Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

87) OTOMASI INDUSTRI PENGURUSAN SAMPAH

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Puan Michelle Ng Mei Sze

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah dasar yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan untuk memenuhi manifesto Pakatan Harapan untuk mengotomasikan industri pengurusan sampah?

    Kelestarian alam sekitar sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan Negeri dalam menjayakan Agenda Pembangunan Mampan (SDG). Sebagai sebuah negeri maju di Malaysia dan mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi iaitu hampir 7 juta penduduk, Negeri Selangor turut terkesan dengan penjanaan jumlah sampah tertinggi di Malaysia iaitu kira-kira 7 ribu tan sampah sehari. Dengan janaan sampah yang tinggi setiap hari, Kerajaan Negeri yakin bahawa dasar pengautomasian pengurusan sisa pepejal merupakan satu langkah yang tepat selaras dengan praktis negara-negara maju yang lain.

     

    Antara langkah untuk mengotomasikan pengurusan sisa pepejal ini dari segi aspek pemungutan sampah adalah melalui penggunaan lori-lori kompaktor moden yang dilengkapi dengan sistem pemantauan pintar atau Vehicle Monitoring System (VMS) yang dapat memantau operasi kutipan sampah secara real time. Kerajaan Negeri melalui anak syarikat milik penuhnya, KDEB Waste Management Sdn. Bhd. (KDEBWM) telah membuat pelaburan yang besar dengan pembelian lori-lori kompaktor moden yang dipasang dengan peranti VMS.

     

    Selain itu, KDEBWM juga telah mewujudkan Centralized Command Center (CCC) bagi menguruskan aduan-aduan yang diterima dari rakyat melalui pelbagai saluran aduan termasuk aplikasi pintar i-Clean Selangor.  Ini adalah selaras dengan dasar pengautomasian pengurusan sisa pepejal yang disasarkan oleh Kerajaan Negeri.

     

    Selain itu, melalui Teras 3 Rancangan Selangor Pertama (RS-1) iaitu pemacuan kelestarian, Kerajaan Negeri juga telah meletakkan sasaran untuk mencapai kadar kitar semula kepada 15% menjelang tahun 2025.  Kerajaan Negeri bertekad untuk mewujudkan lebih banyak pusat-pusat kitar semula melalui PBT dan KDEBWM. Pusat-pusat kitar semula ini akan turut dicadangkan untuk menggunakan teknologi canggih seperti kecerdasan buatan (Ai) dan Internet of Things (IoT) bagi pengoperasian yang lebih cekap dan sistematik selain dari memastikan pengumpulan data kitar semula secara real time yang lebih tepat.

Lampiran

Tiada Lampiran.