Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
74) PLAN TINDAKAN KHAS LEMBAH BERINGIN
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Pentadbiran
Adun: Y.B. Puan Lee Kee Hiong
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Adakah Kerajaan Negeri berhasrat mengemukakan plan tindakan khas sebagai panduan pelaksanaan pembangunan Lembah Beringin memandangkan Tanjung Malim akan dibangunkan sebagai Automotive Hi-Tech Valley (AHTV)? Jika tidak, nyatakan sebab-sebabnya.
Buat masa ini kerajaan negeri belum menyediakan Pelan Tindakan Khas (PTK) bagi Lembah Beringin. Namun begitu, ia tidak bermakna Kerajaan Negeri membelakangkan Lembah Beringin dari arus perdana pembangunan.
Merujuk kepada Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 yang telah diwartakan pada 2 Februari 2017 dengan No. Warta 301 Jilid 70, No 3, Lembah Beringin telah dikenalpasti sebagai Kawasan Keutamaaan Perbandaran 1 (KPP 1) yang merupakan kawasan perbandaran sedia ada dan kawasan pembangunan baharu. Kawasan ini juga merupakan kawasan yang sesuai dan berpotensi tinggi untuk pembangunan perbandaran berdasarkan kepada tahap aksessibilitinya yang tinggi dan faktor kedekatannya dengan kawasan perbandaran sedia ada.
Perancangan untuk kawasan Lembah Beringin juga tidak terhenti disini sahaja. Di dalam Rancangan Tempatan Daerah Hulu Selangor 2035 yang telah diwartakan pada 19 Ogos 2021 dengan No. Warta 1809, kawasan Lembah Beringin telah dizonkan sebagai Zon Koridor Pembangunan Sekunder iaitu sebagai sebuah Pusat Petempatan Kecil. Kawasan Lembah Beringin juga telah dikenal pasti sebagai Zon Potensi Utama – Tumpuan 2 yang merupakan Zon Keutamaan Pembangunan Brownfield yang dicadangkan sebagai pembangunan rumah mampu milik / Rumah Selangorku (RSKU) secara usahasama (JV) antara kerajaan negeri dan swasta.