Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

158) PEMBASMIAN KEMISKINAN

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Puan Pua Pei Ling

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah inisiatif dan usaha Kerajaan Negeri dalam perkara pembasmian kemiskinan dan keberkesanannya?

    Yang Berhormat Bukit Lanjan, usaha membasmi kemiskinan di kalangan rakyat sentiasa menjadi fokus utama Kerajaan Negeri dengan membantu masyarakat meningkatkan pendapatan dan keadaan sosio ekonomi untuk melangkah keluar dari kitaran kemiskinan. Program Iltizam Selangor Penyayang (ISP) merupakan inisiatif jangka masa panjang Kerajaan Negeri Selangor dalam usaha pembasmian kemiskinan. ISP merupakan program-program yang dibentuk untuk memberdayakan rakyat di samping mengupayakan dan meningkatkan social safety net seperti yang digariskan di dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

    ISP terdiri daripada empat puluh enam (46) program dan dirangkumkan di dalam enam (6) kategori dan antara program yang terlibat ialah Program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS), Program Jom Shopping Perayaan, Skim Air Darul Ehsan, Bas Smart Selangor, Skim HIJRAH, Program Bantuan Blueprint Pembasmian kemiskinan, Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin dan banyak lagi. Program-progam ISP ini diyakini dapat menghasilkan komposisi ekonomi yang seimbang dalam pekerjaan, kebajikan, kesihatan dan perniagaan secara menyeluruh sekaligus dapat membantu membawa golongan yang kurang bernasib baik ini keluar dari kelompok kemiskinan. Walaupun program-program yang dilaksanakan ini tidak mampu mencapai sifar kemiskinan, namun secara tidak langsung membantu meringankan beban rakyat Selangor dalam menjalani kehidupan seharian.

    Program-program khusus bagi usaha pembasmian kemiskinan Negeri Selangor adalah Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan, Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin dan Program Jom Shopping Perayaan. Bagi tahun 2023, seramai 58,332 orang penerima manfaat dari ketiga-tiga buah program ini berjaya meningkatkan taraf ekonomi dan kehidupan secara amnya.

  2. Sejauh manakah kadar kemiskinan yang terkini selepas pelaksanaan program inisiatif peduli rakyat oleh Kerajaan Negeri antara tahun 2018 hingga 2023?

    Untuk makluman Yang Berhormat Bukit Lanjan, maklumat yang diperoleh melalui Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas Negeri Selangor tahun 2022, laporan menunjukkan kadar kemiskinan tegar direkodkan sebanyak 0.02 peratus pada tahun 2022 berbanding 0.2 peratus pada tahun 2019. Ini menunjukkan penurunan kadar kemiskinan tegar Negeri Selangor sebanyak 0.18 peratus dan ini secara tidak langsung menunjukkan keberkesanan program-program Iltizam Selangor Penyayang (ISP) dalam membantu meningkatkan sosio ekonomi rakyat dan seterusnya membantu mengurangkan kadar kemiskinan tegar Negeri Selangor.

  3. Adakah masalah jurang perbezaan kemiskinan dapat dikurangkan?

    Kaedah yang paling popular untuk melihat jurang perbezaan pendapatan adalah dengan menggunakan kaedah pekali Gini. Pekali Gini ini merujuk kepada pengukuran pemusatan pendapatan di mana nilai pekali Gini berada di antara 0 dan 1. Semakin kecil nilai Pekali Gini, menunjukkan semakin saksama agihan pendapatan. Melalui Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas Negeri Selangor tahun 2022, Pekali Gini diukur berdasarkan pendapatan boleh guna dan data pada tahun 2022 menunjukkan nilai 0.352 berbanding 0.378 pada tahun 2019, dengan nilai mengecil sebanyak 0.026. Nilai Pekali Gini yang kecil, menunjukkan agihan pendapatan semakin saksama, ini secara tidak langsung menggambarkan jurang kemiskinan semakin mengecil. Oleh yang demikian, dapat disimpulkan bahawa program-program bantuan yang dilaksanakan di Negeri Selangor secara tidak langsung dapat membantu merapatkan jurang pendapatan antara isi rumah, sekaligus merapatkan jurang kemiskinan di Negeri Selangor.

     

    Nota kaki : Pekali Gini adalah satu jenis ukuran ketidaksamaan edaran, nilai 0 menyatakan kesamaan jumlah dan nilai 1 ketidaksamaan maksimum. Sebuah pekali Gini yang rendah menunjukkan edaran yang lebih sama, dengan 0 yang sesuai untuk menyelesaikan persamaan, sedangkan pekali Gini yang lebih tinggi menunjukkan edaran yang tidak sama, dengan 1 berkaitan untuk menyelesaikan ketidaksamaan.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.