Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
296) MASALAH DENGGI
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Kesihatan
Adun: Y.B. Datuk Abdul Rashid Bin Asari
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah tindakan Kerajaan Negeri untuk menangani masalah deman denggi yang sedang meningkat jumlahnya di kawasan Selat Klang khasnya dan di Negeri Selangor amnya?
Soalan ini dijawab bersekali dengan soalan daripada N23 (Dusun Tua) No. 92 (a). Negeri Selangor merupakan negeri yang merekodkan kes demam denggi tertinggi di Malaysia. Saban tahun, pelbagai langkah dan inisiatif telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dengan kerjasama agensi berkaitan seperti Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) bagi mengurangkan bilangan kes demam denggi. Namun, sehingga ke hari ini, kita masih belum melihat hasil yang memberangsangkan.
Antara faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan kes demam denggi adalah seperti tahap kebersihan persekitaran lorong belakang rumah, kebun haram, rumah kosong dan tanah-tanah kosong di samping sikap masyarakat itu sendiri yang kurang mengambil berat akan risiko kesihatan jika mengalami demam denggi. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat semua, bagi Minggu Epidemiologi (ME) 43 iaitu bagi 22 Oktober 2023 sehingga 28 Oktober 2023), sejumlah 1,086 kes demam denggi telah dilaporkan di Negeri Selangor sama dengan kes pada minggu sebelumnya. Sejumlah 48,429 kes demam denggi dilaporkan sehingga ME 43 yang berakhir pada 28 Oktober 2023 iaitu peningkatan sebanyak 64.7% (19,023 kes) berbanding minggu yang sama tahun 2022 (29,406 kes). 11 kes kematian dilaporkan dalam tempoh ini berbanding 7 kes kematian pada tempoh yang sama tahun lepas.
Menyedari hakikat ini, Kerajaan Negeri dengan kerjasama agensi terlibat serta badan sukarelawan kesihatan seperti Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA), Communication for Behavioural Impact (COMBI) dan Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN) telah melaksanakan aktiviti pencegahan dan pengawalan demam denggi. Bermula pada tahun 2023, Operasi Bersepadu Denggi Negeri Selangor (OBDS) telah dilaksanakan bermula pada 20 Februari 2023 sehingga 23 Mac 2023 di empat daerah yang mencatatkan jumlah kes denggi tertinggi iaitu Petaling, Klang, Hulu Selangor dan Hulu Langat.
Melalui OBDS, semua agensi akan berganding bahu melaksanakan aktiviti pencegahan seperti Pemusnahan Tempat Pembiakan (PTP), aktiviti larvaciding secara berjadual, Outdoor Residual Spray (ORS), semburan Ultra Low Volume (ULV), program gotong-royong dan juga aktiviti advokasi bersama komuniti setempat melalui pemberian risalah dan repellent. Selain daripada program OBDS, Kerajaan Negeri serta agensi berkaitan turut melaksanakan program pencegahan dan pengawalan denggi yang lain seperti berikut:
- Membincangkan isu denggi di peringkat daerah secara terperinci untuk tindakan pihak terlibat melalui Mesyuarat Tindakan Denggi Peringkat Daerah yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah dan turut dihadiri oleh semua agensi terlibat seperti Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), Pihak Berkuasa Tempatan, Ahli Majlis, Ketua Kampung dan Komuniti;
- Membincangkan isu serta punca pembiakan denggi di lokasi terlibat bersama penduduk / ahli majlis / DUN agar dapat diambil tindakan bersama;
- Menggiatkan penggunaan repellant dan semburan aerosol dalam kalangan komuniti serta penggunaan Mosquito Home di lokaliti wabak;
- Meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap bahaya penyakit demam denggi dan mendapatkan rawatan awal dengan segera sekiranya mengalami tanda-tanda bahaya demam denggi terutamanya mereka yang tinggal di kawasan lokaliti wabak denggi. Kesedaran ini dihebahkan melalui promosi kesihatan yang dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah dengan membuka kiosk kesihatan di tempat-tempat berisiko, edaran risalah kesihatan, edaran abate, hebahan suara, penggantungan kain rentang di kawasan lokaliti wabak dan juga melalui media sosial;
- Memperkasakan peranan penduduk dan agensi terlibat melalui penubuhan pasukan Communication for Behavioural Impact (COMBI) dan Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA) bagi melaksana aktiviti pencegahan denggi (pemusnahan tempat pembiakan denggi serta pendidikan kesihatan denggi) di lokaliti berkenaan. Sebagai contoh, Program Gotong-Royong Mega Denggi Peringkat Negeri Selangor Tahun 2023 yang telah diadakan di 16 lokasi di seluruh Negeri Selangor dan melibatkan penyertaan lebih daripada 3,700 orang penduduk setempat;
- Penggunaan ubat racun Bacillus Thuringiensis Israelensis (BTI) kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi menghapuskan pembiakan nyamuk aedes. Penggunaan ubat racun ini juga akan dipantau secara berkala oleh PKD berkaitan;
- Program khusus yang dijalankan oleh PBT berkaitan seperti Operasi Lorong Belakang Bebas Aedes, Operasi Zero Larva dan kaedah mistaway yang dipasang di kawasan kediaman bertingkat;
- Menjalankan Program Selangor Bebas Aedes Di Tempat Kerja dan Kuarters;
- Mengukuhkan Program Bebas Denggi Sekolah; dan
- Aktiviti penguatkuasaan melalui Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975. Melalui Akta ini, tindakan penguatkuasaan boleh dikenakan terhadap individu atau pemilik premis yang berpotensi menjadi punca pembiakan aedes melalui pengeluaran notis di bawah Seksyen 8. Melaluinya, tindakan tawaran kompaun atau melalui arahan penutupan premis akan di ambil. Jika terdapat kegagalan mematuhi Notis Seksyen 8 atau tidak membayar kompaun, tindakan mahkamah akan dilaksanakan; dan
- Mempertingkatkan aktiviti penguatkuasaan kawalan vektor di bawah Seksyen 82 & Seksyen 74 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).
Bagi menangani masalah kes denggi di Selat Klang, Unit Kawalan Penyakit Bawaan Vektor, Pejabat Kesihatan Klang telah melaksanakan beberapa aktiviti-aktiviti kawalan seperti berikut:
- Aktiviti pemusnahan tempat pembiakan terhadap kes-kes denggi bersama aktiviti larviciding pada waktu pagi diikuti oleh aktiviti semburan ruang termal pada waktu petang.
- Laporan aktiviti kawalan yang telah dilaksanakan akan dikongsikan dengan ketua komuniti (Ketua Kampung, MPKK, Ketua Masjid) untuk membantu hebahan kepada penduduk berkaitan hasil penemuan di lokaliti tersebut.
- Ketua-ketua kampung juga diminta menjalankan gotong royong kendiri dengan memohon tong roro dari Majlis Perbandaran Klang (MPK) sementara mencari tarikh untuk melaksanakan gotong royong bersama penduduk.
- Unit Promosi Kesihatan (UPK), Pejabat Kesihatan Klang juga memberikan pendidikan kesihatan kepada penduduk, antaranya dengan menggantung banner sekiranya terjadi wabak tak terkawal/ hotspot.
- Penglibatan pihak SUKA Selat Klang juga digerakkan untuk membantu dalam kawalan denggi.