Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
276) PERUBAHAN IKLIM
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Puan Pua Pei Ling
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah inisiatif yang telah Kerajaan Negeri lakukan berkaitan dalam menangani isu perubahan iklim?
Pembangunan bandar atau urbanisasi merupakan antara punca utama pelepasan gas rumah hijau atau GHG yang menyumbang kepada masalah perubahan iklim global kesan daripada aktiviti seperti pengangkutan, perindustrian dan pembuatan. Menurut laporan UN Habitat, kawasan bandar walaupun hanya meliputi 1 peratus dari muka bumi menghasilkan lebih daripada 70% pelepasan gas rumah kaca dan mewakili 78% daripada keseluruhan penggunaan tenaga dunia. Dalam hal ini, langkah mitigasi dan adaptasi bagi mengurangkan impak perubahan iklim dan pemanasan global perlu diberi perhatian yang sewajarnya.
Antara yang dilaksanakan, Rangka Kerja Bandar Rendah Karbon (Low Carbon Cities Framework – LCCF) yang telah diperkenalkan pada tahun 2011 oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau untuk memberi panduan kepada pihak berkepentingan seperti pemaju, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), perancang bandar dan pertubuhan bukan kerajaan bagi menerajui konsep pembangunan bandar mampan secara lestari. LCCF juga mendorong pihak berkepentingan untuk menilai semula aspek utama dalam perancangan dan pembangunan projek baharu serta projek sedia ada untuk mengambil kira keperluan bandar rendah karbon. Untuk makluman, negeri Selangor adalah antara negeri terawal melaksanakan rangka kerja bandar rendah karbon LCCF dalam perancangan bandar secara menyeluruh di kesemua PBT dalam memastikan perancangan untuk mengurangkan pelepasan karbon di peringkat negeri.
Sistem cuaca negara turut mengalami perubahan dan impaknya akan meningkatkan lagi risiko bencana seperti kejadian banjir dan kemarau, bencana geofizikal seperti tanah runtuh, kejadian cuaca lampau dan kenaikan aras laut. Perkara ini jika tidak ditangani akan memberi kesan langsung dan tidak langsung kepada pembangunan serta sosio-ekonomi negara. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri menerusi pelbagai Jabatan dan Agensi Negeri konsisten dalam mengambil tindakan seperti berikut:
- Pembangunan Dasar dan Pelan Tindakan Perubahan Iklim Negeri Selangor sedang giat dijalankan berdasarkan penemuan hasil kajian yang dilaksanakan pada tahun 2022 dan 2023 untuk mengintegrasikan pelan jangka pendek dan jangka panjang akibat bahaya iklim dan risiko yang berkaitan dengan perubahan iklim;
- Memastikan projek-projek pembinaan infrastruktur dan naiktaraf kerja-kerja pendalaman sungai, tampungan sungai dan kolam dilaksanakan mengikut keperluan;
- Pengurusan air yang efisyen dan kaedah pembersihan serta pemuliharaan sumber air negeri Selangor;
- Penganjuran program/projek oleh PBT, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) dan juga Jabatan/Agensi Negeri yang lain juga giat dilaksanakan bagi meningkatkan tahap kesedaran masyarakat. Ini merangkumi kempen-kempen kesedaran, pendidikan dan amalan gaya hidup lestari, program-program menghijaukan persekitaran serta memanfaatkan teknologi hijau dalam pembangunan negeri;
- Projek pembangunan Integrated Solid Waste Management Centre (ISWMC) yang merangkumi pengurusan sisa bersepadu berteknologi tinggi Waste-to-Energy (WTE), loji kitar semula dan pusat kompos. Pembangunan ini juga akan menjadi sumber kepada tenaga elektrik, penghasilan baja dan lain-lain yang dapat menambah nilai kepada aktiviti ekonomi negeri; dan
- Mengadakan kempen penanaman 11 juta pokok di Negeri Selangor bertujuan untuk meningkatkan kesedaran semua pihak mengenai pentingnya kawasan litupan hijau dan hutan untuk kesejahteraan dan kualiti hidup selain usaha untuk menambahbaik ekosistem dan biodiversiti negeri.
Negeri Selangor akan terus memberi tumpuan terhadap kelestarian alam sekitar di samping meningkatkan tahap kesejahteraan sosial melalui pembangunan infrastruktur hijau dan pemuliharaan sumber asli. Kerajaan Negeri juga komited untuk mencapai sasaran 35% pengurangan intensiti gas rumah hijau menjelang tahun 2025 sekaligus menyumbang kepada sasaran pengurangan karbon di peringkat negara sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
-
Apakah ketersediaan Kerajaan Negeri dari segi piawaian komunikasi dan koordinisasi sewaktu sesuatu kejadian berlaku akibat daripada perubahan iklim?
Pengurusan komunikasi risiko semasa kejadian bencana merupakan tugas yang mencabar disebabkan oleh pengetahuan yang terbatas, kekurangan maklumat yang tepat dan ketidakpastian yang semakin meningkat dalam banyak aspek. Kegagalan dalam komunikasi risiko yang berkesan boleh menghalang penyelarasan pasukan dan memburukkan lagi krisis dan mengancam keselamatan dan kesihatan awam di institusi dan masyarakat di sekitarnya. Jabatan dan Agensi Kerajaan Negeri seperti Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) berperanan untuk menyelaras dan mengurus isu-isu bencana serta aktiviti komunikasi secara efisien dan berkesan semasa berlakunya bencana.
Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor (UPBN) melalui Smart Selangor Operation Centre (SSOC) beroperasi memantau petunjuk cuaca dan perubahan iklim daripada portal Jabatan Meteorologi Malaysia. Selain itu, SSOC menyelaras komunikasi dan koordinasi bersama Pusat Operasi Bencana Daerah (District Disaster Operation Centre atau DDOC) dan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Pusat dalam menangani sebarang kejadian bencana di Negeri Selangor.
Selain itu juga, Kerajaan Negeri telah menguruskan perolehan sembilan (9) unit Government Integrated Radio Network (GIRN) kepada Pejabat Daerah dan Tanah untuk menambah baik komunikasi sepanjang kejadian bencana. Dalam masa yang sama, komunikasi melalui aplikasi Whatsapp turut dilakukan secara berkala bagi melaporkan sebarang kejadian bencana serta penyelarasan bantuan pelbagai agensi/jabatan.