Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

305) AGENDA KESAN PERUBAHAN IKLIM

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Dr. Afif Bin Bahardin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Cabaran perubahan iklim yang sedang dihadapi global turut memberi kesan kepada negeri Selangor. Apakah usaha dan langkah yang sedang diambil Kerajaan Negeri bagi menghadapi cabaran ini?

    Kerajaan komited untuk mengambil langkah yang perlu bagi menangani fenomena perubahan iklim selaras dengan matlamat United Nation’s Sustainable Development Goals (SDG) ke-11: Sustainable Cities and Communities bagi mewujudkan bandar dan penempatan yang inklusif, selamat, berdaya tahan dan lestari.

     

    Dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan/Agensi Negeri, program dan inisiatif dilaksanakan secara berterusan bagi mengurangkan impak perubahan iklim dan pemanasan global. Antara inisiatif yang dilaksanakan adalah seperti berikut:

     

    • Bagi memperkukuhkan pelaksanaan inisiatif rendah karbon dengan lebih sistematik dan mencapai sasaran pengurangan karbon, Rancangan Selangor Pertama telah dilancarkan yang menyasarkan pengurangan intensiti gas rumah hijau (GHG) sebanyak 35% dan menfokuskan kepada kelestarian alam sekitar dalam aspek pembangunan negeri;

     

    • Kerajaan Negeri melaksanakan transformasi kepada bandar rendah karbon menerusi PBT yang membangunkan Pelan Tindakan Teknologi Hijau dengan menggunapakai Low Carbon Cities Framework and Assessment System (LCCF) bagi perancangan dasar di peringkat semua PBT di Negeri Selangor;

     

    • Penyediaan Dasar dan Pelan Tindakan Perubahan Iklim adalah susulan daripada penemuan hasil kajian yang dilaksanakan pada tahun 2022 dan 2023 untuk mengintegrasikan risiko jangka pendek dan jangka panjang akibat bahaya iklim dan risiko yang berkaitan dengan perubahan iklim;

     

    • Dalam memupuk penerimaan dan pembangunan teknologi hijau, penubuhan Selangor Green Council sebagai institusi pelaksana yang akan menyelaras dasar/program/projek di peringkat negeri berkaitan teknologi hijau dan alam sekitar akan direalisasikan pada tahun 2024;

     

    • Pada tahun ini, menyediakan dana peruntukan sebanyak RM5.15 juta dengan matlamat untuk mempergiat dan memperkasakan program/projek kelestarian alam sekitar dan teknologi hijau. Peruntukan ini disalurkan kepada PBT, Pejabat Daerah dan Tanah serta Jabatan/Agensi Negeri bagi melaksanakan program/projek berteraskan alam sekitar dan teknologi hijau;

     

    • Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) meletakkan komitmen utama untuk mengekalkan dan meningkatkan keluasan Hutan Simpan Kekal tidak kurang 30% daripada keluasan tanah negeri;

     

    • Menganjurkan Kempen Penanaman 11 juta Pokok Negeri Selangor menjelang tahun 2026 dalam usaha memelihara kehijauan dan melindungi hutan dan biodiversiti negeri;

     

    • Instrumen ekonomi seperti carbon pricing dan cukai karbon akan diperkenalkan setelah mekanismenya dimuktamadkan oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC).

Lampiran

Tiada Lampiran.