Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

192) PENGGERAK BELIA SELANGOR (PEBS), TEAM SELANGOR DAN SUKARELAWAN SELANGOR (SERVE)

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Puan Lim Yi Wei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan "differentiation" antara PeBS, Team Selangor, dan SERVE. Berapa peruntukan yang digunakan oleh ketiga-tiga program dalam tahun 2023?

    Secara dasarnya, Penggerak Belia Selangor atau dikenali sebagai PeBS adalah program kepimpinan anak muda yang merupakan wakil Kerajaan Negeri bagi menyampai dan melaksanakan dasar-dasar Kerajaan Negeri kepada belia-belia di setiap kawasan bagi keseluruhan Negeri Selangor. Pada penggal yang lepas, pelantikan Penggerak Belia Selangor (PeBS) ini adalah seramai 5 orang bagi setiap Dewan Negeri. Peruntukan Penggerak Belia Selangor (PeBS)  adalah sebanyak RM1.12 juta merangkumi setiap kawasan Dewan Negeri sebanyak RM 20,000.00 setahun bagi menjalankan program-program.

     

    Penggerak Belia Selangor (PeBS) berperanan melaksanakan program berdasarkan 10 Dasar Belia Selangor 2020;

     

    1. Kepimpinan dan Literasi Politik
    2. Hubungan Antarabangsa dan Pemikiran Global
    3. Keusahawanan dan Ekonomi Digital
    4. Pekerjaan dan Pembangunan Kemahiran
    5. Pendidikan
    6. Kebudayaan, Kreativiti, dan Sukan
    7. Keagamaan, Kesihatan, dan Kesejahteraan
    8. Media Digital dan Sosial
    9. Nasionalisme dan Patriotisme
    10. Keseimbangan Alam Sekitar

    Team Selangor pula adalah agensi swasta yang menjalankan program-program pemerkasaan komuniti berpaksikan kepada dasar Kerajaan Negeri tanpa mengira latar belakang politik dan had umur. Team Selangor juga telah mewujudkan beberapa unit merangkumi segmen alam sekitar, mahasiswa dan komuniti.

    Sukarelawan Selangor atau SERVE diwujudkan pada Ogos 2021 adalah bagi menggalakkan penglibatan komuniti di Selangor dalam kerja-kerja kemanusiaan. SERVE ini juga ditubuhkan bagi menyelaras pergerakkan sukarelawan di Selangor dalam persediaan kepada sebarang kemungkinan berlaku bencana seperti banjir, ketiadaan air dan ianya merupakan identiti kepada Kerajaan Negeri Selangor. SERVE ini dikelolakan oleh Majlis Sukan Negeri Selangor dan telah menerima kelulusan peruntukan daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sebanyak RM1 juta. Jumlah sukarelawan SERVE sehingga ke misi pasca banjir di Selangor tempoh hari mencecah 1,300 orang.

  2. Apakah peranan SERVE semasa keadaan tiada banjir?

    Pihak urus setia SERVE, Majlis Sukan Negeri Selangor sentiasa menitikberatkan kesiapsiagaan bagi menghadapi sebarang bencana. SERVE akan menerima arahan daripada pihak Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor dari masa ke semasa. Selain daripada itu, pihak SERVE juga terlibat dengan menyediakan pasukan elit yang dikenali sebagai SERVE Rescue. Pasukan SERVE Rescue ini menerima latihan daripada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor untuk menyediakan individu yang dapat membantu misi-misi penyelamat terutama ketika banjir.

Lampiran

Tiada Lampiran.