Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
116) PERMASALAHAN BANTUAN BANJIR KILAT
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Lwi Kian Keong
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Tempoh masa banjir kilat sekitar 4 hingga 5 jam. Kelayakan untuk mendapatkan bantuan banjir adalah mangsa perlu berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang telah disediakan. Akan tetapi, mangsa banjir terpaksa mengangkat barang serta mencuci kediaman sebelum air surut. Sekiranya lambat bertindak didalam kediaman mangsa akan dipenuhi oleh sampah dan lumpur yang sukar untuk dibersihkan. Perkara ini perlu diberi perhatian bagi mencari mekanisma yang lebih baik atau meminda syarat - syarat kelayakan untuk menerima bantuan kepada mangsa banjir kilat. Memandangkan nilai kerugian agak tinggi. Adakah inisiatif yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk mangsa banjir kilat?
Untuk makluman Yang Berhormat, banjir kilat boleh didefinasikan sebagai:
- Air yang melimpah dari tebing sungai, tasik atau sistem perparitan disebabkan hujan yang lebat dan berterusan dikawasan yang kekurangan sistem perparitan serta kawasan yang mempunyai perparitan sedia ada yang terlalu kecil, cetek dan terhalang laluan akibat sampah. jumlah air yang banyak menyebabkan air melimpah keluar dari parit dan menyebabkan banjir kilat berlaku. Banjir kilat ini cepat mengalir dan akan surut dalam tempoh tiga (3) ke enam (6) jam daripada tempoh ia bermula.
- Peningkatan paras air perparitan akibat hujan yang berkeamatan tinggi, dalam masa yang singkat dan keadaan tanah yang menakung air disamping sistem perparitan yang tidak efektif. Aktiviti manusia dan pembangunan juga turut menyumbang kepada kejadian banjir kilat ini dengan membuang sisa pepejal kedalam parit dan sungai, enapan dari pembukaan tanah dan kawasan pembinaan serta peningkatan kawasan yang tidak telap air. Banjir kilat akan surut dalam tempoh enam (6) ke kedua belas (12) jam dari tempoh ia bermula.
Situasi mangsa – mangsa banjir kilat yang layak dikategorikan di bawah penerima bantuan kewangan adalah seperti berikut:
- Rumah kediaman yang dimasuki air keseluruhannya atau sebahagiannya yang menyebabkan kerosakan serta kerugian harta benda. Mangsa tidak memerlukan pusat pemindahan kerana air surut dalam masa singkat;
- Rumah kediaman yang dimasuki air keseluruhannya atau sebahagiannya yang menyebabkan kehilangan nyawa ahli keluarga. Mangsa tidak memerlukan pusat pemindahan kerana air surut dalam masa yang singkat; atau
- Rumah kediaman yang tidak dimasuki air tetapi mengalami kerosakan serta kerugian harta benda alih yang besar. Mangsa tidak memerlukan pusat pemindahan kerana air surut dalam masa yang singkat.
Kerajaan Negeri Selangor telah memperuntukkan sumbangan bantuan kewangan kepada mangsa-mangsa bencana dengan kadar tertentu seperti jadual berikut:
BIL. PERKARA KADAR MAKSIMUM (RM)
1. Mangsa Banjir : a. Banjir
b. Banjir kilat yang tidak melibatkan pemindahan mangsa (pembayaran tidak boleh melebihi kadar tahunan dan hanya rumah yang dimasuki air sahaja layak menerima bantuan kewangan)
500.00
250.00
(kadar maksimum setahun)
Kerajaan Negeri Selangor, melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor (JKM) telah menyediakan bantuan dalam bentuk pek makanan kering untuk diedarkan kepada mangsa-mangsa bencana di Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Di peringkat daerah, semua Pejabat Daerah dan Tanah di Negeri Selangor akan membantu pengurusan bekalan dan penyediaan makan dan minum kepada mangsa bencana untuk hari pertama sekiranya pemindahan dilaksanakan dan kemudiannya diambil alih oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor.