendirian atau lain-lain kemudahan yang telah diserahkan kepada Kerajaan Negeri bagi tujuan kegunaan awam boleh dirujuk kepada Unit Pembangunan Luar Bandar di PDT, atau PBT masing-masing, atau lain-lain agensi kerajaan yang berkaitan. Jalan-jalan persendirian hendaklah diserah kepada Kerajaan melalui borang 12B KTN [Akta 828] untuk diselenggara oleh pihak berwajib. Peruntukan di bawah MARRIS akan disediakan bagi penyelenggaraan semua jalan yang telah disenaraikan oleh pihak berwajib.

Lampiran

Tiada Lampiran.