Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

104) KENDERAAN ELEKTRIK

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Dr. Quah Perng Fei

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah stesen pengecasan untuk kenderaan eletrik akan diswastakan atau di bawah Pihak Berkuasa Tempatan?

    Dalam usaha memperluaskan ekosistem kenderaan elektrik (EV) di negara ini, pemasangan lebih banyak stesen pengecas EV adalah satu aspek yang perlu diberikan tumpuan utama. Agenda pemasangan pengecas EV telah dirangkumkan di dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dengan sasaran
    di bawah Teras 3: Kelestarian iaitu Negeri Rendah Karbon sebagai agenda utama menjelang tahun 2025. Di bawah RS-1, sasaran telah ditetapkan bagi penyediaan kemudahan stesen pengecas EV sebanyak 1,000 unit menjelang tahun 2025 dan bakal menjangkau 4,000 unit menjelang tahun 2030 melalui Public Private Partnership iatu melalui usaha sama Kerajaan Negeri dengan rakan-rakan strategik yang akan dikenal pasti seperti Gentari. Pendekatan ini amat sesuai kerana projek stesen pengecas EV merupakan projek yang mempunyai daya maju komersial yang tinggi.

    Untuk makluman, berdasarkan kepada data Malaysia Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) dianggarkan sebanyak 516 unit EV didaftarkan di Selangor dari tempoh 2016 hingga suku tahun kedua 2023. Adalah dijangkakan bilangan kenderaan ini akan bertambah memandangkan ekosistem EV
    di Malaysia kini semakin berkembang pesat serta penyediaan insentif oleh Kerajaan Persekutuan.

    Terbaru, Kerajaan Negeri menerusi UPEN dan anak syarikat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) akan melaksanakan kajian kebolehlaksanaan dan rundingan bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan rakan strategik dalam usaha memperbanyakkan akses pengguna kepada stesen pengecas EV, secara tidak langsung dapat menjana ekonomi negeri. Pendekatan ini bertujuan:

     

    • meringankan beban Kerajaan dalam penyediaan kos modal yang tinggi bagi pelaksanaan projek pembangunan dan mengoptimumkan kewangan dalam jangka panjang;
    • penyampaian perkhidmatan yang menekankan aspek penyelenggaraan aset awam secara berterusan dan pengagihan risiko yang optimum;
    • pemilihan syarikat yang berkemampuan dari segi kewangan dan kepakaran.

     

    Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri dan PBT bertindak sebagai badan yang mengawal selia projek dari aspek penguatkuasaan, pemantauan serta aspek yang melibatkan kepentingan awam/pengguna.

  2. Berapah agensi kerajaan yang terlibat dalam pemasangan stesen pengecasan bagi pengendalian keselamatan dan keuntungan untuk semua pihak?

    Umum diketahui bahawa industri EV merupakan industri berpotensi tinggi yang sedang pesat berkembang sama ada daripada segi penggunaan atau pembangunan teknologi. Pelbagai insentif diperkenalkan oleh Kerajaan Persekutuan dalam menggalakkan peralihan kepada EV, seperti pengecualian duti import, duti eksais dan cukai jualan. Ini telah mendorong penglibatan pemain-pemain industri dalam merebut peluang meneroka industry EV.

    Kerajaan Negeri Selangor juga tidak ketinggalan dalam melaksanakan agenda EV bagi mengurangkan pelepasan GHG dalam negeri. Selaras dengan itu, Kerajaan Negeri akan memulakan inisiatif ini di peringkat negeri berdasarkan kepada Garis Panduan Perancangan Petak Pengecasan Kenderaan Elektrik (GP EVCB) yang telah dilancarkan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) yang akan diselaraskan penggunaannya di semua PBT. Bagi perancangan pemasangan stesen pengecasan ini, terdapat beberapa agensi Kerajaan yang terlibat dalam memastikan pengendalian aspek keselamatan dipatuhi serta memenuhi keperluan semua pihak. Antaranya adalah:

     

    Bil. Jabatan/Agensi

    Peranan

    1. UPEN

    Penyelarasan dasar/polisi

    2. MBI

    Pelaksana inisiatif/projek

    3. 12 PBT termasuk Jabatan dalaman PBT.

    Pelaksana projek diperingkat tempatan bagi:

    ·             Penentuan lokasi pemasangan dan penyediaan ruang tapak parkir;

    ·             Pengurusan dan pentadbiran fasiliti;

    ·             Penguatkuasaan dan pemantauan serta kompaun.

    4. Jabatan dan Agensi Negeri

    Pengguna dan pelaksana projek

    5. Pembekal utiliti – tenaga elektrik

     

    Tenaga Nasional Berhad

    6. Vendor aplikasi sistem smart parking

    Mengendalikan aplikasi pengurusan stesen pengecas yang telah dipasang.

  3. Jikalau diswastakan apakah kriteria-kriteria syarikat swasta yang perlu dipatuhi?

    Memandangkan Kerajaan Negeri akan mengorak langkah untuk mempercepatkan transformasi penggunaan kenderaan internal combustion engine kepada kenderaan elektrik, inisiatif usaha sama yang akan dilaksanakan adalah menggunakan pendekatan Public Private Partnership. Kriteria pemilihan syarikat swasta sebagai rakan strategik dan penyedia fasiliti stesen pengecas EV di negeri Selangor adalah:

    • Syarikat perlu mempunyai lesen pemasangan stesen pengecas EV dari Suruhanjaya Tenaga;
    • Berkemampuan dari segi kewangan, tenaga kerja yang berkelayakan dan komited dalam melaksanakan projek;
    • Boleh menyediakan kemudahan smart technology yang mematuhi piawaian dan standard tempatan dan antarabangsa;
    • Boleh melaksanakan integrasi naik taraf atau piawaian/standard perisian yang baharu;
    • Menyediakan sistem aplikasi pengurusan stesen pengecas EV yang menyeluruh dan inklusif bagi tujuan penambahbaikan kemudahan;
    • Mempunyai pasukan teknikal yang kompeten.

    Mengambil kira pembangunan bidang ekonomi baharu berasaskan Tenaga Boleh Baharu, Kerajaan Negeri Selangor bakal mencorakkan hala tuju baharu pembangunan negeri dengan pelaksanaan pembangunan infrastruktur EV di seluruh negeri Selangor, selamat dan mematuhi piawaian teknikal.

Lampiran

Tiada Lampiran.