Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
337) AIR SELANGOR
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Tuan Muhammad Hilman Bin Idham
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah usaha holistik Kerajaan Negeri melalui Air Selangor untuk mengelakkan masalah paip pecah di kawasan Prima Sri Gombak dan apakah jaminan masalah ini tidak akan berulang?
Kejadian paip pecah di kawasan Prima Sri Gombak berlaku pada jajaran paip usang yang berada di luar Zon Kawalan Tekanan Meter (atau District Metering Zone (DMZ)); dan Zon Pemantauan Tekanan (atau Pressure Monitoring Zone (PMZ)).
Bagi mengatasi masalah ini, Air Selangor telah mengambil tindakan jangka pendek dengan memasang Injap Kawalan Tekanan (PRV) untuk mengawal tekanan air di jajaran paip usang bagi mengurangkan kejadian paip pecah berulang di kawasan tersebut.
Manakala, bagi tindakan jangka panjang pula, Air Selangor telah melaksanakan Program Penggantian Paip bagi menggantikan paip usang bersaiz 450mm dari jenis simen asbestos kepada paip baru jenis keluli lembut (atau Mild Steel) sepanjang 860 meter di kawasan Prima Sri Gombak yang mula dilaksanakan pada tahun 2022. Setakat ini, kerja-kerja tersebut telah pun mencapai status kemajuan kerja sebenar di tapak sebanyak 83% – yang mana ini bermaksud kerja pemasangan paip telah pun siap dan kini sedang dalam peringkat pelaksanaan ujian tekanan dan kebocoran paip sebelum penyambungan ke rangkaian sistem sedia ada dijalankan.
Kerja-kerja ini dijangka akan siap pada penghujung November 2023 termasuk kerja-kerja penurapan jalan.
MAKLUMAT TAMBAHAN
Bagi setiap 1 kilometer panjang paip, lebih kurang RM1.5 juta perlu diperuntukkan untuk menjalankan Program Penggantian Paip di Selangor. Menerusi program ini, Air Selangor telah merancang untuk menambah panjang jajaran paip usang untuk diganti daripada 150 km kepada 300 km bermula tahun hadapan dalam usaha mengurangkan insiden paip pecah disebabkan oleh paip usang di samping memastikan sistem aset pengagihan air sentiasa berada pada tahap optimum pada setiap masa.