Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
184) BEG PLASTIK DAN STRAW PLASTIK
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Tuan Leong Tuck Chee
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Bilakah kerajaan akan melaksanakan sifar beg plastik dan straw plastik?
Penggunaan beg plastik amat sinonim dengan gaya hidup masyarakat di Malaysia, khususnya di Negeri Selangor. Ciri-ciri beg plastik yang ringan, tahan lasak dan harga yang murah menjadikannya pilihan utama pengguna dalam urusan jual beli dan pembungkusan makanan. Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh World Wide Fund (WWF) Malaysia pada tahun 2020, penggunaan plastik di Malaysia adalah ke-2 terbesar di rantau Asia, malah Malaysia berada di kedudukan ke-8 antara 10 negara di dunia yang berdepan masalah sampah plastik tidak terurus. Menurut kajian tersebut, sektor yang paling banyak menyumbang kepada penggunaan plastik di Malaysia ialah sektor pembungkusan, perkilangan, bangunan dan pembinaan.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kerajaan Negeri setakat ini masih meneruskan usaha-usaha mengurangkan penggunaan plastik dan bercadang untuk melaksanaan penambahbaikan ke atas rogram-program sedia ada dari masa ke semasa.
Kerajaan Negeri konsisten dalam mengambil langkah dan inisiatif untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahaya penggunaan plastik dan kepentingan menjaga alam sekitar. Kerajaan Negeri telah memulakan langkah-langkah awal untuk mengawal dan mengurangkan pencemaran plastik. Antara dasar dan polisi yang telah dilaksanakan adalah:
- “Kempen Bebas Plastik” telah mula dilaksanakan di Negeri Selangor seawal Januari 2010 dengan penetapan tiada beg plastik pada setiap hari Sabtu;
- Pelaksanaan “Hari Tanpa Beg Plastik” selama 7 hari seminggu bermula pada 1 Januari 2017. Namun begitu, pada 1 Januari 2020, Kerajaan Negeri telah mengeluarkan dasar baharu melalui pelaksanaan Program Kutipan Caj Beg Plastik di Negeri Selangor dengan mengenakan caj 20 sen bagi setiap beg plastik yang dikeluarkan;
- Pada Julai 2019, Kerajaan Negeri telah melancarkan kempen Bebas Straw Plastik dan Polisterina bagi tujuan penjagaan alam sekitar. Kempen ini adalah selaras dengan pelan tindakan yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Malaysia Ke Arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2018-2030; dan
- Pada Mei 2022, Kerajaan Negeri telah meluluskan pelaksanaan dasar larangan beroperasi terhadap kilang dan premis memproses sisa plastik kitar semula di Negeri Selangor yang menfokuskan kepada aktiviti-aktiviti import.
Bagi menggerakkan usaha ke aras sifar beg plastik dan straw, berikut adalah halatuju Kerajaan Negeri bagi mencapai sasaran penggunaan sifar plastik di negeri Selangor:
- Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Negeri Selangor dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan mempertimbangkan untuk mengadakan Hari Tanpa Beg Plastik pada hari-hari terpilih. Namun begitu, inisiatif ini memerlukan penelitian dengan mengadakan sesi libat urus dengan pihak-pihak berkepentingan bagi mendapatkan maklumbalas mengenai kaedah atau mekanisme pelaksanaan yang bersesuaian;
- Melaksanakan kajian bagi mengenal pasti alternatif dan amalan baharu yang boleh dipraktikkan bagi menggantikan plastik dalam rutin harian masyarakat;
- Semakan semula Garis Panduan Program Kutipan Caj Beg Plastik di Negeri Selangor terhadap aspek penguatkuasaan, kadar kutipan dan kaedah pelaksanaan;
- Kempen kesedaran dan pendidikan akan terus diperhebatkan bagi memastikan mesej-mesej kesedaran dapat disalurkan ke semua peringkat masyarakat; dan
- Sesi libat urus dengan pemegang taruh dan pihak berkepentingan seperti pemain industri akan diadakan bagi mendapatkan maklumbalas dan input dalam menguatkuasakan dasar larangan penggunaan plastik sepenuhnya di negeri Selangor.
-
Apakah langkah-langkah Kerajaan Negeri dapat menggalakkan rakyat Selangor untuk menggunakan beg kitar semula dan straw kitar semula?
Seiring dengan kemajuan teknologi masa hadapan, kita juga tidak seharusnya mengabaikan penjagaan alam sekitar dan keseimbangan ekosistem bumi. Kelalaian kita dalam memastikan alam sekitar terus terpelihara dikhuatiri akan membawa kesan yang memudaratkan terhadap kesihatan manusia, seterusnya mampu menggugat ekonomi negara dalam jangka masa panjang.
Pertambahan penggunaan bahan berasaskan plastik seperti beg plastik, penyedut minuman dan lain-lain telah menyebabkan lambakan plastik secara tidak terkawal di negeri Selangor. Menurut kajian yang dibuat oleh Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, masyarakat Malaysia telah menghasilkan lebih daripada 19,000 tan sisa pepejal setiap tahun dan 24% daripadanya merupakan bahan sisa plastik.
Kerajaan Negeri Selangor amat serius dalam usaha menangani isu penggunaan plastik terutamanya plastik sekali guna yang memberi kesan negatif terhadap alam sekitar, kesihatan awam dan ekonomi negeri. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Bil. 21-2016 yang disahkan pada 23 Jun 2016 telah bersetuju dengan cadangan pengurangan beg plastik dan polisterina di Negeri Selangor setiap hari mulai Januari 2017 melalui tindakan oleh PBT yang meletakkan syarat larangan penyediaan beg plastik secara percuma dan larangan penggunaan polisterina dalam syarat-syarat lesen.
Pada ketika ini, semua negeri telah menyatakan sokongan untuk melaksanakan inisiatif Kempen Tiada Beg Plastik bagi meningkatkan penghayatan gaya hidup hijau dalam kalangan masyarakat. Dalam usaha mengadakan Kempen Bebas Plastik bagi mencapai sasaran sifar plastik menjelang tahun 2030, kempen dan galakan membawa beg kitar semula juga perlu dipergiatkan agar masyarakat sentiasa peka dan bersedia. Pada ketika ini, masyarakat sudah mula mempraktikkan amalan membawa beg kitar semula semasa membeli belah. Namun begitu, Kerajaan Negeri dengan kerjasama PBT sentiasa mengambil langkah berbentuk program kesedaran dan pendidikan untuk menggalakkan masyarakat membawa beg kitar semula seperti berikut:
- Menggalakkan premis-premis perniagaan mengadakan kempen tiada beg plastik dibekalkan kepada pengguna dan menyediakan beg kitar semula dengan harga yang berpatutan;
- Mengadakan Kempen Bebas Plastik di setiap acara/program PBT seperti Hari Tanpa Kenderaan, Pesta Pantai, Fun Ride dan lain-lain;
- Menggalakkan premis-premis menyediakan beg kitar semula kepada pengguna sama ada secara percuma atau jualan, dan tidak membekalkan beg plastik atau plastik jenis biodegradasi dipremis;
- Menjadikan beg kitar semula sebagai salah satu pemberian/sumbangan semasa program atau acara bersama komuniti; dan
- Penganjuran program bawa beg sendiri di bazar-bazar ramadhan dan pasar malam dengan memberikan insentif berbentuk kupon kepada pengguna yang menyertai program tersebut.