Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
143) SUMBER TENAGA HIJAU
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah tindakan kerajaan untuk mengurangkan perlepasan karbon dengan kegunaan sumber tenaga hijau?
Ketika dunia menyahut seruan penggunaan ‘tenaga yang lebih mampan’ dan ‘kurang karbon’, Tenaga Boleh Diperbaharui (RE) telah muncul sebagai salah satu sumber penjanaan tenaga yang paling cepat berkembang. RE dijangka menjadi sumber tenaga terbesar pada tahun 2040.
Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau akan terus memperkasakan inisiatif bandar rendah karbon melalui kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memastikan transformasi ke arah bandar rendah karbon yang menyumbang secara signifikan kepada pengurangan impak perubahan iklim di Malaysia khususnya di Negeri Selangor. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) selaku pihak yang bertanggungjawab dalam perancangan dan pembangunan bandar/perbandaran tempatan disarankan untuk menetapkan hala tuju dan pendekatan yang bersesuaian dengan konsep bandar rendah karbon ke arah mencapai sasaran pengurangan gas rumah kaca (GHG) yang telah digariskan dalam dasar/polisi Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan seperti Pelan Induk Bandar Rendah Karbon Negara (NLCCM), Low Carbon Cities Framework (LCCF) dan Rancangan Selangor Pertama (RS1).
Bagi menyokong usaha mencapai sasaran pelepasan karbon negeri dan menangani isu-isu perubahan iklim yang semakin kerap berlaku ini, antara tindakan Kerajaan Negeri dalam menggalakkan penggunaan sumber tenaga hijau adalah:
- Mewujudkan dasar galakan pemasangan panel solar di bangunan hak milik Kerajaan Negeri termasuklah bangunan di bawah seliaan PBT dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) yang mana telah dipersetujui oleh Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) Ke-36/2019 yang telah disahkan pada 8 Januari 2021;
- Menyokong dan menggalakkan pelaburan teknologi rendah karbon dan pembangunan hijau di negeri Selangor yang diperkenalkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Invest Selangor menerusi projek-projek solar;
- Memperkenalkan penggunaan sumber tenaga alternatif seperti yang digariskan dalam Low Carbon Cities Framework (LCCF). Inovasi seperti tenaga solar, sistem pengurangan pelepasan karbon dan teknologi penjimatan tenaga boleh membantu mengurangkan penggunaan tenaga dan pelepasan karbon;
- Mengadakan program-program kesedaran, pendidikan dan pembangunan kapasiti institusi anjuran Kerajaan Negeri, PBT dan PDT dalam meningkatkan kesedaran kepentingan penggunaan teknologi hijau;
- Kerajaan Negeri kini dalam trend peralihan tenaga bagi sektor pengangkutan dengan dasar galakan penggunaan kenderaan elektrik (EV) menjelang tahun 2025;
- Pengurusan sisa pepejal melalui program kitar semula 3R, galakkan transformasi sisa kepada projek tenaga dan membangunkan Waste-to-Energy bagi pengurusan sisa secara efisyen.
-
Bagaimana Kerajaan Negeri menggalak industri atas kegunaan sumber tenaga hijau?
Pemanasan global telah mencetuskan kebimbangan masyarakat dunia terhadap kesan negatif kepada alam sekitar pada masa hadapan. Salah satu penyumbang utama kepada masalah ini ialah kadar pelepasan gas merbahaya karbon dioksida (CO2) yang tidak terkawal yang berpunca daripada aktiviti pembangunan seperti loji penjanaan tenaga elektrik, pengangkutan, perindustrian, pertanian, tapak pelupusan sampah dan sebagainya.
Menyedari kepentingan menjaga alam sekitar, Kerajaan Negeri perlu mengenalpasti bidang-bidang yang mempunyai potensi yang menyumbang kepada pembebasan karbon yang tinggi dan menggariskan strategi serta pelan tindakan yang sesuai ke arah pengurangan pembebasan karbon tempatan. Kerajaan Negeri menggalakkan sektor perkilangan untuk lebih proaktif menerapkan penggunaan teknologi hijau, sekali gus dapat meminimumkan kesan terhadap alam semula jadi dan mengurangkan pencemaran alam sekitar.
Sehubungan itu, Kerajaan Negeri telah menggariskan komitmen untuk mengaplikasikan elemen teknologi hijau dalam aktiviti operasi industri menerusi pelan tindakan Low Carbon Cities Framework (LCCF) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di samping untuk meningkatkan kesedaran di kalangan pemain-pemain industri ke arah amalan hijau. Pelaksanaan LCCF ini menggariskan beberapa kriteria berdasarkan keperluan aplikasi teknologi hijau yang telah dikenalpasti mengikut sektor atau aktiviti pembangunan seperti aspek penghijauan, pengurusan sisa, tenaga dan air.
Dalam mencapai matlamat pembangunan lestari (SDG) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan dan swasta dengan mengaplikasikan konsep kemapanan dalam kalangan rakyat. Kerajaan Negeri secara berterusan mengambil langkah-langkah bagi memupuk dan menggalakkan syarikat-syarikat swasta mengaplikasikannya seperti berikut:
- Menggalakkan pembinaan bangunan berkonsepkan hijau yang diiktiraf oleh Indeks Bangunan Hijau (GBI);
- Mengiktiraf penyertaan pihak syarikat yang telah berjaya melaksanakan penjimatan tenaga elektrik dan air;
- Menyokong dan memudahcarakan syarikat-syarikat meneroka peluang dalam pembangunan projek Large Scale Solar (LSS) dan lain-lain projek RE;
- Mempergiatkan kempen kesedaran dan penggunaan produk teknologi hijau kepada industri;
- Kerajaan Negeri mengambil inisiatif menggalakkan teknologi smart manufacturing di kilang-kilang dan menyokong insentif yang disediakan oleh pihak Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) kepada industri yang berpotensi.