Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
58) PENGERAK BELIA SELANGOR
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Generasi Muda & Sukan
Adun: Y.B. Tuan Muhammad Izuan Bin Ahmad Kasim
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah langkah kerajaan untuk memperkemaskan Pengerak Belia Selangor (PeBS) agar sokongan anak muda dapat dikembalikan kepada kerajaan?
Kerajaan Negeri telah menjenamakan semula Penggerak Belia Tempatan (PeBT) kepada Penggerak Belia Selangor (PeBS) yang di tempatkan di setiap 56 Dewan Negeri Selangor. Seramai 5 orang wakil belia telah ditetapkan bagi setiap Dewan Negeri untuk menjadi agen kepada aktiviti dan suara anak muda. Kerajaan Negeri juga berhasrat untuk memperkasakan PeBS ini ke satu peringkat yang lebih tinggi dan seterusnya melahirkan pelapis pemimpin yang berkualiti. Kerajaan Negeri berhasrat untuk mengubah pelantikan PeBS yang sebelum ini diletakkan di bawah Dewan Negeri kepada struktur baru di bawah Ahli Majlis di setiap Pihak Berkuasa Tempatan supaya penglibatan anak muda dan akan dapat mencapai kepada setiap anak muda secara keseluruhannya. PeBS juga akan disarankan untuk menjalankan aktiviti secara menyeluruh kepada setiap pelusuk kawasan yang telah ditetapkan bagi memastikan tiada belia yang tertinggal.
-
Berapakah peruntukan yang telah disedikan oleh kerajaan bagi PeBS di seluruh Selangor?
Bermula daripada tahun 2021, Penggerak Belia Selangor telah diwujudkan bagi menggantikan Penggerak Belia Tempatan untuk memenuhi keperluan anak muda bagi menjalankan aktiviti yang selaras dengan Dasar Belia Selangor 2020. Setiap Penggerak Belia Selangor dibayar elaun secara bulanan supaya boleh menerajui aktiviti dan program di kawasan masing-masing. Kerajaan Negeri telah memperuntukan sebanyak RM1,411,200 setahun bagi tujuan pembayaran elaun. Manakala bagi menampung perbelanjaan program-program yang dijalankan, Kerajaan Negeri telah memperuntukan RM 20,000 bagi setiap Dewan Negeri setahun berjumlah RM1,120,000.
-
Berapakah jumlah PeBS yang aktif dan tidak aktif bagi tempoh 5 tahun yang lepas? dan senaraikan mengikut DUN.
Penggerak Belia Selangor (PeBS) bermula pada tahun 2021 selaras dengan Dasar Belia Selangor. Pelantikan PeBS seramai 5 orang wakil belia disetiap 56 Dewan Negeri Selangor berjumlah seramai 280 orang merangkumi jawatan Ketua, Setiausaha, Bendahari, Ahli Jawatankuasa I dan Ahli Jawatankuasa II. Pelantikan ahli PeBS yang aktif bagi tahun 2021 seramai 277 orang, tahun 2022 seramai 268 dan tahun 2023 seramai 249. Manakala bagi ahli PeBS yang tidak aktif pada tahun 2021 seramai 3 orang, tahun 2022 seramai 12 orang dan tahun 2023 seramai 31 orang.