Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
187) APAKAH ADA HALANGAN UNTUK PIHAK BERKUASA NEGERI DAN/ATAU PBT MENGGUBAL PERATURAN MENGENAI PENJUALAN ‘LIQUOR’ DAN ‘BEER’?
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Tuan Mohd Shafie Bin Ngah
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah sudah ada mana-mana PBT di mana-mana negeri di Malaysia yang sudah mewujudkan peraturan mengenai penjualan ‘liqour' atau ‘beer' dan bagaimana bentuknya?
- Penjualan arak di Malaysia adalah dikategorikan kepada dua (2) jenis iaitu liquor dan beer. Liquor adalah sejenis minuman keras yang kandungan alkoholnya melebihi 2 peratus spirit pruf dan pengawalan serta pengeluaran lesen penjualannya adalah tertakluk di bawah pengawasan Pejabat Daerah dan Tanah manakala Kastam Diraja Malaysia diberi kuasa sebagai pelaksana undang-undang untuk mengawal penjualan dan penguatkuasaan di bawah Seksyen 35 Akta Kastam 1967 (Akta 235).
Definisi bagi beer ialah sejenis minuman yang dikategorikan sebagai minuman beralkohol termasuklah ale, stout, porter dan segala liquor tapaian lain yang mempunyai jumlah kandungan alkohol di bawah 2 peratus. Pengawalan lesen dan penjualannya terletak di bawah Pihak Berkuasa Tempatan. Penjualan beer ini tidak perlu dilesenkan di bawah Seksyen 35, Akta Eksais 1976 bagi jualan secara runcit. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri telah melaksanakan pendekatan self-regulating di setiap Pihak Berkuasa Tempatan bagi tujuan mengawal atau membendung penjualan bahan tersebut dalam menjaga sensitiviti penduduk setempat serta menghindarkan daripada gejala sosial berlaku di kawasan penempatan khususnya di kawasan majoriti orang Islam. Selain itu, langkah-langkah bagi membendung penjualan arak adalah dengan mengenakan syarat-syarat berikut bagi sokongan permohonan lesen iaitu:-
- Menjaga kebersihan premis dalam keadaan bersih, memuaskan, tidak sempit, gelap dan sesak;
- Mengasingkan arak daripada barang-barang makanan lain;
- Menyediakan papan tanda yang seragam dan papan tanda larangan “Arak adalah Haram bagi Orang Islam” dan larangan menjual kepada orang bawah umur 18 tahun ke bawah;
- Menetapkan jarak lokasi rumah ibadat (masjid, surau, kuil, tokong) dari premis menjual minuman keras;
- Menetapkan jarak lokasi pejabat kerajaan, sekolah, hospital dan kawasan perumahan dari premis menjual minuman keras; atau
- Tidak menyokong permohonan lesen tersebut sekiranya bertentangan dengan syarat-syarat yang digariskan.