Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
4) PENCEROBOHAN TANAH KERAJAAN
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Puan Pua Pei Ling
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Berapakah kes pencerobohan tanah kerajaan mahupun rizab sungai dan rizab talian TNB yang dilaporkan khususnya di sekitar kawasan DUN Bukit Lanjan?
Untuk makluman Yang Berhormat, Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah mengemukakan empat (4) aduan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Petaling berhubung pencerobohan Tanah Kerajaan (Simpanan Talian Rentis) di dalam kawasan DUN Bukit Lanjan. Maklumat terperinci adalah seperti berikut;
BIL LOKASI STRUKTUR PENCEROBOHAN
1 Jalan Tanjung SD 13/3, Bandar Sri Damansara, Selangor Koordinat:
(3.189096, 101.601263)
i. Kandang Kambing
ii. Bengkel Jentera Berat
iii. Stor dan Tempat Meletak Lori
iv. Nurseri
2 Jalan Tembaga SD 5/2A, Bandar Sri Damansara, Selangor Koordinat:
(3.203185, 101.617068)
i. Tempat Meletak Kenderaan
ii. Tempat Meletak Kabin
3 Persiaran Mahogani, Bandar Sri Damansara, Selangor Koordinat:
(3.207060, 101.620564)
i. Tempat Mencuci Kereta
ii. Kedai Makan
iii. Shrine
4 Jalan Kuala Selangor – Kepong Koordinat:
(3.200547, 101.615055)
i. Nurseri
Pejabat Daerah dan Tanah Petaling telah menyerahkan notis selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara kepada semua pemilik struktur untuk mengosongkan tapak-tapak tersebut kerana melibatkan isu keselamatan. Pemantauan dan tindakan penguatkuasaan dari semasa ke semasa akan dilaksanakan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Petaling.
-
Apakah perancangan dan usaha Kerajaan Negeri bagi mengurangkan dan mengelakkan berlakunya isu pencerohan tanah kerajaan terutama rizab sungai yang diceroboh oleh penduduk yang tinggal bersebelahan sungai dan menyebabkan kerja-kerja naiktaraf tebing sungai tidak dapat dilaksanakan di Kg Desa Aman?
- Pencerobohan rizab sungai telah menyebabkan kesukaran kepada pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor untuk melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan serta kerja-kerja menaiktaraf sungai dan sebagainya. Isu pencerobohan rizab sungai di Kampung Desa Aman telah berlarutan sejak beberapa tahun, namun JPS telah mengambil inisiatif dengan mengadakan perbincangan di antara penduduk dan Agensi yang terlibat seperti JPS Daerah Gombak, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Majlis Perbandaran Selayang (MPS) serta Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Gombak bagi membincangkan isu laluan penyelenggaraan kepada pihak JPS untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan serta menaiktaraf sungai secara berperingkat sebagai penyelesaian jangka pendek bagi masalah ini. Justeru, isu pencerobohan rizab ini perlu ditangani secara bersama dengan semua agensi yang terlibat bagi memastikan perkara ini tidak menganggu usaha JPS untuk melaksanakan kerja-kerja bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan tersebut.
-
Apakah cara penyelesaian jangka masa panjang bagi menangani masalah pencerobohan tanah kerajaan oleh pihak Kerajaan Negeri?
Setelah isu pencerobohan diselesaikan, JPS dalam perancangan untuk mewartakan rizab sungai di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara (KTN) dan membina pagar kekal di sepanjang rizab berkenaan bagi mengelakkan isu pencerobohan daripada berulang.
Selain daripada itu, pelaksanaan program Denai Sungai Kebangsaan (DSK) juga dilihat dapat mengurangkan pencerobohan kerana pembinaan denai tersebut melibatkan penglibatan orang awam, syarikat swasta dan juga Badan Bukan Kerajaan (NGO).