Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
66) PEMBANGUNAN SUKAN DI NEGERI SELANGOR
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Generasi Muda & Sukan
Adun: Y.B. Tuan Syed Ahmad Bin Abdul Rahman Alhadad
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Kali terakhir kontingen Selangor memenangi kutipan pingat tertinggi adalah pada edisi tahun 2016 di Negeri Sarawak, apakah perancangan Kerajaan Negeri untuk mengulangi kejayaan tersebut pada edisi seterusnya tahun 2024 juga di Negeri Sarawak?
Sukan Malaysia (SUKMA) adalah Temasya sukan yang dianjurkan oleh pihak Majlis Sukan Negara Malaysia (MSNM) dengan kerjasama Majlis Olimpik Malaysia, Persatuan Sukan Kebangsaan serta Kerajaan Negeri. Temasya ini telah bermula pada tahun 1986 dan Temasya pada tahun 2022 adalah merupakan edisi yang ke – 20 dianjurkan oleh MSNM.
Secara keseluruhannya negeri Selangor telah menjuarai Temasya ini sebanyak 9 kali daripada 20 kali penganjuran dan merupakan negeri pertama menjuarai enam edisi berturut-turut iaitu pada tahun 1996, 1998, 2000, 2002, 2004 dan 2006. Kali terakhir Kontinjen Negeri Selangor telah menjadi Juara Keseluruhan adalah pada tahun 2016 dengan memenangi 59 Pingat Emas, 73 Pingat Perak dan 63 Pingat Gangsa.
Sebagai persediaan penyertaan Kontinjen Selangor ke Temasya SUKMA 2024 di Sarawak, Pihak Majlis telah mengatur beberapa strategi antaranya pelaksanaan Program Khas Elit yang memberi penumpuan sepenuh masa kepada kumpulan sasaran atlet. Penyediaan sistem latihan yang lebih tersusun adalah untuk memastikan atlet menumpukan kepada latihan yang lebih sistematik dan bersasar. Atlet-atlet yang dikenalpasti adalah merupakan dikalangan atlet terbaik dari sukan individu yang boleh memberikan sumbangan Pingat Emas lebih daripada bilangan 2 pingat.
Bagi tujuan tersebut, pihak Majlis telah membuat penambahbaikan dari segi kemudahan sukan dan peralatan latihan yang sedia ada dengan mengikut spesifikasi sukan yang ditetapkan bagi memastikan atlet dapat berlatih dengan selesa dan baik.
Selain itu, perlantikan jurulatih professional telah dibuat melibatkan jurulatih luar negara mengikut kesesuaian sukan bagi memastikan atlet dapat berlatih dengan level yang lebih tinggi serta bersaing dengan negeri lain. Ianya melibatkan jurulatih bagi sukan Wushu(China), Badminton (Indonesia) dan Skuasy (Pakistan).
Perkhidmatan program Sains Sukan melalui penyediaan program latihan yang lebih komprehensif dengan penglibatan penggunaan bidang sains sukan secara maksima seperti ujian biomekanik, kinelogi, anatomi, fisiologi, pemberian makanan tambahan dan ujian VO2max akan diterapkan dengan kerjasama pihak luar seperti Fakulti Sains Sukan & Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.
Pelaksanaan ujian-ujian kecergasan serta ujian lain mengikut kesesuaian sukan dan atlet. Melalui khidmat sains sukan ini pihak MSNS akan mendapat pengumpulan data atlet (Scorecard) untuk memastikan atlet tersebut telah bersedia untuk ke kejohanan yang tinggi terutama SUKMA seterusnya memastikan atlet tersebut tidak mengalami kecederaan.
Disamping pendedahan kejohanan dalam dan luar negara telah diaturkan bagi memastikan atlet dapat mempraktikan taktikal dan teknik dalam latihan ke kejohanan yang sebenar serta memberikan pengalaman terbaik yang dapat diadaptasi semasa Temasya SUKMA berlangsung.
Adalah menjadi harapan kepada pihak Majlis dengan perancangan dan pelaksanaan yang telah dibuat ini atlet dapat memberikan prestasi terbaik mereka dalam memastikan Kontinjen Selangor dapat menjuarai Temasya SUKMA 2024 serta mengulangi kejayaan yang telah dibuat pada Temasya SUKMA 2016.