Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

293) MASALAH KOMPAUN SAMAN PARKING DI TAMAN ORKID (ALAM JAYA) DUN DUSUN TUA

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Datuk Wira Johan Bin Abd Aziz

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Mengapa penduduk disaman kompoun kerana parking di dalam kawasan rumah kedai? Penduduk menghuni unit rumah diatas kedai dan tiada parking khusus.

    Taman Orkid dan Taman Alam Jaya telah diwartakan sebagai kawasan tempat letak kereta berbayar di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Kajang pada 20 Disember 2018 dan 27 September 2012. Pewartaan dibuat di bawah Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) (Majlis Perbandaran Kajang) 2007.

     

    Taman Orkid adalah merupakan bangunan perniagaan jenis “Shop-Apartment” manakala Taman Alam Jaya pula adalah merupakan bangunan perniagaan jenis lot komersial. Kedua-dua kawasan tersebut adalah merupakan kawasan perniagaan dan telah diwartakan sebagai Zon Perniagaan di bawah Pelan Rancangan Tempatan MPKj.

     

    Justeru, sebagaimana kawasan-kawasan perniagaan yang lain, lot-lot parkir di kawasan ini adalah merupakan kawasan awam dan terletak di bawah seliaan MPKj. Mana-mana individu yang ingin menggunakan kotak parkir di kawasan tersebut adalah tertakluk kepada bayaran caj parkir yang telah diwartakan iaitu RM 0.50 sejam sahaja.

  2. Majoriti penghuni adalah warga emas dan tiada pendapatan tetap. Harap PBT dapat mengambil langkah menyelesaikan isu ini.

    Sejak 2015, pihak MPKj telah memperkenalkan Pas Penduduk yang memberi potongan harga istimewa serendah RM 31.80 sebulan atau bersamaan RM 1.06 sehari kepada penyewa dan / atau pemilik premis yang menggunakan parkir di kawasan tersebut. Justeru, dengan pelaksanaan Pas Penduduk ini, para penyewa dan pemilik premis yang mendiami kawasan tersebut boleh menikmati kadar istimewa terendah ini tanpa bebanan yang tinggi. Hanya tiga dokumen yang diperlukan bagi pembelian Pas Penduduk ini iaitu salinan kad pengenalan, salinan perjanjian sewaan atau perjanjian jual beli serta salinan geran kenderaan.

Lampiran

Tiada Lampiran.