Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

118) SUKAN TRADISI DAN SUKAN RAKYAT

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Adat Istiadat & Warisan

Adun: Y.B. Tuan Rosnizan Bin Ahmad

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan Kerajaan Negeri untuk membangunkan semula sukan tradisi dan sukan rakyat?

    Permainan tradisional atau juga dikenali sebagai sukan rakyat merupakan perkara yang tersenarai sebagai warisan tidak ketara di Malaysia. Antara permainan tradisi yang telah diwartakan di bawah Akta Warisan Kebangsaan ialah seperti congkak, gasing, wau, dam, sepak raga, batu seremban dan lain-lain. Menyedari akan kepentingan untuk mengembang dan menghidupkan semula amalan permainan tradisional ini, beberapa pendekatan telah dilakukan oleh pihak Kerajaan Negeri iaitu dari segi penyelidikan, pendidikan, penganjuran program, aktiviti dan pengiktirafan.

    Bagi tujuan pendidikan dan memupuk minat dalam kalangan masyarakat terhadap amalan permainan tradisi, Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor telah menaik taraf dan membaik pulih Muzium Permainan Tradisional yang terletak di Bukit Malawati, Kuala Selangor. Muzium ini telah dibuka semula kepada pelawat bermula bulan Februari 2023. Selain daripada pameran permainan tradisi, PADAT juga turut menyediakan ruang demonstrasi bagi pelawat untuk mencuba permainan tersebut dan antara permainan yang disediakan ialah sepak raga, batu Seremban, gasing, teng teng, tutup botol dan lain-lain.

    Dari segi penyelidikan PADAT juga melakukan penyelidikan berkaitan permainan tradisional dan antara penyelidikan yang telah selesai ialah Wau Kapal Selangor. Hasil penyelidikan ini telah diterbitkan dalam bentuk buku untuk dijadikan sebagai sumber rujukan masyarakat. Usaha PADAT untuk meletakkan Wau Kapal Selangor sebagai wau tradisi negeri Selangor juga turut mendapat pengiktirafan dari Perbadanan Harta Intelek Malaysia yang mana Wau Kapal telah didaftarkan sebagai Petunjuk Geografi bagi Negeri Selangor. Untuk makluman, petunjuk Geografi merupakan tanda yang digunakan ke atas sesuatu produk kerana produk tersebut mempunyai kualiti dan reputasi yang boleh dikaitkan dengan kawasan berkenaan.

    Usaha bagi mempromosi dan mempergiatkan amalan sukan rakyat juga turut dipergiatkan melalui penganjuran program dan aktiviti. PADAT telah bekerjasama dengan pelbagai agensi di peringkat kerajaan negeri dan persekutuan dengan menganjurkan pertandingan dan demonstrasi permainan tradisional. Antara program yang digunakan oleh PADAT sebagai platform untuk mempopularkan permainan tradisional ialah seperti program Jelajah lItizam Selangor, program Kita Rewang Sekampung, program Hari Tanpa Kenderaan, program Rumpun di Desa dan lain-lain.

  2. Adakah Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan bagi sukan tradisi dan sukan rakyat?

    Soalan b) dan c) akan dijawab bersekali.

    Kerajaan Negeri sentiasa cakna mengenai pembangunan dan kelestarian sukan tradisi dan rakyat di Negeri Selangor. Bagi usaha tersebut, Kerajaan Negeri telah bekerjasama dengan agensi, persatuan dan penggiat sukan tradisi untuk melaksanakan pelbagai program antaranya Kejohanan Jemputan Permainan Gasing Negeri Selangor tahun 2022 bertempat di Kampung Jenjarom, Kuala Langat, Festival Merakyatkan Seni Budaya Mah Meri @Selangor 2023 bertempat di Perkarangan Pusat Kraf Orang Asli, Pulau Carey, dan Festival MOTAC D’Desa @Selangor 2023 bertempat di Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam.

    Di samping itu, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Kebudayaan Negeri Selangor turut memperuntukkan dana bagi penganjuran Hero Arts Festival 2023 bertempat di Pusat Aktiviti Homestay Sungai Sabak Bernam sebagai inisiatif melestarikan kesenian, kebudayaan dan warisan tempatan bagi permainan rakyat dan tradisional. Program ini merupakan penganjuran pertandingan permainan dan sukan warisan rakyat dan ianya dicadangkan untuk diadakan pada setiap tahun sebagai satu jenama dan “signature event”. Antara senarai sukan rakyat dan sukan warisan yang terlibat dalam program-program disebutkan di atas adalah seperti, tating lawi, congkak, batu seremban, sepak raga, gusti lengan, tuju selipar, tarik tali, wau kapal, ketenteng, galah panjang, lompat untai getah, memancing tradisional dan kabaddi.

    Pada ketika ini, tiada peruntukan khusus untuk kemudahan sukan tradisi dan sukan rakyat di bawah Jawatankuasa Tetap Kebudayaan Negeri Selangor. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri sentiasa terbuka untuk mempertimbangkan sebarang permohonan bagi tujuan penganjuran aktiviti dan penambahbaikan kemudahan sukan rakyat seperti gelanggang gasing di sekitar negeri Selangor.

  3. Adakah peruntukan untuk kemudahan sukan tradisi dan sukan rakyat seperti pembinaan gelanggang gasing dan lain-lain?

Lampiran

Tiada Lampiran.