Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
224) KUNCI AIR JALAN PAPAN
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Tuan Leong Tuck Chee
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah JPS akan memasangkan pam di kunci air Jalan Papan memandangkan kawasan pekan Pandamaran sering berlaku banjir kilat?
Kawasan Jalan Papan merupakan kawasan perumahan di bahagian hulu dan kawasan perindustrian di bahagian hilir. Sistem saliran di kawasan ini mengalir keluar ke Sungai Aur melalui Kunci Air Jalan Papan. Kawasan Jalan Papan ini tidak dikategorikan sebagai kawasan hotspot Pada bulan Mei 2022, sebuah pam bergerak dengan kapasiti 5 cusec (ft3/s) telah ditempatkan di kunci air ini lanjutan daripada kerosakan pada actuator (penggerak) yang menyebabkan pintu air tidak boleh ditutup lalu mengakibatkan kejadian banjir akibat fenomena air pasang besar pada 16 Mei 2022.
Pada 24 Jun 2022 dan 16 Oktober 2023, Taman Tengku Bendahara Azman, Jalan Aur Pelabuhan dilaporkan mengalami kejadian banjir. Bacaan hujan pada waktu itu direkodkan 43mm dan 58.5mm dalam masa yang singkat. Pada ketika itu, pam telah diaktifkan bagi mempercepatkan pengeluaran air sewaktu pintu air ditutup. Tiada kejadian limpahan air sungai/ parit dilaporkan di kawasan Jalan Papan. Kejadian banjir di Taman Tengku Bendahara Azman adalah disebabkan oleh banjir kilat saliran dalaman di bawah tanggungjawab Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Bagi memastikan kelancaran pengoperasian Kunci Air Jalan Papan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor telah melaksanakan kerja penyelenggaraan berkala pembersihan log boom dan sistem mekanikal di Kunci Air Jalan Papan. Pam bergerak juga masih ditempatkan di Kunci Air Jalan Papan bagi membantu mengeluarkan air semasa pintu air ditutup apabila aras air laut dalam keadaan tinggi. JPS Negeri Selangor dalam perancangan bagi melantik perunding untuk melaksanakan kajian hidromekanikal bagi reka bentuk dan pembinaan pam kekal di Pintu Air Jalan Papan. Proses pelantikan perunding dijangka dilaksanakan pada awal tahun 2024.