Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

65) PLAN PERALIHAN TENAGA NASIONAL (NETR)

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Syed Ahmad Bin Abdul Rahman Alhadad

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan Kerajaan Negeri Selangor untuk memastikan rakyat Negeri Selangor benar-benar mendapat manfaat sepenuhnya dari segi ekonomi dan keselesaan hidup hasil daripada Plan Peralihan Tenaga ini?

    Peralihan tenaga sudah menjadi topik yang semakin kerap diperkatakan, tambahan pula Kementerian Ekonomi telah melancarkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang menggariskan strategi menyeluruh serta inisiatif berimpak tinggi sekali gus mempercepatkan usaha peralihan tenaga negara. Ianya juga menjadi satu dorongan untuk mencapai sasaran pelepasan GHG sifar bersih seawal tahun 2050. NETR bukan sahaja dokumen yang mengandungi langkah untuk memenuhi sasaran sifar karbon, tetapi ia adalah gabungan strategi dan inisiatif yang boleh mengubah ekonomi dan kehidupan rakyat.

     

    Bagi Negeri Selangor, peralihan tenaga ini merupakan anjakan baharu ke arah sumber tenaga yang lebih bersih. Walaupun peralihan tenaga telah berlaku sebelum ini, peralihan ketika ini dijangka akan berlaku dengan lebih pantas. Ini dipacu oleh perkembangan teknologi yang pesat dan dasar perubahan iklim yang kukuh. Dalam konteks ini, Negeri Selangor mengambil langkah progresif supaya kalis cabaran masa hadapan dan meraih kelebihan daripada peralihan tenaga, termasuk:

     

    • menetapkan sasaran dan pelan hala tuju pengurangan pelepasan GHG, terutama pelepasan karbon bagi meningkatkan ekonomi negeri dan kesejahteraan hidup masyarakat;
    • menambah baik dan membangunkan dasar serta mekanisme kawal selia yang akan memudahcara penyertaan sektor swasta dalam memacu peralihan tenaga, termasuk mempermudahkan proses kemasukan teknologi atau inovasi tenaga yang baharu dalam melahirkan modal insan yang berinovatif;
    • meneroka industri solar sebagai alternatif sumber tenaga baharu dengan sokongan pelbagai program dan tawaran insentif yang menarik bagi menggalakkan penjimatan tenaga;
    • menggalakkan pelaburan hijau yang lebih besar, termasuk perancangan jangka panjang dalam sektor pertumbuhan hijau yang berpotensi tinggi bagi membuka peluang pekerjaan pekerjaan yang berkemahiran dan bernilai tinggi.

     

    Dalam mengorak langkah ke arah peralihan tenaga ini, Worldwide Holdings Berhad (WHB) selaku anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor telah melaksanakan beberapa projek peralihan tenaga strategik yang sejajar dengan NETR khususnya dalam sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) iaitu pembangunan Taman Solar bersama-sama dengan penyedia tenaga utama iaitu Tenaga Nasional Berhad.

     

    Justeru itu, Kerajaan Negeri Selangor memainkan peranan penting dalam meningkatkan kehidupan rakyatnya melalui pelbagai tanggungjawab yang berkaitan dengan peralihan tenaga dan pembangunan sosio-ekonomi yang lebih luas. Tanggungjawab ini termasuk:

     

    • Kepimpinan peralihan tenaga: Kerajaan Negeri akan memimpin usaha untuk beralih kepada sumber tenaga yang lebih bersih dan mampan, yang akan memberi manfaat kepada alam sekitar, kesihatan awam, dan ekonomi. Ini termasuk mempromosikan projek tenaga boleh diperbaharui dan inisiatif kecekapan tenaga.

     

    • Kecekapan tenaga: Melaksanakan teknologi dan amalan cekap tenaga sebagai sebahagian daripada pelan tindakan yang boleh menghasilkan penjimatan tenaga untuk isi rumah dan perniagaan.

     

    • Kos tenaga yang lebih rendah: Dalam jangka panjang, sumber RE boleh menjadi lebih kos efektif dan membantu mengurangkan bil tenaga untuk pengguna. Apabila kemajuan teknologi dan skala ekonomi direalisasikan, kos RE cenderung berkurangan, memberi manfaat kepada isi rumah dan perniagaan.

