Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

381) LIBERAL

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Hal Ehwal Islam

Adun: Y.B. Tuan Nushi Bin Mahfodz

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri selangor untuk menangani isu Islam liberal?

    Kerajaan Negeri Selangor melalui JAIS telah melakukan beberapa perkara sebagai usaha menangani isu Islam liberal, antaranya ialah:

     

    1. Melaksanakan program-program pengukuhan akidah Islam di peringkat negeri dan di peringkat daerah untuk mengukuhkan akidah Islam dalam diri setiap orang Islam di semua peringkat umur. Program pengukuhan akidah ini dilaksanakan dalam bentuk seminar, forum dan ceramah di lokasi yang dihadiri oleh masyarakat dan juga sebahagiannya boleh ditonton secara langsung di media sosial.
    2. Mendidik orang Islam melalui pendidikan dengan menyediakan kurikulum pengukuhan akidah di dalam silibus pembelajaran di sekolah-sekolah rendah dan menengah di bawah seliaan JAIS. Di samping itu pengajian akidah juga turut di ajar oleh guru-guru takmir di masjid dan surau di seluruh Negeri Selangor yang mana kelas ini boleh dihadiri dan disertai oleh orang Islam.
    3. Memberi penjelasan dan pemahaman kepada orang Islam mengenai fatwa pengharaman liberalism melalui poster infografik dan videografik yang disebarkan di internet terutamanya di media sosial.
    4. Menyediakan teks-teks khutbah Jumaat yang bertajuk Bahaya Pemikiran Islam Liberal, Fahaman Liberal Perosak Akidah, Liberal Perosak Islam, LGBT Tabiat Songsang dan Menangani LGBT.
    5. Menghasilkan penulisan mengenai liberalisme melalui artikel, jurnal, pamphlet dan buku. Ia disebarkan secara percuma kepada masyarakat dan sebahagiannya boleh dimuat turun daripada laman web JAIS.
    6. Mengekang pemikiran liberalism dalam kalangan orang Islam melalui kawalan tauliah ceramah.
    7. Menguatkuasakan keputusan fatwa mengikut Seksyen 7 berhubung doktrin palsu, Sesksyen 12 (c) berhubung menghina pihak berkuasa agama (Mufti) dan Seksyen 13 berhubung pendapat bertentangan dengan fatwa, Enakmen Jenayah Syariah Selangor Tahun 1995.
  2. Bagaimana Kerajaan Negeri memanfaatkan jaringan bersama NGO dalam menangani isu-isu Islam liberal di Negeri Selangor?

    Kerajaan Negeri memanfaatkan jaringan bersama NGO dalam menangani isu-isu Islam liberal melalui kerjasama JAIS dengan NGO Islam terutamanya NGO Islam yang didaftarkan sebagai sahabat MAIS. Sebanyak 84 NGO Islam di bawah MAIS yang dibahagikan mengikut kluster dan salah satu kluster yang berkaitan akidah adalah Kluster Pemantapan Akidah yang diselaraskan oleh Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan JAIS.

    Antara usaha-usaha dimanfaatkan melalui jaringan kerjasama NGO Islam ini untuk mengekang pemikiran liberalism ini adalah:

    1. Program kerjasama JAIS dan NGO Islam dalam memberi pemahaman dan penjelasan mengenai bahaya liberalisme yang dihadiri oleh masyarakat di setiap daerah.
    2. Mesyuarat berkala bersama NGO Islam sebagai satu medium JAIS memberi saranan dan galakan kepada NGO Islam untuk sentiasa menyokong usaha-usaha JAIS dan MAIS mengukuhkan akidah Islam dalam kalangan orang Islam di Negeri Selangor.
    3. Hubungan dua hala dan kerjasama strategik dalam memberi dan mendapatkan maklumat mengenai apa jua isu-isu mengenai akidah Islam.

Lampiran

Tiada Lampiran.