Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
382) PEMBANGUNAN WANITA SELANGOR
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Wanita & Keluarga
Adun: Y.B. Puan Pua Pei Ling
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah inisiatif Kerajaan Negeri yang telah dilaksanakan dalam perkara pembangunan wanita antara tahun 2013-2023?
Kerajaan Negeri prihatin dan mengambil berat akan isu-isu dan cabaran yang mendepani kaum wanita terutama pada masa kini yang menuntut kaum wanita untuk lebih berdaya, berani, berjaya di alam kerjaya dan rumahtangga. Pelbagai inisiatif dan program pemberdayaan dan pembangunan wanita telah dilaksanakan dalam membina jati diri dan kepimpinan kaum Wanita. Antara inisiatif-inisiatif Kerajaan Negeri yang telah dilaksanakan bagi pembangunan wanita Selangor di antara tahun 2013 hingga 2023 adalah seperti berikut:
- Penubuhan Institut Wanita Berdaya (Tahun 2017)
- Pelancaran Dasar Wanita Selangor (2017 – 2020)
- Pemerkasaan dan Pelaksanaan Pusat Wanita Berdaya (2018 – kini)
- Penubuhan Akademi Kepimpinan Wanita (2019)
- Penubuhan Wanita Berdaya Selangor (Tahun 2021)
- Mewujudkan Talian SELamat (Hotline Khusus Keganasan Rumah Tangga – Tahun 2021)
- Pembangunan Dasar Wanita Selangor dan Pelan Tindakan (2024 – 2026) yang akan dilancarkan pada awal 2024
-
Apakah pendirian dasar Kerajaan Negeri untuk memastikan penglibatan wanita dalam program pembangunan dan peningkatan tahap sosio ekonomi?
Bagi memastikan penglibatan wanita dalam program pembangunan dan peningkatan tahap sosio ekonomi, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Wanita dan Keluarga bersama Wanita Berdaya Selangor (WBS) telah melaksanakan pelbagai program khususnya untuk wanita seperti berikut:
- Pusat Wanita Berdaya (PWB) yang diketuai oleh 56 Penyelia di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor telah diberikan pelbagai latihan kepimpinan, pembangunan kapasiti dan kemahiran seiring dengan keperluan semasa. Sebanyak sepuluh (10) modul kemahiran dan sepuluh (10) modul pembangunan kapasiti disediakan sebagai panduan kepada PWB untuk melaksanakan program pembangunan wanita di komuniti;
- WBS amat komited dalam memastikan pembangunan wanita dari pelbagai sumber program seperti Global Asian Women Leaders Network – Women2Win, dan Pembelajaran Sepanjang Hayat dengan penawaran biasiswa kepada wanita untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi bagi menaiktaraf kehidupan sosial, ekonomi dan kendiri yang lebih sejahtera; dan
- Program Jaringan Muafakat Wanita Berdaya (JMWB) telah dilaksanakan bermula tahun 2019 dengan sasaran golongan wanita terpinggir dan kekurangan akses kepada sumber yang lazimnya terdapat di bandar. Pelbagai bengkel latihan bagi menjana pendapatan dan ekonomi wanita turut dilaksanakan seperti Program Usahanita Selangor.
-
Apakah tahap kejayaan yang dicapai menerusi inisiatif yang dilaksanakan?
Untuk makluman Yang Berhormat, program Akademi Kepimpinan Wanita (AKW) yang diperkenalkan pada tahun 2021 telah melahirkan seramai 248 orang graduan setelah menjalani pembelajaran mengikut tempoh masa yang telah ditetapkan melalui dua (2) kohort iaitu Kohort 1 (Tahun 2019/2020) seramai 81 orang graduan dan Kohort 2 (Tahun 2020/2021) seramai 99 orang graduan. Manakala bagi Kohort 3 ( Tahun 2021/2022) telah selesai menamatkan modul pembelajaran dan bergraduasi pada 21 Oktober lalu meibatkan seramai 121 orang graduan.
Berdasarkan rekod, seramai 113 orang daripada 180 orang graduan AKW daripada Kohort 1 dan Kohort 2 mewakili peratusan sebanyak 62.7% kini sedang bekerja dalam pelbagai bidang pekerjaan. Manakala bagi pelajar Kohort 3 AKW yang telah tamat modul pembelajaran lalu mempunyai seramai 75 orang yang sedang bekerja daripada keseluruhan 121 orang pelajar iaitu sebanyak 61.9%. Data ini menunjukkan bahawa lebih daripada separuh para graduan AKW kini merupakan golongan wanita yang sedang bekerja dalam pelbagai bidang selaras dengan objektif pelaksanaan AKW untuk melahirkan para pemimpin wanita yang mempunyai ilmu dan kemahiran dan dapat menerajui dan memimpin dalam pelbagai bidang pekerjaan dan organisasi.