Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
273) LOJI WASTE-TO-ENERGY
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Bagaimanakah kerajaan Selangor boleh memberi jaminan kepada rakyat Selangor bahawa peralihan kepada loji Waste-to-Energy akan membawa lebih banyak faedah daripada kemudaratan dengan mengambil kira faktor persekitaran dan ekonomi?
Kerajaan Negeri akan menerajui pembinaan loji Waste to Energy (WTE) di Selangor yang mempunyai kapasiti untuk memproses sisa pepejal dan menjana tenaga elektrik daripada sisa pepejal tersebut.
Bagi memastikan pembangunan WTE dapat memberikan impak positif kepada komuniti dan sekitarnya, kajian seperti Environmental Impact Assessment (EIA) dan Social Impact Assessment (SIA) telah dilaksanakan. Di Kuala Selangor, kajian-kajian tersebut bagi dua (2) loji WTE telahpun diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar Malaysia dan agensi-agensi lain yang berkaitan. Kajian ini akan diguna pakai sebagai garis panduan kepada pihak pemaju bagi memastikan operasi WTE dijalankan mengikut piawaian EIA yang ditetapkan dan akan dipantau oleh pihak Jabatan Alam Sekitar secara langsung.
Berdasarkan kajian-kajian berkenaan, Kerajaan Negeri dapat mengunjurkan bahawa loji WTE di Kuala Selangor akan mengurangkan sisa pepejal ke tapak pelupusan (Landfill). Dengan menukar sebahagian besar sisa pepejal kepada tenaga, penggunaan tanah bagi tujuan pelupusan sisa pepejal akan berkurangan dengan ketara dan boleh digunakan bagi tujuan lain seperti pertanian, perumahan atau kawasan rekreasi di Negeri Selangor.
Selain itu, disebabkan oleh kemampuan loji WTE untuk menjana tenaga yang boleh diguna pakai sebagai tenaga bersih dan boleh diperbaharui, Kerajaan Negeri mengunjurkan bahawa loji WTE ini akan membantu memerangi masalah gas rumah hijau di Negeri Selangor. Loji WTE tersebut akan dibina untuk menghasilkan tekanan udara negatif terhadap kawasan sekelilingnya. Gas-gas seperti methane tidak akan merebak ke kawasan sekitar yang mana boleh dilihat dan sedang berlaku di tapak pelupusan sampah sedia ada. Dengan teknologi WTE, pencemaran bau dan gas akan dapat dielakkan. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri mengunjurkan bahawa loji WTE ini akan mengurangkan carbon emission dengan ketara berbanding dari tapak pelupusan sampah sedia ada.
Loji WTE juga akan dilengkapi dengan paparan LED yang memaparkan kadar gas-gas seperti Sulfur Oxide (Sox), Nitrogen Oxides (Nox), Hydrofluoric Acid (HF), Hydrogen Chloride (HCl), Carbon Monoxide (CO) dan habuk bagi memudahkan pemantauan oleh pihak-pihak yang berkenaan terutamanya JAS di mana bacaan ini akan turut disambung terus ke pejabat JAS melalui Continuous Emission Monitoring System (CEMS).
Di samping itu, Kerajaan Negeri juga mengunjurkan bahawa loji WTE akan memberi peluang pekerjaan professional, mahir dan separuh mahir kepada rakyat negeri Selangor dari peringkat pembinaan sehingga peringkat operasi. Setelah pembinaan loji WTE siap, peluang pekerjaan bagi peringkat operasi akan diutamakan kepada komuniti tempatan yang memenuhi syarat, dan kemahiran yang khusus untuk teknologi WTE atau penjanaan kuasa.