     

    • Pembangunan ekonomi: Memupuk pertumbuhan ekonomi dan penciptaan pekerjaan adalah tanggungjawab utama. Kerajaan Negeri menggalakkan pelaburan dalam tenaga bersih, teknologi dan industri berkaitan untuk merangsang pembangunan ekonomi.

     

    • Pendidikan dan pembangunan tenaga kerja: Menyokong program pendidikan dan pembangunan tenaga kerja, terutamanya dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, membantu rakyat memperoleh kemahiran yang diperlukan untuk peluang pekerjaan baru. Ini termasuk pekerjaan dalam pembuatan, pemasangan, penyelenggaraan, dan penyelidikan dan pembangunan.

     

    • Pembangunan luar bandar dan wilayah: Kerajaan perlu mengutamakan pembangunan di kawasan luar bandar bagi mengurangkan jurang perbezaan antara kawasan bandar dan luar bandar. Ini boleh melibatkan projek infrastruktur, penciptaan pekerjaan dan akses kepada tenaga bersih.
  2. Adakah kerajaan negeri mempunyai perancangan untuk mewujudkan ‘carbon compliance market' bagi merancakkan usaha mencapai sasaran ‘net zero emission 2050'?

    Di peringkat antarabangsa, usaha untuk menangani isu perubahan iklim adalah di bawah Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations Framework Convention on Climate Change – UNFCCC). Bagi memenuhi sasaran pengurangan pelepasan GHG, semua negara perlu melaksanakan tindakan mitigasi pengurangan pelepasan GHG mengikut dasar dan agenda pembangunan masing-masing serta diselaraskan dengan agenda pembangunan mampan seperti United Nations Sustainable Development Goals (UN- SDG). Terdapat keperluan negara untuk mencapai agenda perubahan iklim negara dan menyelaras tindakan bagi memenuhi obligasi negara di bawah UNFCCC dan salah satunya adalah penglibatan dalam mekanisme pasaran karbon antarabangsa. Mekanisme ini telah digariskan di bawah Artikel 6 Para 2, 4 dan 8 Perjanjian Paris dan melibatkan urus niaga kredit karbon yang dijana melalui pelaksanaan aktiviti pengurangan pelepasan atau penyerapan GHG mengikut piawaian tertentu.

     

    Pada masa sekarang, sektor swasta telah mula menunjukkan minat untuk melibatkan diri dalam aktiviti berkaitan pasaran karbon. Memandangkan Negeri Selangor merupakan negeri yang mempunyai pelbagai sektor industri, adalah menjadi satu keperluan untuk Kerajaan Negeri meneliti dan meneroka keperluan mewujudkan dasar/polisi berkaitan pasaran karbon negeri. Ini kerana, kredit karbon yang boleh terhasil adalah dari sektor-sektor seperti tenaga (projek tenaga boleh baharu dan kecekapan tenaga), sektor sisa, dan sektor perhutanan.

     

    Namun begitu, penetapan dasar berkaitan pasaran karbon wajar dilaksanakan di peringkat negara, memandangkan Malaysia mempunyai komitmen tertentu dengan Persidangan Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) yang perlu dicapai. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri secara dasar menyokong inisiatif mekanisme pasaran karbon yang dibangunkan oleh pihak Kerajaan Persekutuan. Kerajaan Negeri bersedia untuk meneroka projek karbon terutamanya yang berkaitan dengan sektor hutan (forestry-based) atau yang berasaskan alam semula jadi (nature-based) seperti mana yang digariskan dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1).  Kerajaan Negeri bersedia untuk terlibat dan mengaplikasikan pasaran karbon
    di peringkat negeri dengan melaksanakan kajian awal serta mengambil kira pandangan pihak-pihak berkepentingan sebelum melaksanakannya.

