Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

200) GOLONGAN MISKIN TEGAR

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Rosnizan Bin Ahmad

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah golongan miskin tegar di Negeri Selangor?

    Sepertimana Yang Berhormat Morib sedia maklum, sesebuah isi rumah dianggap miskin tegar jika pendapatannya kurang daripada nilai Pendapatan Garis Kemiskinan PGK makanan yang diperlukan. Pada tahun 2022, nilai purata PGK makanan di peringkat Negeri Selangor ialah RM1,274.00 sebulan dengan purata saiz isi rumah seramai 3.8 orang. Sehubungan dengan itu, berdasarkan statistik pendaftaran e-Kasih sehingga 30 Oktober 2023, Negeri Selangor telah merekodkan sebanyak 68,452 Ketua Isi Rumah (KIR) yang telah didaftarkan dalam sistem e-Kasih. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 4,939 KIR adalah dalam kategori Miskin Tegar.

  2. Apakah bantuan dan peruntukan yang diberikan kepada mereka?

    Kerajaan Negeri sentiasa penyayang terhadap rakyat negeri ini tidak mengira bangsa, umur, jantina mahupun taraf hidup. Kesemua golongan tidak terlepas untuk dibantu termasuklah golongan miskin tegar kerana itulah merupakan tonggak utama Kerajaan Negeri untuk mensejahterakan rakyat dan ianya telah direalisasikan menerusi Iltizam Selangor Penyayang (ISP). Sepertimana Yang Berhormat sedia maklum, Iltizam Selangor Penyayang (ISP) merupakan tekad dan kesungguhan Kerajaan Negeri untuk memastikan program kebajikan lebih menepati kehendak semasa rakyat menerusi penambahbaikan atau program baru.

     

    Justeru, berhubung dengan apakah bantuan dan peruntukan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Selangor kepada golongan miskin tegar, Kerajaan Negeri melihat kesemua program-program yang tersenarai di bawah Iltizam Selangor Penyayang (ISP) boleh diperolehi oleh golongan ini namun ianya mestilah mengikut kesesuaian. Namun begitu, untuk mendekati golongan ini dan memberikan mereka peluang untuk mengubah nasib mereka, kesemua pihak terutamanya Pejabat ADUN Kawasan, Pejabat Parlimen, Pejabat Penyelaras, Ahli Majlis, MPKK, Ketua Komuniti India (KKI), Ketua Kampung Baru Cina dan pihak-pihak yang terlibat di lapangan perlu memainkan peranan agar golongan miskin tegar di negeri ini tidak tercicir dan ketinggalan daripada menikmati insiatif-insiatif yang disediakan oleh Kerajaan Negeri.

     

  3. Apakah perancangan Kerajaan Negeri dalam menangani masalah miskin tegar di Negeri Selangor?

    Justeru, pada tahun 2024 Jawatankuasa Tetap Pembasmian Kemiskinan bercadang untuk menggunakan mekanisme yang lebih efektif untuk membasmi kemiskinan secara bersasar pada peringkat akar umbi dengan memperkasa Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor dengan memberi tumpuan kepada pelaksanaan aktiviti penjanaan pendapatan, pembangunan kapasiti dan kapabiliti serta minda yang sesuai dengan memberi fokus kepada golongan miskin di dalam kategori umur produktif iaitu antara 15 hingga 60 tahun.

Lampiran

Tiada Lampiran.