Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
174) ISU PANGSAPURI SERI BEREMBANG, PELABUHAN KLANG
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah status terkini isu Pangsapuri Seri Berembang, Pelabuhan Klang?
Untuk makluman Yang Berhormat, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor Ke 15/2022 bertarikh 22 Jun 2022 yang telah disahkan oleh MMKN Selangor Ke 16/2022 bertarikh 6 Julai 2022 memutuskan penyelesaian isu Pangsapuri Berembang seperti berikut:-
- Bersetuju agar MPK mengeluarkan notis mengikut peruntukan undang-undang kepada pemilik/penghuni di Pangsapuri Seri Berembang untuk memaklumkan bahawa Blok A, B dan C Pangsapuri Seri Berembang adalah tidak selamat untuk didiami dan perlu dikosongkan selaras dengan laporan kajian oleh pihak perunding dengan kadar segera.
Status :
Notis telah dikeluarkan oleh MPK pada 24.6.2022 dan 15.9.2022. Rekod bancian COB MPK ke atas status kependudukan bagi 304 unit di Pangsapuri Seri Berembang bertarikh 18 dan 19 Jun 2022 adalah seperti berikut :
BLOK STATUS PENGHUNIAN (UNIT) PEMILIK PENYEWA KOSONG RUMAH BERKUNCI A 46 34 2 14 B 59 32 3 18 C 39 21 0 36 JUMLAH 144 87 5 68 - Bersetuju agar YB EXCO Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Negeri Selangor, YB ADN Pelabuhan Klang, MPK, Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS), pemimpin masyarakat dan agensi lain mengadakan sesi libat urus dengan penghuni Pangsapuri Seri Berembang dengan kadar segera untuk memaklumkan situasi terkini struktur bangunan tersebut serta tindakan lanjut yang wajar diambil.
Status :
Sesi libat urus tersebut telah diadakan pada 23.06.2022.
- Bersetuju agar YB EXCO Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Negeri Selangor, LPHS dan MPK mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk pembangunan semula kawasan Pangsapuri Seri Berembang dan tambahan wang ihsan kepada penduduk.
Status :
Pertemuan bersama KPKT telah diadakan pada 3 Mac 2023. Tujuan pertemuan bagi membincangkan penyaluran peruntukan RM50 juta oleh KPKT seperti janji oleh mantan YB Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan semasa sesi lawatan tapak di Pangsapuri Berembang pada 29 September 2020. Kerajaan Negeri telah membawa cadangan agar penyaluran peruntukan RM50 juta dapat digunakan untuk tujuan berikut :
i. Tanah di Pangsapuri Seri Berembang dibangunkan semula sebagai Projek Perumahan Rakyat (PPR) oleh KPKT selaras dengan cadangan mantan YB Menteri Perumahan Kerajaan Tempatan terdahulu.
ii. Peruntukan RM50 juta daripada KPKT untuk membeli 192 unit rumah di Pangsapuri Taman Kota Pendamar sebagai penempatan semula kepada pemilik-pemilik rumah di Pangsapuri Berembang selaras dengan saranan semasa pertemuan bersama Timbalan Menteri Perumahan Kerajaan Tempatan yang lepas.
iii. Sekiranya cadangan tersebut dipersetujui KPKT, cadangan kepada Kerajaan Negeri untuk mengambil tindakan perampasan (tanah di Pangsapuri Seri Berembang mempunyai tunggakan cukai tanah) atau pengambilan tanah dengan tawaran pampasan kepada semua pemilik seperti berikut:
- 144 pemilik yang menduduki Pangsapuri Berembang diberi rumah di Pangsapuri Taman Kota Pendamar secara percuma.
- Baki 160 unit rumah oleh pemilik yang tidak menduduki diberi pampasan nilaian RM42,000.00.
- Bersetujuagar MPK dan LPHS mengenal pasti penempatan sementara kepada pemilik/ penghuni di Pangsapuri Seri Berembang yang terkesan dalam waktu terdekat.
Status :
LPHS telah mencadangkan penempatan sementara di Pangsapuri Jalan Keretapi Lama. Hanya sejumlah 6 keluarga yang menerima tawaran penempatan sementara dan mereka yang masih tinggal di penempatan sementara tersebut adalah seperti berikut :
BIL PENEMPATAN SEMENTARA JUMLAH KELUARGA HARGA SEWA RUMAH (RM) 1. Pangsapuri Jalan Keretapi Lama 6 350.00 -
Adakah Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan telah mencapai kata sepakat bagi menyelesaikan isu tersebut?
KPKT telah memberi maklum balas melalui surat bertarikh 22 Ogos 2023 bahawa permohonan RM50 juta tersebut perlu diteliti kerana dana Kumpulan Wang Amanah PPR Dimiliki amat terhad. Walau bagaimanapun, KPKT boleh mengemukakan cadangan untuk pembangunan semula tanah di Pangsapuri Berembang sebagai projek PPR baharu kepada kementerian Ekonomi. Namun, cadangan RM50 juta tersebut hanya melibatkan pembangunan tanah pangsapuri Seri Berembang sebagai PPR sahaja di mana tanah yang diserahkan hendaklah selesai isu pemilikannya, diberi percuma / kadar nominal dan bebas dari bebanan tapak termasuk perobohan bangunan sedia ada. Manakala, KPKT juga berpendapat pemindahan penduduk dan penempatan semula penduduk Pangsapuri Seri Berembang termasuk urusan penyediaan kediaman ganti diurus dan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri dan bukan di bawah bidang kuasa KPKT.