Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
149) TRAP NEUTER REHOME
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Puan Michelle Ng Mei Sze
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Sila nyatakan pendirian Kerajaan Negeri berkenaan dasar Trap Neuter Rehome.
Pekeliling Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Bilangan 5 Tahun 2014 mengenai Tatacara Operasi Piawaian (SOP) Penangkapan dan Pelupusan Anjing Terbiar di Kawasan Pihak Berkuasa Tempatan telah menggariskan prosedur dan kaedah penangkapan serta pelupusan anjing terbiar yang seragam dan diterima pakai di semua Pihak Berkuasa Tempatan tanpa ada sebarang penganiayaan kepada haiwan.
Dalam menangani isu ini, Kerajaan Negeri menerusi Pihak Berkuasa Tempatan mengguna pakai garis panduan tersebut bagi mengawal populasi anjing dan kucing liar di kawasan-kawasan kediaman. Selain itu juga, PBT Selangor telah mengambil inisiatif tambahan untuk mengawal populasi anjing dan kucing seperti berikut:
- melaksanakan operasi tangkapan anjing dan kucing liar secara berterusan berdasarkan aduan dan pemantauan di kawasan hotspot;
- mengadakan program anjing dan kucing angkat sepanjang tahun di mana anjing dan kucing yang terbiar yang ditangkap akan diberi kepada orang awam melalui program adoption;
- menjalinkan kerjasama dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam aktiviti pengembirian (neutering) anjing dan kucing;
- mempromosikan kempen pelesenan anjing dan kucing;
- menyediakan pusat-pusat kurungan anjing dan kucing; dan
- menguatkuasakan undang-undang/peraturan bagi pelesenan anjing dan kucing di kediaman, komersial dan tapak binaan.
Pada masa ini, Kerajaan Negeri belum merangka satu dasar berkaitan Trap Neuter and Rehome atau Tangkap, Kembiri dan Lepas. Namun, aktiviti ini adalah sangat digalakkan dan dilaksanakan secara usahasama bersama pihak NGO bagi mengawal pembiakan anjing atau kucing. Sebahagian masyarakat menganggap memandulkan haiwan ini satu tindakan tidak berperikemanusiaan kerana menghalang fitrah kucing untuk mengawan. Namun tujuan sebenar pemandulan perlu dilakukan untuk mengurangkan populasi haiwan terbiar. Tindakan pemandulan adalah lebih bertanggungjawab daripada membiarkan kucing terbiar terbabit membiak tanpa kawalan sehingga bilangannya boleh mengundang kacau ganggu kepada manusia. Aktiviti ini jauh lebih baik daripada tindakan pelupusan haiwan.
-
Apakah cabaran yang dihadapi oleh Majlis untuk melaksanakan dasar TNR?
Program Trap Neuter and Rehome (TNR) adalah usaha yang baik untuk mengawal populasi anjing terbiar namun, terdapat beberapa cabaran yang dalam pelaksanaan program ini seperti kos pemandulan yang tinggi iaitu kos sehingga RM200.00 bagi setiap ekor anjing dan penjagaan haiwan selepas dimandulkan serta kesediaan komuniti dalam menjaga kebajikan anjing terbiar ini selepas dilepaskan semula.