Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
392) DASAR PERLANTIKAN DAN GAJI
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Pentadbiran
Adun: Y.B. Tuan Preakas A/l Sampunathan
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah halangan utama untuk Kerajaan Negeri melaksanakan dasar gaji RM3000 kepada seluruh kakitangan DUN?
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat Kota Kemuning, penetapan gaji kerani Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) adalah berdasarkan kepada syarat kelayakan skim perkhidmatan Pembantu Tadbir Gred N19 (kelayakan SPM) di mana gaji hakikinya adalah sebanyak RM1,352.00. Sebarang peningkatan kepada kadar gaji kerani PKM akan melibatkan implikasi kewangan yang lebih tinggi dan perlu dilihat bersekali dengan jawatan-jawatan setara yang lain.
Walau bagaimanapun, kerani PKM mendapat manfaat yang lebih berbanding kakitangan Contract For Service (CFS) yang lain di mana mereka layak mendapat caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Selain itu, sebarang kenaikan melibatkan tambahan peruntukan juga adalah tertakluk kepada kedudukan kewangan Kerajaan Negeri.
-
Apakah langkah yang diambil oleh kerajaan bagi menukar status kerja kontrak kepada status kerja tetap bagi kakitangan kerajaan yang telah berkhidmat selama tempoh 10- 15 tahun?
Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Selangor (SPN Selangor) yang berfungsi melantik anggota perkhidmatan awam Pentadbiran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor telah melaksanakan beberapa langkah bagi memberi peluang kepada pegawai lantikan kontrak bagi menjawat jawatan secara lantikan tetap seperti berikut:
і. Mempelawa calon yang sedang berkhidmat secara lantikan kontrak yang mempunyai kelayakan mengikut syarat skim perkhidmatan jawatan tertentu memohon secara atas talian melalui sistem eSPNS sekiranya terdapat iklan kekosongan jawatan ditawarkan;
ii. Melaksanakan tapisan syarat kelayakan minimum sahaja mengikut skim perkhidmatan dalam urusan saringan caon berbanding calon yang tidak berkhidmat secara kontrak dalam perkhidmatan awam;
iii. Memberi keutamaan peluang untuk hadir temuduga kepada calon yang sedang berkhidmat secara kontrak dalam perkhidmatan awam berbanding calon yang tidak mempunyai pengalaman bekerja dalam perkhidmatan awam; dan
iv. Calon yang sedang berkhidmat secara kontrak dalam perkhidmatan awam diberi merit keutamaan berdasarkan tahun pengalaman bekerja dalam lantikan kontrak sama ada dalam skim perkhidmatan yang sama atau skim perkhidmatan yang berlainan. Merit ini memberikan markah tambahan kepada calon yang sedang berkhidmat dalam lantikan kontrak berbanding calon daripada luar perkhidmatan awam dalam penilaian temuduga.