Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

131) RUMAH PPR

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Preakas A/l Sampunathan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah kediaman PPR di Negeri Selangor?

    Untuk makluman Yang Berhormat, Program Perumahan Rakyat (PPR) yang berada di bawah Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) melalui pengurusan anak syarikat LPHS iaitu Perumahan dan Hartanah Sdn. Bhd. (PHSSB) melibatkan 2 projek seperti berikut :

     

    1. PPR Kg. Baru Hicom, Seksyen 26, Shah Alam sebanyak 980 unit ; dan
    2. PPR Seri Kiambang, Serendah sebanyak 300 unit

     

    Manakala PPR Kota Damansara, Sekyen 8, Petaling Jaya sebanyak 1,152 unit telah diambil alih oleh PHSSB daripada pengurusan oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 1 Mei 2013. Jumlah unit terlibat bagi ketiga-tiga kediaman PPR di atas adalah sebanyak 2,432 unit.

  2. Apakah perancangan kepada permohonan baru yang masih menunggu?

    Perancangan kepada permohonan baru yang masih menunggu adalah tertakluk kepada baki kekosongan unit yang boleh disewakan berbanding stok unit sedia ada. Sehingga September 2023, hanya terdapat 16 unit kosong di Kota Damansara yang boleh ditawarkan kepada permohonan dalam senarai menunggu dan seterusnya akan dipanggil menghadiri sesi temuduga tapisan kelayakan sebelum pengisian dibuat. Manakala dua (2) PPR yang lain telah penuh dibuat pengisian unit.

     

    Selain itu, Kerajaan Negeri juga dalam usaha mendapatkan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan bagi pelaksanaan cadangan Projek Perumahan Rakyat (PPR) baharu di bawah Rolling Plan 3, Rancangan Malaysia Kedua Belas yang akan dimajukan oleh Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Cadangan ini masih dalam peringkat penilaian dan kajian oleh pihak KPKT.

  3. Apakah tindakan kepada penghuni yang tinggal di rumah PPR bagi satu tempoh masa panjang dengan status bukan B40?

    Kerajaan Negeri sedia maklum terdapat beberapa penyewa yang telah melebihi syarat-syarat kelayakan menyewa di PPR iaitu pendapatan melebihi RM3,000.00. Buat masa ini, PHSSB akan mengambil tindakan dengan mengeluarkan notis kepada pemohon terlibat dan tiada pembaharuan kontrak yang telah tamat tempoh sewaan sedia ada.

Lampiran

Tiada Lampiran.