Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
198) GEOPARK GOMBAK-HULU LANGAT
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Puan Pua Pei Ling
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah status terkini usaha kerajaan untuk mendapatkan pengiktirafan peringkat UNESCO Global Geopark bagi jajaran Geopark Gombak-Hulu Langat?
Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor Sdn Bhd (TSSB) selaku Badan Pelaksana Gombak Hulu Langat Geopark (GHLGp) dalam proses penyediaan dossier bagi permohonan pengiktirafan ke UNESCO Global Geopark (UGGp) pada tahun 2027.
Justeru itu, dossier permohonan tersebut akan dikemukakan kepada Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim pada tahun 2024 untuk di angkat ke pihak UNESCO Global Geoparks Secretariat.
Selain itu, proses menaiktaraf infrastruktur serta program pengukuhan komuniti di kawasan jajaran Geopark Gombak Hulu Langat turut dilaksanakan sebagai persediaan sesi penilaian semula Geopark Kebangsaan pada tahun 2026.
-
Apakah impak positif kepada Kerajaan Negeri melalui pengiktirafan Gombak-Hulu Langat Geopark sebagai Geopark Kebangsaan Ke-7 Negara baru-baru ini?
Pengiktirafan GHLGp sebagai Geopark Kebangsaan Ke-7 Negara merupakan pencapaian yang baik khususnya kepada Kerajaan Negeri Selangor dalam usaha memelihara kelestarian alam semula jadi dan pengurusan mampan kawasan Geopark Kebangsaan yang memiliki nilai kepentingan luar biasa (geosites of extraordinary values).
Pengiktirafan GHLGp juga merupakan ‘game changer’ kepada industri pelancongan Negeri Selangor yang kini mempunyai lebih kepelbagaian dengan menawarkan tarikan produk geo pelancongan yang baharu. Menerusi pengiktirafan GHLGp sebagai Geopark Kebangsaan Ke-7 Negara, ianya dapat menarik lebih ramai pelancong dan mampu menawarkan lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan sekaligus dapat meningkatkan dan menjana hasil baru kepada Kerajaan Negeri Selangor.