     

    Antara asas yang merasionalkan Kerajaan Negeri untuk terlibat secara langsung dalam pelaksanaan compliance carbon market adalah:

     

    • pelaksanaan mekanisme pasaran karbon berpotensi untuk menyumbang kepada pembangunan mampan di peringkat tempatan dan menyokong peralihan hijau oleh sektor swasta ke arah kemampanan melalui pemindahan teknologi dan pewujudan peluang pekerjaan hijau;

     

    • menjana sumber kewangan bagi memulihara flora dan fauna, melindungi kawasan tadahan air dan juga mengurus sumber atau tanah secara mampan;

     

    • kredit karbon boleh diurus niada di pasaran karbon dengan harga yang premium berbanding di pasaran karbon sukarela (VCM);

     

    • aktiviti pasaran kredit karbon dan penglibatan entiti awam atau swasta boleh dipantau menerusi pelaporan kepada NRECC, selaku national focal point UNFCCC. Kesemua maklumat berkaitan projek karbon oleh pemaju projek, pelaksanaan pelarasan berpadanan dan laporan status pelaksanaan projek karbon akan digunakan untuk menyediakan laporan-laporan berkaitan mekanisme Artikel 6 kepada UNFCCC termasuk BTR.

     

    Walau bagaimanapun, keperluan menyediakan peruntukan Rang Undang-Undang bagi mengawalselia mekanisma pasaran karbon masih belum disediakan diperingkat Kerajaan Persekutuan memandangkan perkara berkaitan Artikel 6 ini masih belum dimuktamadkan di peringkat antarabangsa. Secara kesimpulannya, Kerajaan Negeri bersedia untuk bekerjasama dengan pihak NRECC dan Bursa Malaysia dalam merealisasikan pasaran karbon di Malaysia, khususnya di Negeri Selangor.

  3. Apakah usaha Kerajaan Negeri Selangor bagi memastikan hak menguruskan karbon di Negeri Selangor kekal di bawah Kerajaan Negeri?

    Dalam melaksanakan inisiatif pasaran kredit karbon ini, mekanisme yang akan dibangunkan hendaklah selari dengan obligasi negara yang digariskan di bawah triti antarabangsa termasuklah UNFCCC dan Perjanjian Paris. Ianya adalah di bawah bidang kuasa Persekutuan. Dalam hal pengoperasian Artikel 6 Perjanjian Paris, NRECC yang mengawal selia isu perubahan iklim berfungsi sebagai national authority bagi Malaysia. Kawalan proses authorization, approval dan pelaporan kepada UNFCCC bagi mekanisme pasaran karbon pematuhan dan sukarela dilaksanakan oleh NRECC.

     

    Dalam masa yang sama, keputusan UNFCCC juga menyatakan bahawa national authority perlu membangunkan aturan kebangsaan (national arrangements) bagi menjelaskan proses-proses penting yang terlibat di dalam mekanisme Artikel 6 seperti approval dan authorization. Ini adalah penting bagi memastikan mekanisme pasaran karbon mematuhi piawaian di bawah Artikel 6 dan dilaksanakan dengan teratur serta selari dengan dasar dan kepentingan negara. Selain itu, proses-proses ini juga menjamin integriti pasaran karbon pematuhan negara dalam menghasilkan karbon kredit yang berkualiti dan berintegriti.

     

    Penetapan dasar dan aturan kebangsaan bagi pelaksanaan mekanisme pasaran karbon di Malaysia ini akan terpakai bagi mekanisme pasaran karbon pematuhan di bawah Artikel 6, Perjanjian Paris dan mekanisme pasaran karbon sukarela. Adalah penting agar dasar dan aturan kebangsaan yang dibangunkan merangkumi kesemua pilihan pasaran karbon yang ada sehingga kini bagi memastikan pelaksanaan mekanisme pasaran karbon di Malaysia selari dengan keputusan UNFCCC dan menyumbang secara langsung kepada pencapaian sasaran NDC, aspirasi pelepasan GHG sifar bersih dan agenda pembangunan mampan negara.

     

    Kerajaan Negeri bersedia untuk meneliti dari pelbagai aspek sekiranya mekanisme pasaran karbon negeri direalisasikan. Kerajaan Negeri juga akan berbincang dengan pihak NRECC bagi mendapatkan input dan hala tuju dalam membangunkan dasar yang lebih holistik untuk negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.