Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
137) MENGUPAYAKAN SYARIKAT TEMPATAN DALAM RANTAIAN BEKALAN GLOBAL INDUSTRI AEROANGKASA
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Pelaburan
Adun: Y.B. Dato' Seri Mohamed Azmin Bin Ali
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah strategi yang diambil oleh Kerajaan Negeri untuk membantu syarikat Aeroangkasa tempatan meningkatkan keupayaan di dalam rantaian bekalan global dan seterusnya berpotensi menjadi pembekal utama (Tier 1) kepada syarikat global OEM Aeroangkasa?
Kerajaan Negeri Selangor melalui Invest Selangor telah meneliti dengan lebih mendalam langkah – langkah yang perlu diambil untuk membawa syarikat-syarikat aeroangkasa tempatan untuk menjadi antara pembekal-pembekal utama kepada syarikat global OEM aeroangkasa.
Sepertimana YB Hulu Kelang sedia maklum, majoriti pemain industri aeroangkasa di negera ini terletak di negeri Selangor, dan kerana industri aeroangkasa masih lagi dalam fasa pemulihan dari pandemik Covid-19 secara global, usaha untuk meningkatkan pertumbuhan industri ini adalah amat penting. Antara strategi dan langkah yang diambil seperti:
- Mengeratkan hubungan industri dan jaringan: Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor mengambil langkah dalam memudahkan hubungan di antara syarikat tempatan dan syarikat global OEM aeroangkasa melalui misi-misi penggalakkan pelaburan seperti di Singapura dan di Republik Czech yang berlangsung baru baru ini. Kami telah membawa syarikat-syarikat tempatan mengikuti misi penggalakkan bagi mendedahkan mereka kepada keupayaan-keupayaan yang ada di pasaran global, dan dalam masa yang sama mengadakan perkongsian pengetahuan bersama syarikat global yang berada di Tier 2 dan Tier 1 untuk mencari work packages yang sesuai dan berpotensi tinggi untuk Selangor. Selain itu, misi-misi penggalakkan pelaburan ini juga boleh memupuk kebersamaan dalam kalangan pemain industri global dan dalam negeri Selangor.
- Kolaborasi bersama Agensi Kerajaan: Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor juga telah mengambil langkah yang proaktif dengan menandatangani memorandum persefahaman dengan National Aerospace Industry Corporation (NAICO) Malaysia, iaitu agensi dibawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Ini bertujuan untuk memajukan industri Aeroangkasa di Malaysia, khususnya di negeri Selangor melalui program – program serta misi promosi penggalakan industri Aeroangkasa yang akan dijalankan bersama – sama pihak S-DAICO dan NAICO Malaysia. Inisiatif ini merupakan pemacu kepada polisi – polisi dan pelan tindakan yang diselaraskan di dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12), Malaysia Aerospace Industry Blueprint (MAIB 2030) dan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dalam usaha menguatkan lagi Selangor menjadi pilihan utama pelabur Aeroangkasa.
- Pematuhan Standard dan Pensijilan: Industri aeroangkasa adalah industri yang dikawal selia dengan ketat dari segi pematuhan standard dan pensijilan. Oleh itu, Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor sedang bekerjasama dengan agensi seperti SIRIM AS9100 dan NADCAP (National Aerospace and Defense Contractors Accreditation Program), yang merupakan badan pematuhan standard dan pensijilan dalam industri aeroangkasa ini.
Inisiatif ini penting bagi membantu syarikat tempatan memahami dan mematuhi standard antarabangsa untuk memastikan produk mereka boleh bersaing di pasaran global, sejurus menjadi antara pembekal-pembekal utama dalam rantaian bekalan aeroangkasa.
- Sokongan Pasaran dan Promosi: Kerajaan Negeri juga membantu syarikat-syarikat aeroangkasa tempatan untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka kepada pasaran global. Ini termasuk penyertaan dalam misi penggalakkan pelaburan dan penyertaan dalam pameran – pameran antarabangsa seperti MRO Asia Pacific, Drones Asia, Farnborough Airshow, Paris Airshow dan lain-lain.
Kerajaan Negeri juga mengadakan program Pameran Penerbangan Selangor setiap tahun. Program ini menjadi platform kepada pemain industri tempatan untuk memasarkan produk mereka disamping meneroka peluang kerjasama perniagaan. Program ini juga dapat memberi pendedahan kepada orang awam berkenaan industri aeroangkasa di Selangor.
- Pembangunan Modal Insan: Melalui Mesyuarat Majlis Aeroangkasa Selangor yang terdiri daripada Captains of the industry tempatan, sesi bertukar-tukar pandangan dan pendapat tentang status industri aeroangkasa dan juga status tindakan didalam Pelan Tindakan Aeroangkasa Selangor sentiasa diketengahkan.
Dalam Majlis Aeroangkasa Selangor yang berlangsung pada bulan April 2023 yang lalu, telah diputuskan untuk menyediakan Whitepaper ataupun kertas putih bagi mengenalpasti solusi-solusi yang dapat menangani isu-isu yang berbangkit dalam industri aeroangkasa seperti jurang gaji dan juga kekurangan modal insan yang memenuhi syarat-syarat OEM aeroangkasa. Whitepaper ini yang mengikuti konsep Triple Helix adalah untuk memastikan penglibatan semua pihak seperti industri, institusi pendidikan tempatan dan juga agensi kerajaan. Inisiatif ini akan membantu memastikan pekerja tempatan mempunyai kemahiran yang diperlukan untuk menyokong pertumbuhan industri aeroangkasa.