Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
140) AGENDA KESAN PERUBAHAN IKLIM
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Puan Lee Kee Hiong
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Nyatakan pantai dan pelabuhan di Selangor yang terkesan dengan perubuhan iklim.
Perubahan iklim merupakan ancaman yang serius kepada sistem manusia dan ekosistem semula jadi di Negeri Selangor terutamanya di zon pesisir pantai. Seperti yang semua sedia maklum, kesan perubahan iklim yang dihadapi di Negeri Selangor boleh dilihat melalui perubahan ekstrem dalam pola cuaca seperti peningkatan aras laut, hujan lebat dan ribut kencang yang telah mengakibatkan banjir yang teruk di Negeri Selangor pada Disember 2021. Kekerapan hujan yang turun pada masa sekarang tidak lagi mengikut musim monsun. Selain daripada itu, kesan perubahan iklim juga telah menyebabkan bencana alam yang lain seperti musim kemarau, taufan dan kebakaran hutan yang dijangka akan kerap berlaku.
Impak kenaikan aras laut kepada pembangunan zon pantai Malaysia merupakan isu kritikal yang menyokong pertumbuhan mampan berterusan pusat bandar dan luar bandar utama Malaysia, kebanyakannya terletak di zon pantai ini. Zon pantai yang menghubungkan darat dan laut ini, merupakan sumber yang berharga dengan nilai ekonomi, sosial, budaya dan ekologi intrinsik yang tinggi.
Berdasarkan kajian oleh Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) pada tahun 2017 mengenalpasti bahawa banyak pantai Malaysia terjejas akibat kenaikan paras air laut, dengan sebahagian besar Negara dijangka berada di bawah paras air menjelang akhir abad ini. Data NAHRIM menunjukkan bahawa paras laut telah meningkat antara 0.2mm dan 4.4mm setiap tahun sejak 2010 akibat perubahan iklim dan ini boleh menyebabkan pantai ditenggelami air dan menjejaskan lebih lapan (8) juta orang.
Hampir keseluruhan pantai Negeri Selangor dilindungi oleh ban iaitu sepanjang 156.2km yang berfungsi sebagai perlindungan daripada ombak dan limpahan air laut semasa air pasang serta bertindak sebagai kawalan hakisan pantai di sepanjang Selat Melaka. Di sepanjang pantai barat Semenanjung Malaysia, kebanyakan tanah pertanian terancam dengan serius. Ban pantai yang berfungsi untuk menjaga dan melindungi tanah pertanian daripada kemasukan air laut daripada telah dirosakkan oleh daya ombak. Ini disebabkan oleh kemerosotan pokok bakau yang bertindak sebagai pelindung semulajadi terhadap daya ombak.
Berdasarkan daripada Kajian Hakisan Pantai Kebangsaan 2015 (NCES 2015) jumlah panjang garis pantai di negeri Selangor adalah sepanjang 492.1km. Pantai di Negeri Selangor bersempadan dengan lima (5) daerah iaitu Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Kuala Langat dan Sepang. Lebih kurang 74.6km bersamaan 15.2% daripada garis pantai di Selangor mengalami hakisan yang melibatkan jumlah purata pantai sebanyak 156.2km adalah terjejas dengan kesan daripada perubahan iklim.
Kesan perubahan iklim telah memberi impak kepada sektor pelabuhan di Negeri Selangor yang dikenali sebagai Pelabuhan Klang bertempat di Daerah Klang, Selangor. Pelabuhan Klang ialah sebuah bandar dan pintu masuk perkapalan utama di Malaysia. Pelabuhan ini merangkumi Pelabuhan Utara, Pelabuhan Barat dan Pelabuhan Selatan. Pelabuhan Klang menawarkan kemudahan-kemudahan perkhidmatan yang serba lengkap dan tercanggih untuk mengendalikan sebarang jenis dagangan. Namun begitu, fenomena air pasang besar yang berlaku di kawasan ini pada 27 Oktober 2023 sehingga 1 November 2023 telah mengakibatkan paras air laut meningkat dan menyebabkan banjir berlaku.
-
Apakah rancangan Kerajaan Negeri agar warga Selangor cakna perubahan iklim memandangkan kesan perubahan iklim yang semakin dirasai di Malaysia?
