Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

360) PENGURUSAN DAN PENCEGAHAN BANJIR

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Muhaimin Harith Bin Abdullah Sani

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah kaedah yang dijalankan oleh kerajaan untuk menyelesaikan isu-isu banjir di Batang Kali agar ia tidak berulang?

    Mukim Batang Kali terletak dalam lembangan Sungai Batang Kali. Hulu Sungai Batang Kali terletak di Genting Highlands dan melalui Ulu Rening, Kampung Kuantan, Kampung Sungai Masin, Kampung Genting Malek, Kampung Sekolah serta beberapa taman perumahan sebelum sampai ke pekan lama Batang Kali. Sungai ini kemudian bercantum dengan Sungai Liam dari Hulu Yam Lama dan bersambung dengan Sungai Selangor yang mengalir hingga ke Bukit Beruntung. Sungai Batang Kali ini pula berpecah kepada beberapa anak sungai seperti Sungai Bertam, Sungai Tenang dan Sungai Kali. Panjang Sungai Batang Kali dianggarkan 20km dari hulu ke hilir.

     

    Beberapa kawasan di Batang Kali telah dikenalpasti sebagai kawasan hotspot banjir antaranya Kampung Sentosa, Taman Seri Cahaya, Kampung Sekolah, Kampung Sungai Masin dan Kampung Genting Malik. Berdasarkan rekod Batang Kali pernah dilanda banjir besar pada tahun 2012 disusuli beberapa banjir kilat sehingga tahun 2022.

     

    Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor sedang menjalankan Projek Rancangan Tebatan Banjir Sg. Batang Kali bagi mengatasi isu banjir yang sering berlaku. Berikut adalah perincian projek tersebut:-

    Dengan pelaksanaan projek ini, kejadian banjir di Batang Kali terutamanya di Kampung Sekolah, Kampung Sungai Masin dan Kampung Genting Malik dijangka dapat dikurangkan.

  2. Apakah kaedah dan cara pengurusan kerajaan menghadapi situasi banjir di setiap peringkat daerah di Selangor sebelum, semasa dan selepas berlakunya banjir?

    1. Kerajaan Negeri melaksanakan pengurusan yang komprehensif berpandukan Arahan MKN20 – Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara. Secara umumnya, pengurusan bencana dibahagikan kepada 3 fasa, iaitu sebelum, semasa, dan selepas bencana.

     

    Sebelum musim Monsun Timur Laut (MITL), iaitu fasa sebelum bencana, agensi teknikal seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) akan melaksanakan tindakan-tindakan berikut:

     

    1. Mengenalpasti dan menyelenggara rekod kawasan-kawasan banjir;
    2. Memastikan infrastruktur untuk sistem ramalan dan amaran awal banjir berada dalam keadaan sempurna;
    3. Menyalur maklumat banjir dari segi hebahan media cetak atau elektronik kepada orang awam;
    4. Membuat pemantauan banjir dari segi ramalan banjir berdasarkan kuantiti hujan yang turun, kenaikan paras air sungai;
    5. Mengenalpasti kawasan banjir dengan keutamaan ‘hot spot’ kawasan banjir. Keutamaan ‘hot spot’ kawasan banjir merujuk kepada kawasan yang ditenggelami air secara berulang kali; dan
    6. Memantau tindakan agensi dalam melaksanakan program pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur saliran.

     

    Semasa kejadian bencana, agensi-agensi respon akan memainkan peranan utama menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa-mangsa bencana. Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) juga akan diaktifkan oeh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah untuk penyelarasan maklumat bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

     

    Selepas kejadian bencana, semua agensi akan menumpukan aktiviti-aktiviti pasca bencana, melibatkan pembersihan kawasan-kawasan yang terjejas. Selain itu juga, Kerajaan Negeri akan menggerakkan bantuan sukarelawan melibatkan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), serta individu-individu yang memberikan sumbangan. Dalam masa yang sama, JPBD dan JPBN akan menyelaraskan maklumat mangsa bagi pengurusan agihan bantuan wang ihsan kepada mangsa yang terkesan. Agensi teknikal akan menyediakan laporan dan penilaian kerosakan, serta mengenal pasti dan memberi cadangan penyelesaian terhadap kejadian bencana.

    Dengan pelaksanaan projek ini, kejadian banjir di Batang Kali terutamanya di Kampung Sekolah, Kampung Sungai Masin dan Kampung Genting Malik dijangka dapat dikurangkan.

Lampiran

Tiada Lampiran.