Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

154) KESEDARAN MENGENAI PROGRAM SEHAT

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Kesihatan

Adun: Y.B. Tuan Syed Ahmad Bin Abdul Rahman Alhadad

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sejauh manakah program SEHAT berjaya memberi kesedaran dalam membantu warga Selangor yang menghadapi masalah kesihatan mental?

    Soalan ini djawab bersekali dengan soalan daripada N35 (Kampung Tunku) No. 307 dan N37 (Bukit Lanjan) No.313 (b) dan (c). Penjagaan kesihatan mental yang berkesan adalah sangat penting dalam memastikan individu dapat menjalani kehidupan seharian dengan lebih baik dan produktif. Justeru itu, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Program Selangor Mental Sihat (SEHAT) pada tahun 2021.

     

    Melalui Program SEHAT, rakyat negeri ini dapat menjalani saringan kesihatan mental secara percuma serta dapat mendapatkan khidmat sokongan melalui Talian SEHAT di mana kedua-dua bantuan tersebut terdapat pada aplikasi SELANGKAH. Selain itu, terdapat juga video psikopendidikan yang dimuatnaik pada aplikasi tersebut. Bermula pada tahun 2022, Kerajaan Negeri Selangor telah menambaik bantuan dengan memperkenalkan subsidi rawatan psikiatri dan psikologi kepada individu yang memerlukan rawatan tersebut.

     

    Bagi tahun 2023, Program SEHAT yang diterajui oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah menjalankan program kesedaran dan saringan kesihatan mental melalui reruai yang dibuka semasa Jelajah Selangor Penyayang (JSP) dan pada program lain anjuran Kerajaan Negeri di mana lebih 1,601 orang pengunjung telah disaring. Selain itu, program saringan melalui aplikasi Selangkah pula telah mencatatkan lebih 97,223 pengguna dan sejumlah 64,226 jumlah tontonan video-video psikopendidikan.

     

    Pada tahun 2023 telah dianjurkan sesi program outreach bersama pemimpin mahasiswa di 6 buah universiti di negeri Selangor iaitu Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Universiti Selangor (UNISEL), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) yang melibatkan pemerkasaan modul kesihatan mental bersama lebih 300 orang pemimpin mahasiswa.

     

    Untuk Talian SEHAT, sehingga 30 September 2023, sejumlah 442 panggilan telah diterima. Bagi inisiatif subsidi rawatan pakar psikiatri dan pakar psikologi klinikal, sehingga 31 Oktober 2023, seramai 68 individu telah dijadualkan bagi menerima subsidi berkenaan dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM15,980.00. Bagi tahun 2023, peruntukan bagi subsidi rawatan psikiatri dan psikologi adalah berjumlah RM209,400.00 melibatkan 950 slot rawatan. Program ini melibatkan kerjasama bersama klinik Selcare dan Persatuan Psikiatri Malaysia.

Lampiran

Tiada Lampiran.