Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
152) INISIATIF RODA DARUL EHSAN (RIDE)
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Generasi Muda & Sukan
Adun: Y.B. Puan Lim Yi Wei
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Berapa peruntukan yang digunakan untuk RIDE sejak pelancarannya?
Inisiatif Roda Darul Ehsan atau RiDE ini telah dilancarkan oleh YAB. Dato’ Menteri Besar Selangor pada Ogos 2020. Inisiatif ini adalah salah satu usaha untuk menggalakkan anak Selangor terutama golongan belia untuk memiliki lesen yang sah. Pada awal pelaksanaan RiDE ini, Kerajaan Negeri berhadapan dengan kekangan untuk mendapatkan pemohon dan penyaluran dana kepada pemohon akibat pandemik Covid-19 disebabkan proses pengambilan lesen tidak dapat dijalankan oleh kerana kekangan pihak Jalan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan sekolah memandu tidak dapat beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sejak dilancarkan, sejumlah RM6 juta telah diperuntukan dan disalurkan kepada 9000 penunggang p-hailing yang layak. Untuk rekod, pihak Urus Setia RiDE telah menerima sejumlah lebih 22,000 permohonan.
-
Apakah usaha Kerajaan Negeri untuk membantu Rider P-Hailing untuk mencapai mobiliti sosial?
Kerajaan Negeri sentiasa prihatin terhadap golongan belia terutama yang terlibat dengan industri gig ekonomi ini. Selain daripada insentif RM550 melalui RiDE, Kerajaan Negeri juga menyediakan pelan perlindungan insurans INSAN kepada setiap individu. Kerajaan Negeri juga sentiasa membuka peluang pekerjaan melalui penganjuran JobFair setiap tahun.
-
Apakah usaha Kerajaan Negeri untuk menggalakkan peralihan kepada E-Motosikal antara Rider P-Hailing?
Penggunaan motosikal elektrik atau E-Motosikal adalah satu perkara baru yang akan dikaji oleh Kerajaan Negeri. Kajian menyeluruh meliputi aspek jangka pendek dan panjang terutama melibatkan kesediaan golongan belia yang terlibat dengan industri p-hailing untuk penggunaan E-Motosikal, insentif khusus dan manfaat yang boleh diterima dan daya tahan jentera E-Motosikal untuk kegunaan penunggang p-hailing.