Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
350) PEMBINAAN DEWAN
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Tuan Rosnizan Bin Ahmad
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah Kerajaan Negeri memberikan kebenaran dan menyediakan peruntukan kepada pihak masjid yang ingin membina dewan orang ramai ditapak kawasan masjid?
Ya, kerajaan negeri boleh mempertimbangkan untuk memberi kebenaran jika pihak masjid ingin membina dewan. Walaubagaimanapun, Kerajaan Negeri tidak menyediakan peruntukan bagi pembinaan dewan serbaguna tersebut kerana pembinaannya bukan suatu keutamaan berbanding bangunan utama masjid, melainkan sekiranya keperluan dewan tersebut telah diambil kira diperingkat awal perancangan pembinaan masjid baru dan dana kutipan wakaf pembinaan dewan tersebut telah mencukupi semasa permohonan Kebenaran Merancang (KM) ke Pihak Berkuasa Tempatan dibuat.
Bagi pembinaan dewan serbaguna di kawasan masjid yang lama perlu terlebih dahulu mendapatkan kebenaran atau kelulusan dari Jawatankuasa Tadbir Urus Masjid Dan Surau negeri Selangor (JATUMS) sebagai Jawatankuasa Tetap di bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang mengawal selia tadbir urus masjid dan surau di Negeri Selangor.
-
Apakah syarat-syarat dalam permohonan membina dewan ini?
Syarat-syarat permohonan pembinaan dewan ini adalah:
- Mendapatkan persetujuan awal dari kalangan Jawatankuasa Masjid
- Membuat permohonan pembinaan ke JAIS melalui Pejabat Agama Islam Daerah
- Memastikan pembinaan dewan tidak akan menggangu perancangan dan penggunaan tapak bagi tujuan pembesaran masjid masa hadapan
- Mendapatkan kelulusan Mesyuarat Jawatankuasa Tadbir Urus Masjid Dan Surau Negeri Selangor (JATUMS)
- Mendapatkan sumber kewangan kutipan wakaf / infak awam atau korporat bagi membiayai sepenuhnya pembinaan; dan
- Mendapatkan Kelulusan Merancang (KM) dan Kelulusan Pelan Bangunan dari Pihak Berkuasa Tempatan.