Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

31) ISU HAKMILIK TANAH DUN RAWANG

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Nyatakan status kini proses permohonan hakmilik tanah untuk kawasan perumahan Kampung Sungai Terentang, Taman Bukit Rawang Jaya & Jalan Stesen, Batu Arang.

    1. Kampung Baru Sungai Terentang

     

    Berdasarkan semakan bagi Kampung Baru Sungai Terentang, permohonan penyerahan balik secara keseluruhan tanah di bawah Seksyen 197 Kanun Tanah Negara (KTN) dan pelupusan secara pemberimilikan di bawah Seksyen 76 KTN untuk melanjutkan tempoh pajakan tanah sehingga sembilan puluh sembilan (99) tahun bagi tujuan bangunan kediaman kepada lima puluh sembilan (59) pemohon telah diselesaikan pada tahun 2022. Satu majlis penyampaian Notis Borang 5A telah disempurnakan oleh YB Tuan Chua Wei Kiat, ADN Rawang pada 29 Oktober 2022. Terdapat baki sebanyak dua puluh (20) permohonan yang sedang diproses dan empat (4) daripadanya adalah melibatkan isu pelanggaran syarat nyata tanah yang perlu dipertimbangkan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

     

    Pada masa yang sama, Pentadbir Tanah Gombak mencadangkan agar mana-mana pemilik tanah yang belum dipertimbangkan kelulusan untuk mengemukakan permohonan melanjutkan tempoh pajakan melalui Sistem eTanah.

     

    1. Taman Bukit Rawang Jaya

     

    Untuk makluman, berdasarkan semakan bagi Taman Bukit Rawang Jaya pula, permohonan pelupusan secara pemberimilikan Tanah Kerajaan di bawah Seksyen 76 KTN ke atas 188 pemohon telah diselesaikan pada tahun 2022. Satu majlis penyampaian Notis Borang 5A telah disempurnakan oleh YB Tuan Chua Wei Kiat, ADN Rawang pada 3 September 2022. Terdapat baki sebanyak enam puluh dua (62) permohonan yang diproses dan sebahagiannya adalah melibatkan isu tapak yang mempunyai lebih daripada satu(1) Pelan Akui.

     

    Manakala sebanyak lapan puluh (81) permohonan baru telah diterima sejak akhir tahun 2022 dan permohonan tersebut sedang diproses oleh Pentadbir Tanah Gombak.

     

    1. Jalan Stesen dan Bukit Nenas, Batu Arang

     

    Seterusnya, bagi Jalan Stesen dan Bukit Nenas, Batu Arang, berdasarkan semakan, Pentadbir Tanah Gombak sedang memuktamadkan semula kertas ringkasan bagi serratus empat puluh empat (144) permohonan pelupusan secara pemberimilikan Tanah Kerajaan di bawah Seksyen 76 KTN di Jalan Stesen dan Bukit Nenas, Batu Arang selaras dengan ulasan terkini oleh pihak Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD) Negeri Selangor dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS). Kertas ringkasan tersebut dijangka akan dikemukakan kepada Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) pada bulan Disember 2023 untuk pertimbangan Pihak Berkuasa Negeri.

Lampiran

Tiada Lampiran.