Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

318) CCTV UNTUK KESELAMATAN WANITA DAN KANAK KANAK

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Puan Nurul Syazwani Binti Noh

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bagaimanakah manifesto pemasangan CCTV boleh memastikan keselamatan rakyat Selangor terutama wanita dan kanak-kanak lebih terjamin?

    Pemasangan CCTV di seluruh negeri Selangor adalah berdasarkan kepada pelaksanaan program “Bandar Selamat” di bawah PLANMalaysia. CCTV dipasang mengikut keperluan di daerah dan setakat ini terdapat 414 CCTV di seluruh Negeri Selangor milikan Kerajaan Negeri yang ditempatkan di 11 Pihak Berkuasa Tempatan (tidak termasuk Majlis Perbandaran Ampang Jaya) dan turut digunakan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah.

     

    Tujuan CCTV ini dipasang adalah untuk memudahkan pemantauan berterusan oleh pihak PBT dan IPD terutamanya di kawasan-kawasan yang berisiko tinggi. Walaupun tujuan pemasangan CCTV ini bukan dikhaskan untuk keselamatan wanita dan kanak-kanak, kegunaannya telah merangkumi keselamatan semua pihak termasuk wanita dan kanak-kanak seperti berikut:

     

    1. pengawasan yang lebih selamat dan mengurangkan kadar jenayah jalanan;
    2. pemantauan aktiviti bandar seperti pengurusan trafik, aktiviti penjaja, penguatkuasaan, parkir kenderaan dan kawalan kebersihan;
    3. meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kawalan keselamatan di tempat umum dan terbuka;
    4. membantu PBT dan PDRM menjalankan tugas penguatkuasaan seharian.

     

    Pemasangan kamera CCTV di kawasan yang mudah dilihat dapat bertindak sebagai penghalang (deterrent) kepada penjenayah untuk melakukan jenayah di kawasan tersebut. Sekiranya insiden jenayah tetap berlaku, rakaman CCTV dapat digunakan untuk membantu pihak polis membuat pengecaman dan mendapatkan bukti-bukti lain bagi mensabitkan penjenayah dan mendapatkan keadilan untuk mangsa. Semua perkara ini dapat membantu memastikan keselamatan rakyat negeri Selangor.

  2. Bagaimanakah kuota pemasangan CCTV di dalam dan luar bandar ditentukan?

    Kuota 414 buah CCTV di Negeri Selangor adalah ditetapkan mengikut keperluan dan kesesuaian kawasan sesebuah Pihak Berkuasa Tempatan. Namun, berdasarkan kepada Garis Panduan Pemasangan CCTV Di Premis Perniagaan dan Tempat Awam yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancang Bandar dan Desa pada tahun 2010, kuota tersebut adalah berdasarkan kepada lokasi-lokasi yang perlu ditetapkan iaitu lokasi umum antaranya seperti kawasan berisiko tinggi seperti di lorong-lorong kawasan dan kaki lima premis dan lokasi khusus antaranya seperti pintu masuk dan keluar premis, kawasan perumahan dan laluan bangunan. Pengenalpastian lokasi-lokasi ini merangkumi kawasan-kawasan di luar dan dalam bandar mengikut kawasan Pihak Berkuasa Tempatan.

  3. Bagaimana pula dengan perlaksanaan dan pemantauan operasi CCTV itu nanti?

    Pada masa ini, pelaksanaan dan pemantauan operasi CCTV adalah dikendalikan oleh 11 Pihak Berkuasa Tempatan (kecuali Majlis Perbandaran Ampang Jaya) dan Ibu Pejabat Polis Daerah. Pihak Berkuasa Tempatan akan menyalurkan data video feed kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah untuk sebarang tindakan lanjut di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia. Bagi Pihak Berkuasa Tempatan, pemantauan dibuat ke atas perkara-perkara melibatkan bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan antaranya seperti kesalahan parkir.

     

    Kerajaan Negeri juga sedang dalam usaha untuk mengintegrasikan pengoperasian 414 buah CCTV kepada Smart Selangor Operations Centre yang berpusat di bangunan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor. Pengintegrasian ini akan dapat membantu pemantauan hampir keseluruhan kawasan di Negeri Selangor daripada ibu pejabat Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor. Pengintegrasian ini akan turut menggunakan sistem analitik yang menggunakan kecerdasan buatan [Artificial Intelligence (AI)] untuk menambah sistem analitik ke atas sistem CCTV yang sedang digunakan. Sistem analitik tersebut adalah bertujuan untuk penjejakan kenderaan, penjejakan individu, anggaran pelepasan karbon, pembuangan sampah haram, parkir haram, aktiviti penjaja haram dan kegiatan laku musnah atau vandalisme.

Lampiran

Tiada Lampiran.