Umumnya, perubahan iklim berlaku disebabkan proses dinamik bumi termasuk pemanasan global atau peningkatan suhu bumi. Berdasarkan kepada laporan Panel Antara Kerajaan Perubahan Iklim (IPCC), 98% berpunca daripada pemanasan global iaitu pelepasan karbon dioksida akibat pembakaran bahan bakar fosil serta lain-lain gas rumah hijau (GHG). Perubahan guna tanah juga turut dinyatakan sebagai penyumbang kepada pelepasan gas tersebut. Menurut laporan World Bank 2022 berkaitan risiko iklim, Malaysia tidak terkecuali dari mengalami peningkatan suhu yang diunjurkan sebanyak 0.8% hingga 3.1% darjah Celsius menjelang tahun 2090.
Kesan perubahan iklim semakin dirasai dan mengalami fenomena cuaca ekstrem seperti hujan lebat berterusan, panas yang membahang serta penurunan suhu di kawasan-kawasan tertentu yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Situasi ini mencetuskan pelbagai bencana seperti banjir kilat dan kejadian tanah runtuh yang berlaku di seluruh negara tanpa mengira musim.
Beberapa negeri sering dilanda banjir yang menyaksikan lebih 50,000 penduduk terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang disediakan. Berdasarkan kepada laporan Jabatan Perangkaan Malaysia, bencana ini mengakibatkan kerugian jutaan ringgit seperti mana yang berlaku pada tahun 2022 yang lalu, negara telah merekodkan kerugian berjumlah RM622.4 juta. Secara saintifiknya, kesan perubahan iklim sudah mula menjejaskan kesejahteraan masyarakat.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, hasil kajian IPCC menunjukkan tahap kesedaran terhadap perubahan iklim bagi negara maju dengan negara sedang membangun, secara puratanya 87% daripada masyarakat yang tinggal di negara maju mempunyai tahap pengetahuan yang baik tentang pemanasan global. Sebaliknya, hanya 57 peratus bagi masyarakat di negara membangun. Susulan daripada senario dan situasi di atas, Kerajaan Negeri telah merancang dan melaksanakan pelbagai inisiatif dan program bagi meningkatkan fahaman dan kesedaran masyarakat. Antaranya adalah seperti berikut:
- Penganjuran program-program kesedaran dan pendidikan melalui pemberian dana peruntukan tahunan
di bawah Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau kepada Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan dan Agensi serta Badan Bukan Kerajaan (NGO) di Negeri Selangor; - Melaksanakan promosi dan hebahan berkaitan inisiatif Kerajaan Negeri dalam menangani isu-isu perubahan iklim dan lain-lain maklumat asas seperti informasi banjir, cuaca dan iklim. Portal berkonsepkan web-based dan newsletter akan dibangunkan sebagai salah satu pendekatan untuk penyebaran informasi secara terus kepada masyarakat selain menggunapakai platform media sosial;
- Program kesedaran awam dan kempen yang berterusan bagi memupuk gaya hidup yang mesra alam sekitar dan meningkatkan kesedaran terhadap isu perubahan iklim. Program ini akan mengintegrasikan mesej kesedaran seperti amalan gaya hidup, penggunaan sumber yang mampan serta impak perubahan iklim;
- Memperkukuhkan program-program komunikasi pendidikan dan kesedaran awam (CEPA) yang melibatkan setiap lapisan masyarakat terutamanya mengenai peranan individu dalam menangani isu perubahan iklim dan alam sekitar; dan
- Bekerjasama dengan sektor swasta, industri dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk meningkatkan amalan lestari dan menerapkan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) menerusi program-program anjuran Kerajaan Negeri seperti sesi town hall.
Dalam menangani cabaran perubahan iklim ini, setiap individu mempunyai peranan masing-masing, namun bagi memastikan penyelesaian yang berkesan, pendekatan yang diambil perlu melibatkan semua pihak dan secara bersepadu. Kefahaman dan pengetahuan terhadap dasar kerajaan mengenai perubahan iklim adalah penting kerana ia adalah asas pengetahuan untuk bertindak.
- Penganjuran program-program kesedaran dan pendidikan melalui pemberian dana peruntukan tahunan